Home » » RENUNGAN RAMADHAN 4

RENUNGAN RAMADHAN 4

Written By Mohd Amirul on Thursday, August 4, 2011 | 12:05 AM



Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Di antara perkara yang menjadi syi’ar dalam bulan Ramadhan ialah solat sunat tarawih yang kita hadiri pada malam ini. Solat ini sangat besar pahalanya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah r.a. katanya:

“ Rasulullah (saw) menganjurkan untuk mengerjakan solat pada malam bulan Ramadhan, tetapi tidak mewajibkannya. Beliau bersabda: “Barangsiapa yang bangun pada malam bulan Ramadhan kerana iman dan mengharapkan keredhaan Allah, maka diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu.” “

Cukuplah bagi kita hadis Nabi (saw) ini untuk menjadi perangsang kepada kita untuk solat tarawih. Baginda menganjurkannya sambil menjanjikan keampunan dari dosa-dosa yang telah lalu.


Saudara-saudari yang budiman,

Kita semua orang yang berdosa.. maka marilah kita merebut peluang untuk mendapatkan keampunan bagi dosa-dosa kita.

Satu perkara yang harus diperhatikan ialah syarat yang diletakkan oleh Nabi (saw) untuk mendapat pengampunan dosa yang telah lalu ialah kita bangun bersolat dengan “imaanan wah tisaaban” yang diterjemahkan sebagai kerana “ iman dan mengharapkan keredhaan Allah”. Maknanya kita memastikan ketulusan iman, keikhlasan niat, penyerahan yang redha kepada Allah. Ia bermakna kita perlu berusaha meningkatkan kualiti tarawih kita.

Satu perkara yang sering menjadi bahan polemik mengenai tarawih ialah bilangan rakaatnya. Polemik ini akan tidak berkesudahan kerana masing-masing mempunyai kekuatan hujjahnya masing-masing. Sikap terbaik dalam hal ini ialah kita berlapang dada dengan semua perbezaan pendapat yang wujud ini tanpa memperkecilkan atau meremehkan salah satu pendapat yang lain. Jika kita berpegang dengan 8 rakaat, jangalah kita menyalahkan atau merendahkan orang yang melaksanakan 20 rakaat. Begitu juga, jika kita berpegang kepada 20 rakaat, janganlah kita menyalahkan atau meremehkan orang yang bersolat 8 rakaat.

Allah maha Mengetahui isi hati, niat dan usaha manusia dan akan membalas sewajarnya.



Saudara-saudari yang budiman,

Apa yang perlu kita risaukan ialah, pertama kita bersolat tarawih. Janganlah kerana tidak bersetuju dengan bilangan rakaat, kita langsung tidak mahu solat tarawih. Kedua, bagaimana kualiti tarawih tersebut; tidak kira samada ianya 20 atau 8 rakaat. Peliharalah niat kita sentiasa.

Pokoknya, solat tarawih yang mempunyai kualiti “imaanan wah tisaaban” bukan dibuat sekadar melepaskan batuk di tangga tetapi dengan perancangan yang sedar dan pemilihan yang teliti. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita dan memasukkan kita di kalangan orang yang diredhai-Nya.

Oleh : Dr. Haji Omar bin Yaakob

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger