Home » » KERANA SEBIJI KURMA

KERANA SEBIJI KURMA

Written By amirulyaacob on Saturday, July 28, 2012 | 12:32 AM

Musim haji hadir lagi. Jutaan umat Islam datang ke Mekah untuk menunaikan ibadah. Seorang alim yang bernama Ibrahim bin Adham adalah salah seorang dari kalangan mereka yang bertuah pada tahun itu. Hakikatnya, sebelum ini, Ibrahim seringkali mengunjungi Mekah dan menjadikan tanah suci itu seolah–olah rumah kedua baginya.

Selesai beribadat, Ibrahim tergerak hati ingin berziarah ke Masjidil Aqsa. Sebelum berangkat, dia singgah untuk membeli kurma sebagai bekalan. Dia menghampiri pedagang tua yang menjual kurma berhampiran dengan Masjidil Haram. Kurma pun ditimbang dan dibungkus. Ketika itu, sebiji kurma tergolek di tepi timbangan. Menyangka ia adalah bahagian dari kurma yang ia beli, Ibrahim mengutip kurma itu dan memakannya. Tambahan pula, perutnya sedang lapar. Selesai membayar, Ibrahim terus beredar.

Perjalanannya diteruskan ke Al-Aqsa. Perjalanan menaiki unta ketika itu memakan masa selama empat bulan. Tatkala menjelang waktu solat, Ibrahim akan berhenti dan solat di atas padang pasir yang tandus. Malamnya pula, Ibrahim tidur tanpa selimut di tepian batu bagi menahan kesejukan. Begitulah sederhananya kehidupan Ibrahim. Hidupnya banyak diabadikan kepada ibadah bagi mendapatkan keredhaan Allah.

Tiba di Al-Aqsa, Ibrahim memilih ruang kegemarannya, sebuah naungan di bawah kubah Sakhra. Di situlah dia beribadat, solat dan berdoa dengan khusyuk sendirian. Dalam kesunyian itu, Ibrahim terdengar percakapan dua malaikat tentang dirinya.

“Itulah Ibrahim bin Adham, ahli ibadah yang zuhud dan warak. Doanya selalu dikabulkan Allah SWT,” ujar malaikat pertama.

“Sekarang tidak lagi. Doanya telah ditolak kerana empat bulan yang lalu, dia memakan sebiji kurma milik seorang pedagang tua di Masjidil Haram. Kurma itu haram baginya,” jawab malaikat kedua.

Bicara mereka cukup mengejutkan Ibrahim. Dia terbayang segala ibadahnya selama empat bulan ini tidak diterima oleh Allah SWT gara-gara memakan sebiji kurma yang bukan haknya.

“Astaghfirullahalazim…,” Ibrahim beristighfar berkali-kali. Hatinya diruntun kesal yang menggunung tinggi. Tanpa menunggu lama, Ibrahim berkemas dan pergi ke Mekah. Niatnya cuma satu iaitu menemui pedagang tua penjual kurma itu. Ibrahim ingin meminta dihalalkan sebiji kurma yang sudah dimakannya itu.

Setelah menempuh perjalanan yang panjang, Ibrahim sampai di Mekah dan terus menuju ke tempat penjual kurma itu. Hairan! Gerai itu masih ada tetapi kini yang menjaganya seorang anak muda. Ibrahim yakin itu masih gerai yang sama.

“Saya mahu bertanya, empat bulan lalu, yang menjual di sini seorang pedagang tua. Di mana dia sekarang?" tanya Ibrahim.

“Oh, itu bapa saya, dia sudah meninggal sebulan yang lalu. Sekarang saya pula yang meneruskan perniagaan ini,” jelas anak muda itu.

Bagaimana? Bagaimana Ibrahim ingin meminta kurma itu dihalalkan sedangkan pedagang tua itu sudah mati?

Ibrahim membuka rahsia kedatangannya pada anak muda itu.

“Jadi, engkau sebagai warisnya, mahukah engkau menghalalkan sebiji kurma milik ayahmu yang aku makan tanpa izin?

Anak muda itu hanya tersenyum. Baginya tiada masalah . Dia sedia menghalalkan kurma itu.

“Tetapi bagaimana dengan sebelas orang saudara-saudara saya yang lain. Mereka juga perlu tahu kerana mereka juga waris ayah saya dan mempunyai hak yang sama,” tanya anak muda itu.

Ibrahim pun mendapatkan alamat kesebelas orang saudara lelaki itu dan mencari mereka seorang demi seorang. Kepada mereka, Ibrahim meminta maaf dan minta dihalalkan sebiji kurma itu. Usaha bersungguh-sungguh Ibrahim tidak sia-sia. Semua setuju menghalalkan sebutir kurma milik ayah mereka yang termakan oleh Ibrahim.

Empat bulan telah berlalu. Ibrahim bin Adham sudah kembali berada di bawah kubah Sakhra. Dalam munjatnya, Ibrahim mendengar dua malaikat yang sama berbicara.

“Itulah Ibrahim bin Adham, ahli ibadah yang doanya tertolak kerana memakan sebiji kurma milik orang lain…”

“Oh tidak..sekarang doanya sudah dikabulkan semula. Ibrahim sudah meminta dihalalkan kurma itu kepada semua waris lelaki itu. Kini, dirinya telah bersih kembali dari dosa memakan hak orang lain. Sekarang ini, Ibrahim sudah bebas.”
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger