Home » , » HUKUM BERSOLEK ATAU TABARRUJJ BAHAGIAN 3

HUKUM BERSOLEK ATAU TABARRUJJ BAHAGIAN 3

Written By lurim on Monday, March 7, 2011 | 9:19 AM



SIKAP IBUBAPA (DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK)

Sekarang mari kita beralih pula pandangan. Bagaimanakah sikap ibubapa terhadap anak-anak mereka, terutamanya anak-anak yang masih gadis remaja. Kita rasa sungguh kesal kerana ada di antara ibubapa yang menggalakkan anak- anak gadis mereka supaya bermake-up dan berfesyen. Mereka berpendapat bahawa dengan berpakaian tersebut, ia semakin tambah menarik kepada setiap orang yang melihat. Dengan cara tersebut, mungkin anak gadis mereka segera dilamar.

Berfikirlah wahai ibubapa semua. Kamu bertanggungjawab terhadap anak- anak, bertanggungjawab pula di masa depan mereka dan bertanggungjawab di hari perhitungan di hadapan Allah nanti.

Relakah hati kamu menjadikan anak-anak kamu seperti barang-barang dagangan yang boleh dijual-beli. Ingatlah, lelaki hartawan sahaja yang akan memperisterikan mereka. Orang yang banyak harta memang mampu membeli kecantikan untuk memuaskan nafsu mereka. Selepas itu janganlah kamu kesal wahai ibubapa andainya anak-anak perempuan dipersia-siakan atau dibiarkan begitu sahaja lantaran anak perempuan kamu tidak lagi mempunyai keistimewaan seperti di zaman gadis dahulu. Ibarat kata pepatah “habis madu sepah dibuang”.

Lelaki yang beriman dan mematuhi segala suruhan Allah tidak akan melamar anak kamu kerana mereka orang ‘arif, yang mana intan dan yang mana saduran. Hanya jauhari yang mengenal manikam. Tidak logik lelaki yang beriman akan memilih perempuan yang rosak akhlak dan tidak berbudi pekerti sebagai teman hidup mereka.

Setelah berdiskusi dengan para ibubapa, sekarang mari pula kita membuat tinjuan secara ringkas bagaimana pula keadaaan suri-suri rumahtangga, khasnya di bidang make-up. Mereka melahirkan reaksi dengan kata, “Kami keluar rumah dengan bermake-up hanya untuk memuaskan hati suami dan patuh kepada kehendaknya”. Reaksi sedemikian rupa adalah palsu dan alasan tersebut memang tidak berasas sama sekali. Adakah dengan mematuhi suruhan suami tersebut boleh dijadikan alasan untuk mengelakkan kemurkaan Allah? Allah Pencipta kamu dan juga suami kamu. Supaya lebih jelas lagi, mari kita renungi sabda Rasul s.a.w yang bermaksud:

“Jangan kamu taat sesama manusia hingga kamu sanggup derhaka kepada Allah, Allah Pemcipta manusia” dan sabda baginda s.a.w lagiyang bermaksud: “Tiada kepatuhan melainkan kepada kebaikan”.
Manakala Allah pula telah berfirman yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, ta’atilah Allah dan RasulNya, juga kepada pemerintah-pemerintah yang terdiri daripada kamu……” (al-Nisaa’: 59)

Berpandukan kepada maksud Hadith dan ayat al-Quran di atas, adakah kamu wahai suri-suri rumah diwajibkan menta’ati suruhan suami terlebih dahulu sebelum melaksanakan suruhan Allah dan RasulNya?? Jika kamu memahami ayat- ayat al-Quran sudah pasti kamu sendiri dapat memberi jawapan. Mengikut konteks hadith Rasulullah dan firman Allah yang tersebut, bukanlah pengertian seperti yang difahami oleh puan-puan. Malahan fahaman yang sebenar ialah mematuhi suruhan Allah dan RasulNya sebelum menta’ati orang-orang yang bertanggungjawab terhadap diri kamu, seperti menta’ati kedua ibubapa, suami dan pemerintah. Ta’at setia ini kita berikan kepada mereka tersebut selama mana suruhan mereka tidak berlawanan dengan suruhan Allah dan RasulNya. Jika suruhan mereka didapati bertentangan dengan suruhan Allah dan RasulNya, mestilah kita kembali kepada ajaran Allah dan RasulNya.

Suami yang tidak menta’ati suruhan Allah dan menyuruh kamu pula jangan menta’ati suruhan Allah, maka jangan sekali-kali kamu mematuhi suruhan tersebut, walaupun kamu terpaksa mengalami berbagai-bagai masalah. Umpamanya berkemungkinan kamu ditinggalkan sekiranya kamu diceraikan, berpisahlah anak-anak kamu dan hancur leburlah rumahtangga kamu.

Perlu diingatkan, jika kamu seorang wanita yang patuh dan ta’at kepada ajaran Islam tidak mungkin kamu dapat hidup bahagia di samping suami yang korup, runtuh moralnya, tidak berbudi pekerti yang mulia dan durhaka pula terhadap ajaran Allah. Jiwa yang suci murni akan berbahagia di samping bertuhankan harta benda walaupun dibendung istana yang bertatahkan ratna mutu-manikam.

Allah juga berfirman di dalam surah al-Mujadalah ayat 22 yang bermaksud:

“Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa atau anak-anak atau saudara- saudara ataupun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang Allah telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripadaNya. Dan dimasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya. Allah redha terhadap mereka dan mereka pun merasa puas terhadap limpahan rahmatNya. Meraka itulah golongan Allah. Ketahuilah bahawa golongan Allah, itu golongan yang beruntung”.



BERMAKE-UP ….HARAM!

Ramai di kalangan belia-beliawanis sekarang yang telah bertuhankan hawa nafsu. Mereka sanggup mengatakan bahawa mereka masih muda remaja, belum tiba masanya untuk bertudung dan berjubah. Idea mereka seolah-olah memberi erti bahawa bertudung kepala dan berbaju menutup ‘aurat hanyalah untuk golongan tua yang akan mati esok atau lusa. Allah menyuruh setiap wanita – samada yang masih remaja atau telah tua, tetapi masih memakai alat-alat solek supaya memakai tudung. Wanita-wanita yang telah lanjut usia, perjalanan haid telah terputus, maka mereka dibenarkan berbuka kepala andainya mereka tidak menggunakan sebarang alat-alat make-up di bahagian muka atau menggunakan rambut palsu.

Untuk menjelaskan lagi, Allah telah berfirman yang bermaksud:

“Perempuan-perempuan tua yang telah terhenti haid dan mengandung, tiada keinginan berkahwin lagi, tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka dengan tidak bermaksud menampakkan perhiasan, dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” (al-Nur: 60)

Mengikut fahaman ayat tersebut, jelaslah bahawa Allah s.w.t telah memberi satu keistimewaan kepada nenek-nenek yang telah lanjut usia. Mereka dibolehkan keluar rumah dengan tidak bertudung. Meskipun kemudahan tersebut diberi, tetapi nenek-nenek harus ingat, Allah s.w.t membolehkan mereka membuka kepala dan muka dengan syarat yang telah lanjut, tetapi sekiranya hati masih remaja, ingin bersolek, bermake-up dan sebagainya, maka hukumnya samalah dengan wanita-wanita yang masih muda remaja. Wajib bertudung.

Allah Maha Kuasa untuk menciptakan manusia dalam bentuk apa jua sekalipun. Ada wanita-wanita yang berupa paras kurang cantik. Umpamanya muka yang berparut, ada pula kulit mukanya yang berbintil-bintil dan ada pula yang memiliki rambut panjang. Terhadap golongan-golongan ini pula, harus diingatkan bahawa berhijab atau bertudung bukanlah diwajibkan terhadap wanita-wanita yang cantik sahaja. Oleh itu jangan kamu mengambil kesempatan mendedahkan ‘aurat kamu atau mengunakan alat-alat solek untuk menutup kekurangan tadi. Tutupilah dengan hijab seperti yang dikehendaki Islam. Bukankah itu lebih baik…?!

Berhati-hatilah wahai puan! Selera lelaki bukan sama. Ada yang sukakan wanita berbadan kurus, berpinggang ramping, sedangkan yang lain pula sukakan wanita bertubuh rendang, atau berkulit kuning. Ada lelaki pula yang terlalu berkemahuan, pantang melihat si hitam manis. Memang benar apa yang dikatakan, “Setiap manusia ada jodoh dan pasangannya”.

Allah s.w.t menyuruh semua wanita supaya berhijab dan melarang mereka dari mengamalkan pergaulan bebas yang sudah merebak pada hari ini. Di sebalik suruhan dan larangan tersebut ada hikmah-hikmahnya. Umpamanya, seorang suami yang memiliki isteri yang kurang cantik, tidaklah berhasrat untuk merampas isteri saudaranya yang cantik. Masakan dia dapat berbuat demikian sedangkan dia tidak pernah melihat ‘aurat wanita lain selain daripada isterinya. Oleh itu bagaimana sekalipun rupa paras isterinya, itulah secantik-cantik wanita yang halal baginya di dunia ini. Dengan demikian setiap hidup aman damai, anak- anak tidak terpisah dari ibu kandungnya, masyarakat juga aman bahagia.

Wahai wanita-wanita Islam! Tutupilah ‘auratmu seperti yang disyariatkan Islam. Janganlah kamu menggunakan kecantikan anggota mengikut perasaan. Sedarlah, disebabkan pendedahan yang kamu lakukan, sudah berapa banyak belia-belia yang tergoda dan tersiksa. Oleh itu awasilah moral dan akhlak kamu semua. Hayatilah ajaran al-Quran dan Sunnah Rasulullah.

Seperti yang dijelaskan, memang sukar untuk melayan selera jumhur, tidak sesukar melayan selera suami di rumah, tetapi setelah bertopengkan syaitan, perkara yang sukar menjadi idaman. Sebagai bukti, cuba lihat beberapa wanita hari ini yang tidak mungkin keluar rumah andainya muka belum disaluti Amami, bibir belum digincu, mata belum dikenakan eye-shadow dan pipi belum dimerahkan.

Hakikat sebenarnya, segala yang kamu kerjakan merugikan diri kamu sendiri. Di dunia dan di akhirat. Di dunia, kamu membazirkan wang beringgit- ringgit sementara di akhirat pula kamu berbogel di dalam neraka.

Sungguh sial andainya kecantikan membawa padah. Ke mana sahaja kamu pergi, lelaki ganas yang kamu temui sedangkan lelaki yang baik beradab akan menjauhkan diri.

Wahai wanita Islam semua! Tepuk dada tanya selera. Betulkah kamu benar- benar beriman kepad Allah, cinta dan patuh pula kepada segala suruhanNya. Sekiranya Rasulullah s.a.w masih hidup, apalah teguran dan peringatan Baginda terhadap kamu semua yang masih bermake-up, bersenang-senangan dan bercampul gaul di antara lelaki dengan perempuan tanpa batasan yang tertentu. Meskipun Rasulullah telah pergi meninggalkan kamu terlebih dahulu, namun Allah tetap kekal buat selama-lamanya. Dia tetap melihat apa yang kamu kerjakan, samada baik atau buruk.

Tergambarlah di fikiran, bagaimana dahsyatnya siksaan di hari Mahsyar kelak. Kalau tergambar demikian, kenapa masih tidak mahu beramal..?!

Harus diingatkan, di hari Mahsyar nanti, kamu tidak berhak memproters di hadapan Allah. Rasul telah diutuskan dan segala suruhan serta larangan telah disampaikan kepada manusia semua.

Semua suruhan dan larangan tersebut terbentang di hadapan kamu. Oleh itu hak memilih terserahkan kepada kamu, samada suka bergaul bersama-sama saudara kamu di syurga atau rela badan tersiksa di dalam neraka di hari kebangkitan kelak. Dengan jelas Rasulullah bersabda yang maksudnya:

“Terdapat dua golongan daripada umatku yang terdiri daripada ahli neraka. Satu golongan, didapati bersama-sama mereka itu, tongkat-tongkat yang sentiasa terhayun- hayun laksanan ekor lembu, lalu manusia dipalu dengannya; golongan yang kedua, terdiri dari perempuan-perempuan yang berpakaian separuh bogel, pelacur- pelacur, berkepala besar dan terkulai-kulai; mereka tidak mungkin masuk ke syurga; baunya yang tidak mungkin mereka rasai; masakan mereka dapat menyedut bauan tersebut sedangkan jarak jauh di antara mereka dengan syurga melebihi ilma ratus tahun perjalanan”.

Andai puan-puan masih meraba-raba di siang hari, menentang ajaran al- Quran dan Hadith, mengikut perasaan dan dorongan Iblis hingga melewati perbatasan yang dilarang Alllah, nescaya kamu terjerumus ke lembah maksiat. Ini telah dijelaskan oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud:

“Sesiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya serta melanggar ketentuan-ketentuanNya nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam api neraka. Ia kekal didalamnya dan baginya siksaan yang amat menghinakan” (al-Nisaa’: 14) 

Awas puan-puan semua jangan sampai hidup bersandiwara, menafikan kebenaran, mempertahankan kemungkaran. Tidakkah kamu terfikir bahawa bermake-up satu perbuatan yang salah? Ya, jika perasaan dikuasai iblis, kuasa penglihatan sudah tidak bererti lagi. Yang halal dikatakan haram dan yang haram dikatakan halal. Allah memberi peringatan dalam firmanNya yang bermaksud:

 “Apakah orang yang dijadikan syaitan menganggap baik perkerjaaan yang buruk, lalu dia menyakini perkerjaan itu baik, sama dengan orang yang ditipu oleh syaitan? Sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang dikehendakiNya. Janganlah dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat” (al-Fatir: 8)

Hanya inilah diskusi yang dapat saya utarakan. Saya rasa sudah cukup sebagai pengenalan dasar untuk saudara-saudari yang cintakan kebenaran. Terhadap golongan yang masih lalai, saya ingin berseru. Berfikirlah dua kali, bahkan tiga kali, atau empat kali dan seterusnya hingga mendapat petunjuk semata-mata datangnya dari Allah. Oleh itu tunduk dan sujudlah kepada Allah pohonlah hidyat dariNya, mintalah petunjuk dariNya. Mudah-mudahan kamu dapat membezakan yang mana golongan yang berpihak kepada golongan kolot yang masih berpakaian membuka ‘aurat, tak ubah seperti di zaman jahiliyyah, agaknya inilah yang dikatakan “Jahiliyyah Kedua Puluh”.



WANITA DALAM NERAKA

Di sini saya ingin mengutarakan satu peristiwa yang telah disaksikan oleh Rasulullah s.a.w semasa dalam perjalanan Isra’ Mi’raj yang ada kaitannya dengan penghuraian tabarruj.

Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali karam allahu wajhah:

“Saya dengan Fatimah pergi mengadap Rasulullah s.a.w kami dapati baginda sedang menangis lalu kami bertanya kepadanya:

“Apakah yang menyebabkan ayahanda menangis, ya Rasulullah?”
Rasulullah menjawab:

“Aku lihat ada perempuan rambutnya tergantung, otaknya menggelegak. Aku lihat perempuan yang digantung lidahnya, tangannya terikat ke belakang dan Qathran (air yang menggelegak) dicurahkan ke dalam halkumnya. Aku lihat perempuan tergantung, kedua kakinya diikat, tangannya terikat di umbun- umbunnya dan disuakan dengan ular dan kala.

Aku lihat perempuan yang memakan badannya sendiri, di bawahnya dinyalakan api. Aku mlihat perempuan yang memotong tubuhya dengan gunting daripada api neraka. Aku lihat perempuan yang bermuka hitam, memakan tali perutnya sendiri. Aku lihat perempuan yang telinganya pekak dan matanya buta, diisi ke dalam sebuah peti yang diperbuat daripada api neraka, otaknya keluar dari lubang hidungnya, badannya berbau busuk, kerana berpenyakit sopak dan kusta. Aku lihat perempuan yang kepalanya seperti khinzir, badannya seperti badan keldai, beribu-ribu kesengsaraan yang dirasainya. Aku lihat perempuan, rupanya seperti anjing, kala dan ular masuk ke kemaluannya, atau ke mulutnya dan keluar di duburnya. Malaikat memukul kepalanya dengan corong daripda api neraka”.


Fatimah pun berdiri dan bertanya kepada ayahnya:

“Ayahanda yang dikasihi, ceritakanlah kepada anakanda; apakah kesalahan yang dilakukan oleh perempuan-perempuan itu?”. Rasulullah menjawab:

“Fatimah, adapun perempuan yang tergantung rambutnya itu ialah perempuan yang tidak menutup rambutnya daripada lelaki yang yang bukan muhrimnya.

Perempuan yang lidahnya tergantung itu ialah perempuan yang menggunakan lidahnya untuk memaki hamun dan menyakiti hati suaminya.

Perempuan yang kedua-dua kakinya tergantung itu ialah perempuan yang keluar dari rumahnya dengan tidak mendapat keizinan daripada suaminya dan tidak mahu mandi suci daripada haid dan nifas.
 
Perempuan yang memakan badannya sendiri itu ialah kerana ia berhias untuk lelaki yang bukan suaminya dan suka mengumpat-ngumpat orang.

Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka, ia memperkenalkan dirinya kepda orang asing, bersolek dan berhias supaya kecantikannya itu dilihat ole lelaki lain.

Perempuan yang diikat kedua-dua kakinya, tangannya diikat ke arah umbun-umbun dan disuakan dengan ular dan kala, ianya boleh bersembahyang dan berpuasa, tetapi tidak mahu mengambil air sembahyang dan tidak mahu mandi janabah (junub).

Perempuan yang kepalanya itu seperti khinzir dan badannya berupa badan keldai ialah perempuan ahli pengumpat dan pendusta

Perempuan yang seperti anjing itu adalah perempuan yang suka membuat fitnah dan membenci suaminya”.



Lampiran: Ringkasan Petikan dari Dr. Abdul Karim Zaidan, PhD Baghdad

TABARRUJ DAN IKHTILAT (PERCAMPURAN/PERGAULAN)

TABARRUJ
  • Tabarruj bererti wanita menunjukkan dan merperagakan perhiasan dan kecantikannya untuk menarik perhatian kaum lelaki dan meransang keinginan mereka. Dalil: surah al-Ahzab ayat 33.
  • Tabarruj jahiliyyah bererti wanita membuka niqabnya hingga mendedahkan muka, kecantikan dan perhiasannya.
  • Tabarruj hari ini tidak sesuai diistilahkan dengan tabarruj jahiliyyah kerana wanita sekarang bukan setakat membuka tutupan muka dan memperagakan kecantikannya tetapi lebih dari itu. Tabarruj hari ini dengan memdedahkan separuh tubuh, malah lebih dari itu.
  • Istilah yang lebih sesuai ialah istilah yang pernah digunakan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya yang bermaksud ‘separuh telanjang’ (al-kaasiaat al-‘aariyaat).
  • Tabarruj yang diharamkan ialah:

  • Tabarruj di luar rumah denga berhias bukan untuk suami.
  • Mendedahkan muka dengan tujuan meransang keinginan dan syahwat lelaki.
  • Bersolek dan berhias belebihan.
  • Menggunakan alat-alat solek / make-up.
  • Mempercantikkan bibir, alis dan pipi (mempercantikkan raut muka).
  • Dan lain-lain.
  • Termasuk dalam istilah tabarruj ialah fesyen-fesyen pakaian. Ini kerana pada dasarnya pakaian wanita sama dengan pakaian lelaki iaitu menutup aurat.
  • Ciri pakaian syar’ie wanita ialah:
  • pakaian mestilah meliputi seluruh tubuh wanita
  • pakaian itu mestilah longgar
  • tidak nipis
  • bukan pakaian yang mempunyai nilai untuk bermegah-megah dengannya
  • tidak menyamai pakaian lelaki
  • Pakaian yang tidak memenuhi ciri ini dikira sebagai pakaian yang tabarruj.
  • Berpakaian kemas,smart dan ceria bukan dikira tabarruj.
  • Termasuk dalam istilah tabarruj memakai barang perhiasan diri.
  • Perhiasan ialah semua yang dijadikan perhiasan oleh wanita samada pakaian atau sesuatu yang dijadikan perhiasan diri.
  • Antara perhiasan yang dibenarkan ialah membersihkan diri dari segala aspek, termasuk membersih sesuatu yang fitrah.
  • Jenis perhiasan antaranya:
  • Barangan perhiasan yang terdiri dari emas, perak dan permata.
  • Pakaian luar dan dalam
  • Hukum berhias harus, malah ada kalanya sunat kecuali perhiasan yang telah dinaskan haram. Ia sunat kepada isteri yang suaminya bersamanya, bukan isteri yang suaminya tiada di sampingnya.
  • Semua jenis perhiasan ini harus selagi ia tidak termasuk ke dalam istilah
    tabarruj.
  •  Termasuk ke dalam istilah tabarruj ialah bersolek dengan merubah sifat semulajadi:
  • Mencabut atau dengan apa jua cara untuk menghilangkan bulu muka. Boleh bagi yang berkahwin untuk suami.
  • Mencabut dan membentuk alis. Boleh sekiranya alis yang asal hodo dipandang.
  • Memerahkan muka. Boleh bagi yang berkahwin, untuk suami.
  • Lain-lain seperti rambut palsu, wangian berlebihan, celak berlebihan, …..
  • Secara umum, berhias untuk suami dibolehkan dan tidak dikira sebagai tabarruj.
  • Berhias keluar rumah bukan untuk suami adalah tabarruj.
  • Bersolek dan berhias wanita hari ini telah melebihi dari maksud tabarruj


IKHTILAT (PERCAMPURAN / PERGAULAN)
  • Maksud pergaulan: bercampur antara wanita dan lelaki ajnabi di satu tempat yang pada kebiasaannya membawa mereka berpandangan, bercakap dan berinteraksi.
  • Hukum asal pergaulan wanita dan lelaki ajnabi adalah ditegah.
  • Tiada nas yang jelas melarang pergaulan. Tegahan pergaulan ini hanya disimpulkan dari beberapa tegahan lain:

  • Tegahan wanita bermusafir sendirian tanpa mahram
  • Tegahan berkhulwat antara wanita dengan lelaki ajnabi
  • Tidak wajib solat jamaah ke atas wanita
  • Tidak wajib solat jumaat ke atas wanita
  • Hukum-hukum khusus mengenai wanita dalam ibadat haji
  • Tegahan wanita berjalan berseiringan dengan lelaki

  • Dari larangan-larangan inilah ulamak menyimpulkan pergaulan wanitadengan lelaki ajnabi ditegah.
  • Pergaulan yang dibenarkan atas dasar pengecualian kerana keperluan:

  • Pergaulan atas sebab darurat
  • Pergaulan untuk tujuan bermuamalah
  • Pergaulan untuk tujuan melaksanakan tugas-tugas kehakiman
  • Pergaulan menunaikan kesaksian
  • Pergaulan atas tugas penguatkuasa undang-undang
  • Pergaulan untuk tujuan melayan tetamu di rumah
  • Pergaulan untuk tujuan menghormati tetamu dengan makan bersama
  • Pergaulan dalam kenderaan awam bagi wanita yang melakukan kerja syar’ie dengan syarat hukum-hukum Islam yang lain dipenuhi
  • Pergaulan untuk melakukan kerja-kerja jihad
  • Pergaulan untuk tujuan mendengar ceramah dan ilmu
  • Pergaulan atas sebab kebiasaan dan teradat yang tidak bercanggah dengan syara’

  • Dalam kitab Muwatta’ oleh Imam Malik disebutkan “Wanita (boleh) makan bersama lelaki apabila pada kebiasaan teradat wanita makan bersama-sama lelaki.
  • Pergaulan semasa menziarahi keluarga terdekat dan teman handai pada majlis- majlis tertentu, maka dalam majlis yang sama dengan syarat memelihara adab sopan keislaman dan hukum-hukum Islam.
  • Pergaulan wanita dengan lelaki dalam satu majlis bersama. Ada dua pendapat:

    • Pendapat pertama tidak boleh kerana hadis mengenai pengaduan kaum wanita di zaman Rasulullah tentang kelebihan kaum lelaki mendapatkan ilmu, lantas Rasulullah s.a.w memperuntukkan satu masa belajar khusus bagi wanita.
    • Pendapat kedua boleh kerana pergaulan untuk tujuan muamalah dibolehkan, maka pergaulan untuk menuntut ilmu tentulah lebih boleh lagi, kerana suasana menuntut ilmu lebih jauh dari fitnah berbanding suasana muamalah. 

  • Tentang hadis yang dikemukakan di atas, pengkhususan satu majlis untuk kaum wanita bukan kerana larangan pergaulan lelaki dan wanita semasa menuntut ilmu, tetapi kerana tabiat kaum wanita sentiasa banyak terhalang untuk keluar bersama Rasulullah s.a.w. Tidak seperti kaum lelaki yang sentiasa berpeluang untuk berbuat demikian. Oleh itu wanita perlu dikhususkan satu masa bersama Rasulullah s.a.w.
  • Namun demikian keharusan ini hendaklah disertai dengan iltizam yang bersungguh-sungguh, hukum, adab dan tata susila Islam:
  • Menjaga aurat
  • Tidak tabarruj
  • Tidak mengangkat suara dengan tinggi
  • Serius, tidak bermanja-manja dan melembut-lembutkan suara sewaktu bercakap
  • Menundukkan pandangan, bukan mata galak, bukan curi pandang
  • Warak, tapi bukan warak-warak kucing


      SAMBUNGAN
    Share this article :

    + comments + 1 comments

    March 7, 2011 at 10:57 AM

    bergantung kpd niat. bersolek utk apa?

    Post a Comment
     
    Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
    Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
    Template Created by Creating Website Published by Mas Template
    Proudly powered by Blogger