Home » » ANJING YANG MUSAFIR

ANJING YANG MUSAFIR

Written By amirulyaacob on Tuesday, July 24, 2012 | 2:46 AM

Matahari kian meninggi. Hari yang panas sebegitu membuatkan sesiapa pun merasa lapar dan dahaga. Nun jauh di sebuah kebun kurma, seorang hamba abdi berkulit hitam sedang membuka bekalannya. Dalam masa yang sama, Abdullah bin Jaafar pun singgah di situ. Perjalanan yang jauh membuatkan dia mengambil keputusan untuk berehat seketika.

Abdullah duduk berteduh di bawah sepohon kurma yang agak jauh dari hamba abdi itu. Seketika kemudian, datang seekor anjing berlari-lari dalam keadaan kepenatan. Lidahnya terjelir-jelir sementara matanya pula kuyu seperti meminta simpati.

Anjing itu terus menghampiri hamba abdi yang baru saja ingin menikmati makanannya. Sambil menyalak-nyalak, anjing itu mengelilingi lelaki itu tanda meminta makanan. Kasihan melihat anjing yang kelaparan, lelaki itu mencampakkan sedikit makanannya kepada anjing itu. Sekejab sahaja, makanan itu habis dimakan anjing. Baru saja lelaki itu hendak menyuap makanan, anjing itu datang semula sambil menyalak meminta makanan. Lelaki itu tidak jadi menyuap makanan dan dicampakkan lagi separuh makanan buat anjing itu. Sehinggalah buat kali ketiga, anjing itu masih juga belum berganjak, sedikit makanan yang tinggal diberikan kepada anjing itu. Ini bermakna, lelaki itu tidak sempat menjamah makanannya barang sedikit pun kerana semuanya habis dimakan anjing tersebut.

Abdullah bin Jaafar yang menyaksikannya merasa sangat hairan. Apakah hamba itu tidak lapar sehinggakan semuanya diberikan kepada binatang itu?

Setelah menghampiri hamba itu, Abdullah bertanya, “ Wahai hamba, berapa banyak makananmu sehari di tempat ini?”

“Hanya inilah bekalanku untuk hari ini. Kesemuanya telah kuberikan kepada anjing itu,” jawab si hamba tanpa rasa ragu sedikit pun.

“Jadi, mengapa kau berikan semuanya. Apakah yang akan kau makan selepas ini?” tanya Abdullah lagi.

"Wahai tuan. Tempat ini bukanlah kawasan anjing. Jadi aku yakin ia datang dari tempat yang jauh, sedang bermusafir dan tentu ia sangat lapar. Sedang aku sendiri, biarlah tidak makan hari ini sehingga esok," jawab si hamba.

Mendengar jawapan itu, Abdullah berseru: "Subhanallah.Ternyata hamba itu lebih dermawan daripada saya."

Kerana rasa terharunya dan merasa kedermawanannya masih dikalahkan oleh seorang hamba hitam, Abdullah bin Jaafar membeli kebun kurma dan hamba abdi itu dari tuannya. Kemudian dia memerdekakan si hamba, dan kebun kurma itu diberikan kepadanya. Setelah itu, dia pergi meninggalkan tempat itu untuk meneruskan perjalanannya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger