Home » , » PROFESOR BIDANG TEOLOGI TEMUI HIDAYAH

PROFESOR BIDANG TEOLOGI TEMUI HIDAYAH

Written By Suatu Perjalanan Maya on Monday, August 13, 2012 | 2:58 PM

Khadijah 'Sue' Watson
 APA sudah jadi pada awak? Itulah reaksi awal yang diutarakan kepada Khadijah 'Sue' Watson sebaik mereka mengetahui beliau memeluk Islam. Apa tidaknya, seorang yang sebelum ini disegani sebagai seorang pastor, pengurus gereja, mubaligh dan memiliki ijazah sarjana dalam bidang teologi kira-kira lima bulan lalu sanggup berpaling tadah kepada agama yang sememangnya dibenci oleh mereka yang mengagungkan Nabi Isa itu.

Akui Khadijah lagi dalam laman web Islamonline.net kesemuanya berubah sebaik perkenalan beliau dengan seorang wanita yang pernah bekerja di Arab Saudi dan kemudiannya mengucap dua kalimah syahadah.

"Sudah tentulah bertemu dengan wanita Muslim, soalan yang membuak-buak hendak ditanyakan ialah bagaimanakah layanan Islam terhadap kaum wanita. Saya tidak menyangka dengan jawapan yang diberikan. Malah soalan pertama itu menguja saya untuk terus mengutarakan soalan-soalan berkaitan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW".

Teman baru Khadijah berjanji untuk membawa beliau ke pusat Islam, di mana di situlah segala persoalan yang menyentak mindanya boleh diperoleh dengan lebih jelas dan sempurna. Pun begitu, Khadijah sentiasa berdoa agar kunjungan beliau itu sentiasa dilindungi Nabi Isa, apa lagi beliau difahamkan bahawa agama Islam adalah agama yang jahat dan agama daripada syaitan.

"Sebaik berada di sana, apa yang saya sangka dan anggapan buruk tentang Islam jauh meleset. Sepanjang berada di situ, langsung tidak berlaku pendekatan yang menakut-nakutkan, tiada paksaan, tiada manupulasi psikologi dan tidak juga pengaruh bawah sedar. Malah tambah mengejutkan, mereka mengajak saya mempelajari al-Quran di rumah, bertentangan dengan pengajian kitab Injil.

"Ia sesuatu yang sukar dipercayai dan pelik! Pada pertemuan itu juga mereka memberi saya beberapa buah buku dan mereka mengalu-alukan sebarang soalan. Pada malam itu, saya mentelaah semua buku-buku pemberian beberapa kenalan di pusat Islam itu. Hakikatnya, itulah kali pertama saya membaca buku berkaitan Islam yang ditulis oleh orang Islam itu sendiri. Ini kerana sebelum ini buku-buku berkaitan Islam yang menjadi bahan rujukan dan kajian kami adalah tulisan orang Kristian.

"Keesokan harinya, saya menghabiskan tiga jam di pejabat pusat Islam bertanyakan pelbagai soalan. Situasi ini berlarutan hampir setiap hari selama seminggu. Ketika itu saya sudah membaca hampir 12 buah buku dan barulah saya sedar mengapa umat Islam adalah penganut yang paling sukar untuk dimurtadkan.

Kenapa?

Ini kerana tidak ada apa yang boleh ditawarkan kepada mereka. Di dalam Islam, hubungan yang terjalin di antara hamba dan Penciptanya adalah terus, malah mereka tidak memerlukan orang tengah atau perantara untuk memohon keampunan-Nya serta jaminan keselamatan di akhirat kelak waima, apa hajat jua sekalipun.

Pada saat itu satu sahaja pokok persoalan yang berkecamuk di minda Khadijah. Siapa itu Allah yang disembah oleh orang Islam. Kami diajar di dalam agama Kristian bahawa tuhan umat Islam itu adalah tuhan yang lain ataupun tuhan palsu.

Sedangkan hakikatnya, Allah yang disembah orang Islam itulah Dialah Yang Maha Esa, Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui.

Seperkara yang cuba dijelaskan oleh Khadijah ialah bahawasanya perkataan Trinity sebenarnya tidak ditemui sama ada di dalam kitab Injil atau daripada mana-mana kitab terjemahan malah juga daripada kitab asli bahasa Greek atau Ibrani (Hebrew). Sekali lagi persoalan saya tertumpu kepada Nabi Muhammad SAW.

Siapa gerangannya si penama Muhammad ini? Khadijah difahamkan bahawa orang Islam tidak menyembah Muhammad sebagaimana yang dilakukan orang Kristian terhadap Nabi Isa.

Muhammad juga bukan perantara malah adalah perbuatan menyembah Muhammad itu adalah ditegah. Sebenarnya, Muhammad itu ialah Nabi dan Rasul serta penutup segala nabi. Malah sehingga kini selepas 1418 tahun, tidak ada lagi nabi selepas Baginda Rasulullah SAW.

Sementara itu, sebagai seorang pengikut Kristian, Khadijah akui pelaksanaan menyembah Tuhan Isa mempunyai hubungan rapat dan aspek penting sebagai tanda kesetiaan bergelar seorang pengikut.

Lantaran itu, apabila mengetahui bahawa ibadat solat yang wajib dilaksanakan ke atas setiap yang mengakui Muslim, ia telah menimbulkan semacam keterujaan dalam diri Khadijah untuk mengetahui apa yang disembah oleh mereka sehingga solat dianggap sebagai tiang agama. Apatah lagi mereka (orang Islam) itu tidak menyembah kepada mana-mana objek seperti agamanya menyembah kepada patung Nabi Isa.

Selama ini, pemahaman Khadijah, orang Islam tunduk dan sujud kepada Kaabah di mana di situlah dipercayai tempat tuhan palsu mereka. Hakikatnya, segala pergerakan di dalam ibadat solat itu adalah daripada Allah. Malahan apa yang dibacakan semuanya adalah memuji-Nya.

Lebih mengejutkan Khadijah, untuk melaksanakannya juga diwajibkan untuk mengambil wuduk yang bukannya ciptaan manusia tetapi langsung daripada Allah.

Akhirnya, Khadijah mengakui kebenaran Islam. Malah pengajiannya dalam bidang teologi selama lapan tahun tidak dapat menyangkal bukti-bukti kekuasaan kuasa hebat Allah Yang Esa.

Pun begitu, Khadijah tidak serta merta memeluk agama Islam dengan alasan hatinya masih belum terbuka walaupun akal logiknya beranggapan sebaliknya. Walau bagaimanapun, Khadijah tetap terus berdoa, membaca kitab Injil serta pada masa sama menghadiri kelas-kelas kuliah ilmu di pusat Islam.

"Saya benar-benar mengharapkan petunjuk Allah. Bukannya mudah untuk bertukar agama. Sudah pastinya saya tidak mahu terlepas peluang untuk diselamatkan atau adakah benar menerusi agama Kristian saya akan terselamat? Sesungguhnya, sepanjang pencarian kebenaran itu, saya sentiasa diketemukan dengan pelbagai keajaiban Islam yang tidak pernah saya fikirkan.

Dua bulan kemudian, selepas sekali lagi berdoa memohon petunjuk Ilahi, saya dapat rasakan sesuatu kelainan yang menerpa dalam hati ini. Saya bingkas bangun dan pertama kali dalam hidup ini terpacul kata-kata, "Sesungguhnya aku mengakui tiada tuhan yang disembah melainkan Allah."

"Ada semacam ketenangan terasa seperti menyelinap dalam setiap inci pembuluh darah dan sejak itu sehinggalah sekarang aku tidak pernah menyesal dengan pilihan bergelar Muslim. Semua keputusan ini tidak datang tanpa ujian.

"Saya dipecat daripada mengajar di kolej pengajian kitab Injil, dipulau oleh bekas teman-teman sekuliah, profesor dan pastor, dipinggirkan oleh keluarga sebelah suami, disalah anggap oleh anak-anak yang sudah dewasa."

Khadijah akui, tanpa kepercayaan teguh dengan janji Allah, pastinya beliau sudah kecundang. Namun Khadijah begitu bersyukur kerana dengan berpegang kepada tali Islam dan sentiasa percaya semoga hidup dan matinya adalah kerana Allah.

Firman Allah yang bermaksud: 
Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagi-nya dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah). (al-An'aam: 162-163)

Sumber : Utusan Malaysia & islamfortoday.com/
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger