Home » , » TANDA-TANDA MATI YANG BAIK (HUSNUL KHAA -TIMAH)

TANDA-TANDA MATI YANG BAIK (HUSNUL KHAA -TIMAH)

Written By lurim on Tuesday, March 1, 2011 | 5:29 AM



Sesungguhnya Allah SWT Yang Maha Mengetahui ada menzahirkan tanda-tanda husnul khaa-timah keatas hamba-hambaNya yang beriman, berbuat kebajikan dan beramal soleh sebelum meninggalkan dunia ini. Tanda-tanda ini merupakan suatu kemuliaan daripada Allah SWT kepada simati sebagai sebahagian dari limpah kurniaNya keatas hamba-hambaNya yang beriman.

Juga sebagai khabar gembira kepada keluarga simati bahawa orang tersayang yang telah kembali bertemu Penciptanya dikurniakan "tanda kebaikan" dalam kesudahan terakhir dari kehidupannya di dunia ini.

Perlu diperjelaskan bahawa jika sekiranya salah satu dari tanda-tanda husnul khaa-timah ini diperolehi oleh orang kafir maka ia adalah secara kebetulan semata-mata. Ini kerana tanda-tanda ini terlalu "mahal harganya" untuk dimiliki oleh mereka yang kufur kepadaNya.

Tanda-tanda tersebut ialah:

Pertama: Dapat mengucap syahadah ketika hampir mati. Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Haa-kim:


مَنْ كَانَ آخِرُ كَلاَمِهِ " لاَ إِلهَ إِلاَّ الله ُ" دَخَلَ الْجَنَّةَ

Maksudnya: Barangsiapa yang akhir ucapannya  لا إله إلا الله  ia dapat masuk syuga.


Kedua: Mati dalam keadaan percikan peluh didahi. Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasaa-i, Ibnu Maa-jah, Ibnu Hibbaa-n, al-Haa-kim:

مَوْتُ الْمُؤْمِنِ بِعَرَقِ الْجَبِيْنِ

Maksudnya: Mati orang beriman itu dengan percikan peluh didahi.


Ketiga: Mati pada siang atau malam Jumaat. Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Ahmad, at-Tirmizi:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوْتُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوْ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ إِلاَّ وَقَاهُ اللهُ فِتْنَةَ الْقَبْرِ

Maksudnya: Mana-mana orang Islam yang mati pada siang hari Jumaat atau malam Jumaat nescaya Allah menyelamatkannya dari fitnah (soal dan azab) kubur.


Keempat: Mati syahid dimedan perang fisabilillah (pada jalan Allah). Firman Allah SWT didalam Surah Aalu 'Imran ayat 169-171:

وَلاَ تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُواْ فِي سَبِيلِ اللّهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاء عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ {169} فَرِحِينَ بِمَا آتَاهُمُ اللّهُ مِن فَضْلِهِ وَيَسْتَبْشِرُونَ بِالَّذِينَ لَمْ يَلْحَقُواْ بِهِم مِّنْ خَلْفِهِمْ أَلاَّ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ {170} يَسْتَبْشِرُونَ بِنِعْمَةٍ مِّنَ اللّهِ وَفَضْلٍ وَأَنَّ اللّهَ لاَ يُضِيعُ أَجْرَ الْمُؤْمِنِينَ {171}

Maksudnya: Janganlah kamu menyangka bahawa orang-orang yang terbunuh dijalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup disisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. Mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurnia Allah yang diberikanNya kepada mereka. Dan mereka bergirang hati terhadap orang-orang yang masih tinggal di belakang mereka yang belum menyusul mereka bahawa tiada ketakutan terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati. Mereka bergirang hati dengan nikmat dan kurnia yang besar dari Allah dan bahawa Allah tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang beriman.


Kelima: Mati didalam perjuangan fisabilillah (kerana menegakkan Agama Allah). Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat  Muslim, Ibnu Maa-jah:

مَنْ قُتِلَ فِي سَبِيْلِ اللهِ فَهُوَ شَهِيْدٌ وَمَنْ مَاتَ فِي سَبِيْلِ اللهِ فَهُوَ شَهِيْدٌ

Maksudnya: Barangsiapa yang terbunuh pada jalan Allah (dimedan perang) maka ia mati syahid dan barangsiapa yang mati pada jalan Allah maka ia mati syahid.

Keenam: Mati kerana sakit taun.
Ketujuh: Mati lemas.
Kelapan: Mati sakit paru-paru.
Kesembilan: Mati kerana sakit perut.
Kesepuluh: Mati terbakar.
Kesebelas: Mati dihempap benda keras.
Keduabelas: Perempuan yang mati disebabkan anak yang dikandungnya.
Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Maa-lik, Ahmad, Abu Daud, an-Nasaa-i, Ibnu Hibbaa-n:

الشَّهَادَةُ سَبْعٌ سِوَى الْقَتْلِ فِي سَبِيْلِ اللهِ: الْمَطْعُوْنُ شَهِيْدٌ وَاْلغَرِقُ شَهِيْدٌ وَصَاحِبُ ذَاتِ اْلجَنْبِ شَهِيْدٌ وَالْمَبْطُوْنُ شَهِيْدٌ وَصَاحِبُ الْحَرِيْقِ شَهِيْدٌ وَالَّذِي يَمُوْتُ تَحْتَ الْهَدْمِ شَهِيْدٌ وَالْمَرْأَةُ تَمُوْتُ بِجُمْعٍ شَهِيْدٌ

Maksudnya: Orang yang mati syahid selain mati terbunuh pada jalan Allah (di medan perang) ada tujuh:
  1. Mati sakit taun adalah syahid.
  2. Mati lemas adalah syahid.
  3. Mati sakit paru-paru adalah syahid.
  4. Mati sakit perut adalah syahid.
  5. Mati terbakar adalah syahid.
  6. Mati dihempap benda keras adalah syahid.
  7. Perempuan yang mati disebabkan anak yang dikandungnya adalah syahid.

Keterangan: Mati syahid terbahagi tiga:
  1. Syahid dunia dan akhirat (yaitu sesiapa yang mati dimedan perang menentang orang-orang kafir).
  2. Syahid dunia (yaitu sesiapa yang mati dimedan perang tetapi ia berperang dengan niat yang tidak ikhlas - seperti berperang kerana hendak tunjuk berani, mahukan harta rampasan perang - atau ia mengkhianati harta rampasan perang atau ia lari dari medan perang).
  3. Syahid akhirat (yaitu sesiapa yang mati selain mati di medan perang menentang orang-orang kafir yang di sebut secara khusus oleh Nabi Muhammad SAW seperti mati kerana sakit taun dan lain-lain di atas).

Bagi sesiapa yang mati syahid akhirat ini mayat mereka dimandi serta disembahyangkan dan diakhirat nanti mereka akan memperolehi pahala orang-orang yang mati syahid – yakni pahala syahid dunia dan akhirat – (Imam An-Nawawi, Syarah Soheh Muslim Jilid 7 mukasurat 72 cetakan Darul Hadith Al-Qaherah, cetakan pertama 1994 M – 1415 H).


Ketigabelas: Mati kerana penyakit batuk kering. Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat at-Thobaraa-ni:


..........وَالسِّلُ شَهَادَةٌ

Maksudnya:………..dan mati kerana penyakit batuk kering adalah syahid.


Keempatbelas: Mati kerana mempertahankan harta (kerana cuba di rampas).
Kelimabelas: Mati kerana mempertahankan Agama.
Keenambelas: Mati kerana mempertahankan jiwa/nyawa (sendiri atau ahli keluarga)
. Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasaa-i:

مَنْ قُتِلَ دُوْنَ مَالِهِ فَهُوَ شَهِيْدٌ وَمَنْ قُتِلَ دُوْنَ دِيْنِهِ فَهُوَ شَهِيْدٌ وَمَنْ قُتِلَ دُوْنَ دَمِهِ فَهُوَ شَهِيْدٌ وَمَنْ قُتِلَ دُوْنَ أَهْلِهِ فَهُوَ شَهِيْدٌ

Maksudnya: Barangsiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya maka dia syahid, barangsiapa yang mati kerana mempertahankan Agamanya maka dia syahid, barangsiapa yang mati kerana mempertahankan darahnya (nyawanya) dia syahid dan barangsiapa yang mati kerana mempertahankan ahli keluarganya dia syahid.


Ketujuhbelas: Mati ketika berkawal/bertugas fisabilillah. Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Ahmad, Muslim, at-Tirmizi, an-Nasaa-i, al-Haa-kim, at-Thobaraa-ni:

رِبَاطُ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ خَيْرٌ مِنْ صِيَامِ شَهْرٍ وَقِيَامِهِ وَإِنْ مَاتَ جَرَى عَلَيْهِ عَمَلُهُ الَّذِي كَانَ يَعْمَلُهُ وَأُجْرِيَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ وَأَمِنَ اْلفَنَّانَ

Maksudnya: Berkawal/bertugas sehari semalam (dalam riwayat Ahmad dan An-Nasai: pada jalan Allah) lebih baik daripada berpuasa sebulan dan mendirikan malamnya. Sekiranya ia mati, mengalir (berterusan) kepadanya pahala amalan yang telah dikerjakannya, berterusan rezekinya kepadanya dan ia aman (selamat) dari fitnah (disoal) malaikat Al-Munkar dan An-Nakir.

Kelapanbelas: Mati ketika mengerjakan amalan soleh. Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Ahmad:

مَنْ قَالَ " لا إله إلا الله " ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللهِ خُتِمَ لَهُ بِهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ صَامَ يَوْمًا ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللهِ خُتِمَ لَهُ بِهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللهِ خُتِمَ لَهُ بِهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ

Maksudnya: Barangsiapa mengucapkan "لا إله إلا الله" kerana mengharapkan Wajah Allah (ikhlas semata-mata kerana Allah) lalu dimatikan ia dengannya, ia masuk syurga. Barangsiapa berpuasa sehari kerana mengharapkan Wajah Allah lalu dimatikan ia dengannya, ia masuk syurga. Dan barangsiapa yang bersedekah dengan satu sedekah kerana mengharapkan Wajah Allah lalu dimatikan ia dengannya, ia masuk syurga.


Kesembilanbelas: Mati di al-Madinah (kota tempat hijrah Nabi SAW). Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Maa-jah, Ibnu Hibbaa-n:

مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَمُوْتَ بِالْمَدِيْنَةِ فَلْيَمُتْ بِالْمَدِيْنَةِ فَإِنِّي أَشْفَعُ لِمَنْ مَاتَ بِهَا

Maksudnya: Barangsiapa dikalangan kamu yang mampu/dapat mati di Al-Madinah maka hendaklah ia mati di al-Madinah kerana sesungguhnya aku akan memberi syafaat kepada sesiapa yang mati disitu.


Keduapuluh: Mati dibunuh oleh pemerintah yang zalim kerana berkata benar kepada mereka. Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat al-Haa-kim:

سَيِّدُ الشُّهَدَاءِ حَمْزَةُ بْنُ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ وَرَجُلٌ قَامَ إِلَى إِمَامٍ جَائِرٍ فَأَمَرَهُ وَنَهَاهُ فَقَتَلَهُ

Maksudnya: Penghulu orang-orang yang mati syahid ialah Hamzah bin Abdul Muttholib dan lelaki yang berdiri kepada imam/pemerintah yang zalim maka ia menyuruh dan menegahnya (pemerintah) lalu ia dibunuh.

Keterangan: Lelaki yang dibunuh oleh pemerintah yang zalim tadi tergolong didalam golongan penghulu orang-orang yang mati syahid sama seperti Hamzah RA.


SISIPAN:
Disamping memberi perhatian kepada tanda-tanda husnul-khaatimah, juga perlu diambil peringatan tentang perkara-perkara yang perlu ada pada diri seseorang ketika hampir mati. Terdapat 4 perkara, yaitu:

Pertama: Sabar atas ketetapan Allah yang menimpanya. Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Muslim, al-Baihaqi yang menyebut mengenai orang beriman:

وَإِنْ أَصَابَهُ ضَرَّاء ُصَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya: Dan sekiranya ia ditimpa kesukaran, ia bersabar maka itu adalah baik baginya.

Kedua: Harap ( الرَّجَاءُ). Maksudnya mengharapkan rahmat Allah.
Ketiga: Takut ( الْخَوْفُ)
. Maksudnya takut akan azab Allah atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Kedua-dua perkara ini berdasarkan hadith riwayat at-Tirmizi, Ibnu Maa-jah dari Anas RA yang menceritakan:


أَنَّ النَّبِيَّ (ص) دَخَلَ عَلَى شَابٍّ وَهُوَ بِالْمَوْتِ فَقَالَ: كَيْفَ تَجِدُكَ؟ قَالَ: وَاللهِ يَا رَسُوْلَ اللهِ إِنِّي أَرْجُو الله َوَإِنِّي أَخَافُ ذُنُوْبِي. فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ (ص): لاَ يَجْتَمِعَانِ فِي قَلْبِ عَبْدٍ فِي مِثْلِ هَذَا الْمَوْطِنِ إِلاَّ أَعْطَاهُ الله ُمَا يَرْجُو وَآمَنَهُ مِمَّا يَخَافُ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW masuk keatas seorang pemuda yang sedang hampir mati lalu bersabda: Bagaimana kamu rasai? Jawabnya: Demi Allah ya Rasulullah, sesungguhnya aku mengharapkan (rahmat) Allah dan sesungguhnya aku takut akan dosa-dosaku. Maka Rasulullah SAW bersabda: Tidak berhimpun dua perkara ini (harap dan takut) didalam hati seorang hamba seperti dalam keadaan seperti ini kecuali Allah berikan apa yang ia harapkan dan memberi keamanan dari apa yang ia takuti.

Keempat: Bersangka baik terhadap Allah. Maksudnya Allah pasti mengasihi, merahmati, mengampuni kita. Ini berdasarkan perkhabaran dari Jabir RA yang mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda tiga hari sebelum kewafatan Baginda sebagaimana hadith riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud, Ibnu Maa-jah:

لاَ يَمُوْتَنَّ أَحَدُكُمْ إِلاَّ وَهُوَ يُحْسِنُ الظَّنَّ بِاللهِ

Maksudnya: Janganlah salah seorang dari kamu mati melainkan hendaklah ia bersangka baik terhadap Allah.

Itulah empat perkara penting yang mesti wujud didalam diri seseorang ketika berada dipenghujung kehidupan ini. Sedarilah bahawa mati adalah "berpindah alam" yang berhajat kepada aqidah serta keimanan yang benar dan amalan soleh yang banyak sebagai bekalan untuk kealam seterusnya.


Disediakan oleh: Ustaz Ibrahim Mohd Raja al-Maniri
Sumber : http://assabil2.blogspot.com

Daftar Rujukan:

1) Al-Quran dan terjemahannya.
2) Kitab-kitab Hadith yang disebut periwayatannya diatas.
3) Syarah Soheh Muslim, Yahya bin Syaraf an-Nawawi.
4) Ahkam al-Janaa-iz, Muhammad Naa-siruddin al-Albaa-ni.
Share this article :

+ comments + 1 comments

March 1, 2011 at 5:44 PM

Satu perkongsian yang baik untuk peringatan pada diri saya.

Post a Comment
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger