Home » , » WALI SONGO

WALI SONGO

Written By Unknown on Wednesday, October 2, 2013 | 11:54 PM



Ada sembilan ulama yang sangat berjasa dalam penyebaran Islam di Jawa. Mereka dikenal sebagai “Wali Songo” (Sembilan Wali / Wali Sembilan). Wali Songo mengembangkan agama Islam dari abad ke-14 hingga abad ke-16, menjelang dan setelah runtuhnya kerajaan Majapahit.

Dalam Babad Tanah Jawi dikatakan bahawa bahawa semasa berdakwah, para wali ini dianggap sebagai ketua kumpulan pendakwah untuk menyebarkan Islam di daerah tertentu. Selain dikenal sebagai ulama, mereka juga berpengaruh besar dalam hal ehwal pemerintahan.

Oleh sebab itu mereka digelar “Sunan “ (susuhan; junjungan), iaitu gelaran yang biasa digunakan untuk raja di Jawa. Bukti kebesaran Wali Songo dapat dilihat daripada peninggalan mereka.

Wali Songo menyampaikan dakwah Islam melalui cerita wayang atau kesenian lain, sehingga penduduk setempat berasa akrab dan tidak asing dengan ajaran baru yang disampaikan.

PENDEKATAN BUDAYA

Ketika menyebarkan Islam, Wali Songo menggunakan pelbagai bentuk kesenian tradisional masyarakat setempat dengan menyisipkan nilai Islam ke dalam kesenian tersebut. Oleh sebab itu, usaha mereka tidak dirasakan asing oleh masyarakat dan sangat komunikatif.

Usaha ini membuahkan hasil, bukan sahaja mengembangkan agama Islam tetapi juga memperkayakan budaya Jawa. Masyarakat Jawa sangat menggemari kesenian tradisional mereka seperti wayang kulit. Oleh sebab itu, Wali Songo menggunakan kesenian ini sebagai saluran dakwah.

BABAD TANAH JAWI

Buku ini memuatkan cerita tentang kebudayaan Jawa yang merupakan campuran antara sejarah, mitos dan kepercayaan. Di dalamnya terdapat kisah Wali Songo. Dalam babad ini diceritakan bahawa sekumpulan Wali seperti Sunan Ampel, Sunan Giri, Sunan Bonang, Sunan Kalijaga, Sunan Gunung Jati dan Sunan Kudus sering mengadakan pertemuan di Demak.

Dalam babad ini pula dijelaskan peranan masing-masing dalam menyebarkan agama Islam di Jawa.Mereka berdakwah di daerah yang penduduknya belum memeluk Islam.

RADEN FATAH

Dalam menyebarkan Islam, Wali Songo tidak hanya akrab dengan masyarakat umum tetapi juga dengan pemerintah. Sultan Ampel memainkan peranan semasa merancang kerajaan Islam pertama di Jawa, iaitu kesultanan Demak.

Para wali melantik Raden Fatah (putera Kertabumi Brawijaya ke- 5, raja terakhir Majapahit sebagai sultan pertama Kesultanan Demak. Raden Fatah mendapat pendidikan Islam daripada Sunan Bonang. Sementara dalam menjalankan pemerintahannya, Raden Fatah meminta nasihat Sunan Kalijaga.

Di Daerah Cirebon, Sunan Gunung Jati sangat berjasa dalam mendirikan Kesultanan Cirebon dan Kesultanan Banten. Masjid Demak, masjid tertua di Jawa, dibina oleh Wali Songo dan Raden Fatah, pemerintah Kesultanan Demak pada masa itu.

JAWA

Wali Songo memainkan peranan utama untuk menyebarkan Islam di Jawa, terutama di sepanjang pesisir utara Jawa, mulai dari Gersik di Jawa Timur hingga Cirebon dan Banten di Jawa Barat. Meskipun demikian, wilayah pergunungan juga turut dijelajahi oleh wali itu.

Hal ini terbukti daripada apa yang dilakukan oleh Sunan Muria. Beliau dikenal sebagai wali yang selalu berdakwah ke pelosok desa dan wilayah pergunungan di sekitar Gunung Muria, Jawa Tengah. Makamnya pun terletak di daerah pergunungan tersebut.

SUNAN AMPEL

Sunan Ampel dikenal sebagai wali yang tidak bersetuju dengan adat istiadat masyarakat Jawa pada masa itu seperti kebiasaan mengadakan jamuan dan kenduri doa selamat. Namun wali lain berpendapat bahawa hal itu tidak dapat dihapuskan dengan segera. Bahkan mereka mengusulkan agar adat istiadat seperti itu diberikan warna Islam.

Akhirnya Sunan Ampel menyetujui usul ini, walaupun tetap bimbang bahawa hal ini akan berkembang menjadi bidaah.

AMPEL DENTA

Sunan Ampel memulakan dakwahnya dari sebuah pondok pengajian yang dibina di Ampel Denta (berdekatan Surabaya). Oleh sebab itu, beliau dikenal sebagai pembina pondok pengajian pertama di Jawa Timur. Sunan Giri, Raden Fatah, Sunan Bonang dan Sunan Drajat ialah murid Sunan Ampel.

Di pondok pengajiannya, Sunan Ampel menerima pemuda yang datang dari pelbagai tempat Nusantara untuk mempelajari agama Islam dan menjadi muridnya.

SUNAN BONANG

Sunan Bonang menyebarkan agama Islam dengan menyesuaikan diri dengan corak kebudayaan masyarakat Jawa yang mengemari wayang dan muzik gamelan. Untuk itu, beliau mencipta lagu gamelan yang mengandungi nilai keislaman. Setiap bait lagu diselangi dengan ucapan dua kalimah syahadat (syahadatain) sehingga muzik gamelan yang mengiringinya kini dikenal sebagai sekaten.

TUBAN

Sunan Bonang pernah mempelajari Islam di Pasai, Aceh. Sekembalinya dari Pasai, beliau memusatkan kegiatan dakwahnya di Tuban dengan mendirikan pondok pengajian agama.

Para pelajarnya datang dari segenap penjuru Nusantara. Sunan Bonang yang dilahirkan di Ampel Denta, Surabaya, meninggal dunia di Tuban pada 1525.

SYEIKH MAGHRIBI

Selain dikenal dengan nama Maulana Malik Ibrahim, Sunan Gresik juga dikenal dengan nama Maulana Maghribi (Syeikh Maghribi) kerana beliau dikatakan berasal dari wilayah Maghribi (Afrika Utara). Namun hingga kini tidak diketahui secara pasti sejarah tentang tempat dan tahun kelahirannya.

Beliau dikatakan lahir sekitar pertengahan abad ke-14. Beliau berasal dari keluarga Islam yang taat beragama, dan beliau mempelajari agama Islam sejak kecil, namun tidak diketahui siapa gurunya, hingga beliau kemudiannya menjadi seorang ulama.

SUNAN GERSIK

Sunan Gersik diyakini sebagai pelopor penyebaran agama Islam di Jawa.Beliau berdakwah secara intensif dan bijaksana. Sunan Gresik bukan orang Jawa, namun beliau mampu memahami keadaan masyarakat yang dihadapinya dan menerapkan kaedah dakwah yang tepat untuk menarik perhatian masyarakat kepada Islam.

Usaha menghilangkan sistem kasta dalam masyarakat pada masa itu menjadi objek dakwah Sunan Gresik. Cita-cita dan perjuangannya menyebarkan Islam di Jawa kemudian diteruskan oleh anaknya, Sunan Ampel.

SUNAN  GIRI

Sunan Giri ialah putera Maulana Ishak. Nama asalnya Radin Paku. Beliau ditugaskan oleh Sunan Ampel untuk menyebarkan agama Islam di Blambangan. Sunan Giri pernah belajar di Pesantren Ampel Denta.  Setelah dewasa, dalam perjalanan menunaikan haji bersama-sama Sunan Bonang, beliau singgah di Pasai untuk mendalami ilmu agama.

Sekembalinya ke Jawa, Sunan Giri membina pondok pengajian agama di daerah Giri. Beliau banyak menghantar pendakwah ke Bawean (Madura), bahkan juga ke Lombok, Ternate dan Tidore di Maluku. Makam Sunan Giri atau Raden Paku terletak di Bukit Giri, dekat Gresik, Jawa Timur.

SYARIF HIDAYATULLAH

Nama asal Sunan Gunung Jati ialah Syarif Hidayatullah.Beliau merupakan cucu raja Pajajaran yang lahir di Mekah. Setelah dewasa, beliau memilih untuk berdakwah di Jawa. Di Jawa, beliau bertemu bapa saudaranya, Raden Walangsungsang (Pangeran Cakrabuana). Setelah bapa saudaranya meninggal dunia, beliau menggantikan bapa saudaranya dan Berjaya menjadikan Cirebon sebagai kerajaan Islam pertama di Jawa Barat.

Beliau juga merupakan pengasas Kesultanan Banten yang bermula dengan puteranya, Sultan Maulana Hasanuddin. Atas  inisiatif Sunan Gunung Jati, Sunda Kelapa diserang diserang pada 1527 di bawah pimpinan Fatahillah, panglima perang Kesultanan Demak yang juga menantu Sunan Gunung Jati.

SUNAN MURIA

Sunan Muria ialah salah seorang Wali Songo yang sangat berjasa dalam penyebaran Islam di kawasan desa. Putera Sunan Kalijaga ini suka menyendiri dan tinggal di desa bersama-sama rakyat biasa. Dalam menyebarkan Islam, Sunan Muria selalu menjadikan desa terpencil sebagai tempat dakwahnya.

SINOM DAN KINANTI

Seperti para Wali Songo yang lain, Sunan Muria juga menggunakan kesenian sebagai cara berdakwah. Dua puisi yang diciptanya dan sangat terkenal ialah puisi Sinom dan Kinanti. Puisi Sinom umumnya menggambarkan suasana ramah-tamah dan mengandungi nasihat. Puisi Kinanti pula bernada gembira dan digunakan untuk menyampaikan ajaran agama, nasihat dan falsafah hidup.

SUNAN DRAJAT

Sunan Drajat dikenal sebagai seorang wali yang berjiwa sosial tinggi. Beliau banyak memberikan pertolongan kepada yatim piatu, fakir miskin, orang sakit dan orang susah. Perhatiannya yang besar terhadap masalah sosial sangat tepat pada masa itu kerana beliau hidup pada masa keruntuhan Kerajaan Majapahit (sekitar 1478).

Rakyat pada ketika itu dalam keadaan kacau-bilau dan menyedihkan.  Sunan Drajat juga menggunakan media kesenian semasa berdakwah. Untuk itu, beliau mencipta puisi Jawa yang hingga kini masih digemari, iaitu puisi Pangkur.

SUNAN KUDUS

Sunan Kudus atau Jaafar Sadiq digelar wali al-‘ilmi (orang berilmu luas) oleh para Wali Songo kerana mempunyai keahlian khusus dalam bidang agama. Oleh sebab keahliannya itu, beliau banyak dikunjungi oleh para penuntut dari pelbagai wilayah. Beliau juga diamanahkan untuk mengendalikan pemerintahan di daerah Kudus. Beliau menjadi pemimpin agama dan juga pemimpin pemerintah di wilayah itu.

MASJID MENARA KUDUS

Sebagai permulaan untuk menyebarkan Islam, Sunan Kudus membina sebuah masjid di daerah Loran pada 1549. Masjid itu diberi nama Masjid al- Aqsa atau al-Manar. Wilayah sekitarnya disebut Kudus, nama yang diambil daripada nama kota al-Quds (Baitulmaqdis di Palestin) yang pernah dikunjunginya.

Masjid itu kemudian dikenal dengan nama Masjid Menara Kudus kerana di sebelahnya terdapat menara tempat beduk masjid. Masjid yang dibina oleh Sunan Kudus ini juga merupakan salah satu masjid tertua di Indonesia.

SUNAN KALIJAGA

Sunan Kalijaga  berasal daripada suku Jawa asli. Beliau berdakwah dengan cara berkelana. Dengan wawasan yang luas dan pemikiran yang tajam, Sunan Kalijaga tidak hanya disukai oleh rakyat, tetapi juga oleh cendekiawan dan pemerintah. Raden Fatah dari Kesultanan Demak sering kali meminta nasihatnya.

DANDANGGULA

Sunan Kalijaga juga dikenal sebagai budayawan dan seniman (seni suara, ukir dan busana). Beliau mencipta aneka cerita wayang yang berunsur Islam, Sunan Kalijaga memperkenalkan sejenis wayang  yang diperbuat daripada kulit kambing (wayang kulit), kerana pada masa itu wayang selalunya dilukis pada seperti kertas lebar (wayang beber). Dalam seni suara, beliau ialah pencipta lagu Dandanggula. Sebahagian dari lirik lagu Dandanggula ciptaan Sunan Kalijaga ialah tentang rukun iman.

Susunan RAIHANAH SUHAIMI
www.ummatanwasatan.net
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger