Home » » SEEKOR IKAN BERNAMA AMBAR

SEEKOR IKAN BERNAMA AMBAR

Written By lurim on Wednesday, March 21, 2012 | 1:11 AM


Kisah ini berlaku ketika Nabi Muhamad SAW mengarahkan angkatan tentera seramai 300 orang untuk bersedia menghadapi musuh di sebuah kawasan berdekatan pantai. Angkatan tentera itu diketuai oleh Abu Ubaidah.

Sebelum berangkat, Nabi Muhamad SAW telah meninggalkan sekarung buah tamar buat bekalan makanan anggota tentera tersebut. Namun, belum genap lima belas hari, makanan yang mereka dapat itu telah kehabisan. Mereka terpaksa mencari jalan lain bagaimana untuk mengelak dari kelaparan dan kebuluran sedangkan mereka amat memerlukan tenaga sebagai persediaan menghadapi musuh kelak.

Ketika itu, Qais ra telah membeli tiga ekor unta daripada orang-orangnya sendiri untuk dijadikan hidangan tentera mereka setiap hari. Mereka tidak lagi kebuluran tetapi ini bermakna alat pengangkutan mereka akan berkurangan hari demi hari. Memikirkan akibat itu, Abu Ubaidah telah mengarahkan supaya penyembelihan unta diberhentikan dengan serta merta.

“Wahai sahabatku sekalian, kumpulkan semua buah tamar yang ada pada kalian. Kita perlu menjimatkan makanan kita untuk hidup,” ujar Abu Ubaidah.

Para sahabatnya yang lain tanpa berlengah mengumpulkan tamar yang tinggal di dalam satu bekas. Kemudiannya buah tamar ini dicatukan kepada sebiji untuk seorang. Bagaimana mereka dapat hidup hanya dengan sebiji buah tamar?

Walaupun cuba berdikit-dikit dengan makanan yang ada, akhirnya tamar sebiji seorang itu pun habis. Mereka sudah hampir kebuluran. Demi menyambung nyawa, mereka terpaksa memakan daun-daun kayu. Untuk mengurangkan rasa kasar dan keras daun kayu itu, mereka menyiramnya dengan air terlebih dahulu sebelum dimakan.

Allah Yang Maha Mengasihani merasa belas melihat hamba-hambanya yang sedang menderita. Apatah lagi, mereka itu sedang berjihad ke jalan-Nya. Ditakdirkan, seekor ikan yang amat besar telah terdampar di tepi pantai. Ikan besar itu bernama ‘Ambar’. Seumur hidup mereka, tidak pernah melihat ikan itu dan terdetik rasa hairan di hati masing-masing, dari mana datangnya ikan sebesar itu.

Mulai detik itu, ‘Ambar’ dijadikan hidangan dan makanan mereka selama lapan belas hari. Tiada lagi kelaparan malahan ikan itu seolah-olah tidak luak dan cukup pula untuk dijadikan bekalan dalam perjalanan mereka pulang ke Madinah.

Setibanya di Madinah, cerita itu sampai ke pengetahuan Nabi Muhamad SAW. Baginda berkata,

“Ikan itu adalah bekalan yang dikurniakan Allah untuk kamu semua. Ingatlah,penderitaan yang paling pahit disediakan kepada para nabi, kemudian kepada orang yang kedudukannya rendah sedikit daripada nabi dan kemudian kepada mereka yang paling baik di kalangan kaum Muslimin lainnya.”

Published with Blogger-droid v2.0.4
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger