Home » » RENUNGAN RAMADHAN 21

RENUNGAN RAMADHAN 21

Written By Mohd Amirul on Sunday, August 21, 2011 | 5:44 PM

 Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Perang Badar begitu signifikan bagi sejarah Islam dan individu yang terlibat di dalamnya dimuliakan oleh Allah. Dalam riwayat-riwayat hadis biasanya gelaran “ ahli Badr” disebutkan selepas menyebut nama-nama mereka.

Para Sahabat Nabi yang terlibat dalam perang Badar mendapat penghormatan sehingga Nabi melarang Umar Ibn Khattab (ra) daripada mengapa-apakan Hatib Ibn Abi Baltaah yang cuba memberi amaran awal kepada penduduk Makkah mengenai rancangan Nabi menakluk Makkah. Nabi berkata , “Dia itu mengikuti perang Badr, betapa hilang ingatanmu kalau Allah melihat ahli Badar dan berfirman :

“Lakukanlah apa yang kalian kehendaki!, sungguh aku telah mengampuni kalian”. (hadis Riwayat Bukhari)

Rifaa(ra) meriwayatkan:

Jibrail datang menemui Nabi (saw) dan bertanya: “ Bagaimana pandangan kamu tentang ahli Badar di kalangan kamu? “ Nabi menjawab: “ Mereka adalah golongan terbaik di kalangan Muslimin.” Jibrail berkata: “ Begitu juga pandangan Malaikat yang turut menyertai Perang Badar”. (hadis Riwayat Bukhari)

Mengapa kedudukan mereka begitu tinggi?

Mereka ialah orang yang dipilih oleh Allah menjadi pembela agama dalam keadaan yang begitu genting. Mereka adalah orang melayakkan diri menerima anugerah dari Allah berupa pertolongan langsung dari para malaikat: (Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Rabbmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu :

"Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang bertutut-turut". (surah al-Anfaal:9)

Mereka melayakkan diri kerana mereka telah memberikan segala-galanya untuk Islam. Mereka menerima Islam di saat orang lain mencemuhnya. Mereka pasrah taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka benar-benar mengotakan janji mereka untuk bekorban demi mempertahankan Islam. Mereka bersedia mati
kerana mempertahankannya. Mereka maju ke depan sekalipun mereka tahu mereka bakal berdepan dengan tentera yang jauh lebih besar dan lebih baik kelengkapannya. Mereka tidak meninggalkan Nabi dalam saat genting sedemikian. Apabila mendapat berita tentang pergerakan tentera Quraish, Rasulullah (saw) bermesyuarat dengan para Sahabatnya. Lihat apa yang dikatakan oleh Miqdad Ibn Amr (ra):

"Rasulullah, teruskanlah apa yang sudah ditunjukkan Allah. “Kami akan bersama tuan. Kami tidak akan mengatakan seperti Banu Israil yang berkata kepada Musa: "Pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah. Kami di sini akan tinggal menunggu. Tetapi, pergilah engkau dan Tuhanmu, dan berperanglah, kami bersamamu akan juga turut berjuang.”

Demikian ciri-ciri khusus para ahli Badar yang telah mendapat anugerah yang begitu tinggi dari Allah. Sempena bulan Ramadhan ini, ulangtahun perjuangan mereka, marilah kita mencontohi mereka dengan berusaha untuk berkorban setakat kemampuan kita demi untuk agama yang tercinta. Semoga Allah mengurniakan kita sebahagian dari sifat dan ciri ahli Badar.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger