Home » , » TAHAJUD MENGUJI KETAATAN INSAN

TAHAJUD MENGUJI KETAATAN INSAN

Written By amirulyaacob on Sunday, September 16, 2012 | 7:59 PM



TIDUR adalah amalan yang wajib kerana fitrah manusia tidak boleh berjaga sepanjang masa seperti malaikat. Tidur bertujuan memberi kerehatan kepada tubuh.

Tanpa rehat, tenaga manusia akan terus berkurangan dan cara berehat yang sebaiknya bukanlah berhenti bekerja, tetapi rehat bagi manusia adalah tidur dengan sempurna.

Dengan tidur tenaga yang digunakan ketika bekerja dapat dipulihkan kembali kerana pada waktu tidurlah segala anggota yang digunakan berhenti daripada tugasnya.

Pentingnya tidur dan rehat itu difirmankan Allah yang bermaksud: 
“Allahlah yang membelah Subuh dan yang menjadikan malam untuk rehat dan menjadikan matahari dan bulan untuk menjadi sumber segala perhitungan. Inilah ketentuan yang Maha Kuasa dan Yang Maha Mengetahui.” (Surah al-An’am ayat 96).

Walaupun dalam ayat di atas Allah menyatakan bahawa Ia menjadikan malam untuk berehat, sebagai hamba Allah tidak seharusnya menggunakan waktu malam itu untuk tidur semata-mata.

Kita seharusnya ingat tujuan Allah menjadikan manusia untuk beribadat kepada-Nya. Firman Allah yang bermaksud: 
“Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat menyembah Ku.” (Surah Az-Dzaariyaat ayat 56)
 
Daripada ayat di atas dapatlah kita mengambil pengajaran bagaimana kita seharusnya menggunakan waktu malam. Jika siang kita menggunakan hampir seratus peratus masa untuk kerja dunia, maka pada waktu malam biarlah diperuntukkan sebahagiannya untuk berhubung dengan Allah.

Dan, cara yang sebaiknya untuk berhubungan dengan Allah adalah bangun mengerjakan tahajud di tengah malam.

Sesungguhnya, bangun di tengah malam untuk bertahajud memang banyak kelebihan dan besar pula pahalanya.

Firman Allah yang bermaksud: 
“Dan dari malam itu hendaklah engkau bangun tahajud sebagai nafilah (ibadat tambahan) bagimu. Moga-moga Allah akan mengangkatmu ke tingkat yang terpuji.” (Surah al-Israk ayat 79)

Amalan mengerjakan tahajud adalah satu perkara yang amat berat untuk dilakukan. Keadaan tubuh yang letih dan lesu menyebabkan sesetengah orang itu tidur seperti mati.

Matanya akan menjadi bertambah mengantuk dan tubuhnya menjadi bertambah penat apabila mereka tidur

lewat kerana asyik menonton tayangan gambar larut malam di kaca televisyen.
Mengapakah Allah meletakkan waktu sembahyang tahajud itu di tengah malam ketika suasana sunyi sepi dan penuh kesejukan?

Jawapannya adalah kerana untuk menguji sejauh mana taatnya seseorang makhluk yang mengaku dirinya bertuhankan Allah s.w.t.

Manusia yang yakin dan patuh kepada Allah pastinya tidak akan merasa keberatan untuk bangun di tengah malam untuk bertahajud.

Sembahyang tahajud adalah perkara sunat saja, tetapi ia mempunyai nilai dan kedudukan tinggi sekali berbanding dengan sembahyang sunat lain.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: 
“Hendaklah kamu melazimkan (qiamulail) sembahyang malam. Sebab itu adalah amalan orang-orang soleh sebelum kamu. Ia menghampirkan kamu dengan Tuhan, menebus keburukan (kamu) dan mencegah dari melakukan dosa.” (Hadis Riwayat At-Tarmizi).

Tetapi sedikit sekali umat manusia yang mengaku dirinya beragama Islam yang sanggup dan bersedia melakukan sembahyang tahajud walaupun mereka sedar tingginya kedudukan dan nilai sembahyang itu.

Kenyataan membuktikan bahawa peminat bola sepak akan bangun jam 2 pagi untuk menonton siaran langsung Piala Dunia walaupun menontonnya berseorangan.

Itu adalah perasaan serta dorongan minat yang sentiasa berkobar-kobar. Pada hal ulangan tayangan perlawanan itu boleh ditonton semula pada hari kemudiannya.

Tidak bolehkah perbuatan sama kita lakukan untuk bersembahyang tahajud? Kita merasa keberatan untuk bangun melakukan sembahyang berkenaan kerana kita tidak dapat merasai betapa hebat kelazatannya.

Keheningan malam memberi kesempatan untuk kita merapatkan jurang perhubungan antara makhluk dengan Pencipta.

Apa yang dibaca seseorang ketika bersembahyang itu seolah-olah boleh didengar dan mendapat layanan daripada Allah.

Maka berhubunglah dengan Allah ketika peluang masih ada, umur masih muda dan pintu taubat masih terbuka
Share this article :

+ comments + 1 comments

Anonymous
October 17, 2012 at 2:09 PM

Good job for writing this brilliant article.Excellent point here. I wish there are more and more cultured freshwater pearl articles like that.You can visit our pearl in an oyster.If you get a chance pop up by my page, maybe you would like pearl beads.

Post a Comment
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger