Home » » PEMILIK WAJAH BIDADARI SYURGA

PEMILIK WAJAH BIDADARI SYURGA

Written By amirulyaacob on Sunday, April 22, 2012 | 7:23 AM


Kematian suami tercinta ibarat membawa separuh jiwanya pergi. Ikatan kasih sayang yang dibina sekian lama akhirnya terpisah jua. Dialah Ummu Rauman, Zainab bt Amir Uwaimir. Setelah pemergian suaminya Abdullah bin Al-Haris Al-Uzdzi, wanita beriman ini kehilangan tempat bergantung. Apatah lagi dia perlu membesarkan seorang anak lelaki Ath-Thufail.

Namun, Allah SWT Yang Maha Mengasihani membuka kembali pintu cinta buat Ummu Rauman. Abu Bakar As-Siddiq yang juga teman baik suaminya datang membawa lamaran. Siapa yang akan menolak pinangan sahabat baik Rasulullah itu? Lagi-lagi dengan sifat-sifat terpuji yang ada pada Abu Bakar membuatkan hati Ummu Rauman terpaut.

Khabar pernikahan kedua mereka tersebar ke seluruh Mekkah. Sehingga ada yang berkata, “ Alangkah beruntungnya diri Ummu Rauman itu. Bukan mudah hendak menjadi isteri Abu Bakar. Barangkali kerana peribadinya yang mulia membuatkan Abu Bakar jatuh hati. Sesuai benar mereka kerana Abu Bakar itu, sahabat setia Rasulullah yang suka membantu orang dalam kesusahan, menghormati tetamu, menyambung tali silaturrahim dan menegakkan kebenaran.”

Takdir Allah menentukan perkahwinan kedua Ummu Rauman membawa rahmat yang begitu besar. Selain menjadi isteri kepada Abu Bakar, siapa menyangka dirinya terpilih pula menjadi ahli keluarga Nabi setelah melahirkan anak perempuan bernama Aisyah. Seorang lagi anak lelaki hasil perkahwinannya dengan Abu Bakar dinamakan Abdurrahman.

Menjalani kehidupan bersama Abu Bakar, Ummu Rauman sangat terkesan dengan peribadi mulia suaminya. Malahan, pasangan ini sangat terkenal dengan sifat taqwa dan keimanan yang tinggi. Keluarga mereka sangat dihormati malah Rasulullah sendiri mengakui hal itu.

Sehinggalah usia Aisyah meningkat remaja, Rasulullah digerakkan hatinya oleh Allah SWT untuk meminang Aisyah. Sementelah kematian Khadijah seolah-olah membawa kesepian dan kesedihan yang berpanjangan dalam hidup baginda, tibalah masanya untuk menerima pengganti.

Khaulah bt Hakim diutus Rasulullah untuk meminang Aisyah.

“Ummu Rauman, tahukah kau maksud kedatanganku ini. Aku membawa pinangan daripada manusia termulia di muka bumi. Rasulullah ingin melamar Aisyah, anak perempuanmu,” jelas Khaulah.

“Apa benar begitu?” tanya Ummu Rauman meminta penjelasan. Dia seolah-olah tidak percaya dengan berita gembira itu. Masakan tidak, Rasulullah itu bakal menjadi menantunya kelak.

‘Benar Ummu Rauman, Nabi Allah itu sering menyebut nama Aisyah sebagai calon isterinya. Apa kau tidak gembira dengan khabar ini? Lagipun, Siti Khadijah sudah lama meninggal dunia. Kini, baginda ingin mencari seorang isteri.

“Kelak, aku akan sampaikan berita ini kepada Abu Bakar,” ujar Ummu Rauman seolah tidak sabar menanti kepulangan suaminya.

Sebaik saja suaminya pulang, Ummu Rauman terus menyampaikan berita gembira itu. Tetapi sebaliknya berita itu diterima dengan perasaan serba salah oleh Abu Bakar. Siapa menyangka, sebelum ini, Aisyah telah dilamar oleh Muth’im bin Adiy untuk anak lelakinya. Abu Bakar tidak mampu memungkiri janji yang dibuat dengan lelaki itu.

Mendengar semua itu, Ummu Rauman terdiam. Mana mungkin mereka akan mungkir janji? Tapi bagaimana dengan pinangan Rasulullah?

Tetapi Allah SWT membuka jalan buat hamba-Nya yang keliru. Abu Bakar kembali berbincang bersama Muth’im. Keluarga itu rupa-rupanya belum memeluk Islam. Mereka sedang ragu-ragu untuk mengahwinkan anak lelaki mereka dengan Aisyah kerana bimbang terpaksa pula memeluk Islam.

Akhirnya kata sepakat diambil dan mereka membatalkan hasrat mereka dari mengambil Aisyah sebagai menantu. Abu Bakar sudah terlepas dari perasaan bersalah dan kini sudah sampai jodoh untuk Aisyah bersama Rasulullah SAW.

Khabar itu disambut dengan kesyukuran oleh Ummu Rauman. Sebagai ibu, bahagianya dirasa tatkala bakal mendapat menantu seorang manusia mulia dan terpilih. Pada tahun 2 Hijrah, Nabi Muhammad pun berkahwin dengan Aisyah. Perkahwinan mereka disambut dengan gembira oleh ahli keluarga dan umat Islam di Mekkah.

Seketika hidup sebagai ibu mertua kepada Rasulullah, Ummu Rauman menjalankan tanggungjawabnya sebaik mungkin. Malah dia banyak membantu baginda dalam usaha menyebarkan agama Islam. Dalam masa yang sama, Rasulullah amat menghormati ibu mertuanya itu.

Sesiapa yang hidup pasti akan pergi jua. Ummu Rauman meninggal dunia pada tahun 6 Hijrah. Kasih sayang Rasulullah ternyata amat mendalam buat Ummu Rauman. Sebaik saja ibu mertuanya itu meninggal dunia, Rasulullah sendiri berdoa kepada Allah SWT agar mengampuni segala dosa dan kesalahan Ummu Rauman.

Sehingga baginda sendiri pernah berkata, “ Sesiapa yang ingin melihat wajah bidadari dari syurga, lihatlah kepada Ummu Rauman.”

Begitulah wanita yang mendapat penghormatan yang begitu besar ketika hayatnya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger