Home » » "AIN" YANG MEMUDARATKAN

"AIN" YANG MEMUDARATKAN

Written By lurim on Wednesday, March 2, 2011 | 8:11 AM


ALLAH SWT berfirman dalam surah al-Qalam ayat ke51, naksudnya : "Dan sesungguhnya orang yang kafir itu, hampir-hampir menggelincir dan menjatuhkanmu dengan renungan tajam mereka (yang penuh dengan permusuhan dan kebencian), yang tatkala mereka mendengar al-Quran lalu mereka berkata, 'Sesungguhnya dia (Muhammad) itu benar-benar orang gila'."

Menurut kebanyakan penafsir al-Quran, termasuk Ibn Kathir, Ibn Athiyyah, al-Qurtubi, al-'Izz bin Abd al-Salam, dan al-Suyuti, masing-masing mentafsirkan ayat kedua terakhir daripada surah al-Qalam ini sebagai usaha jahat pihak Quraisy untuk menghalang Nabi s.a.w. daripada menyampaikan dakwahnya kepada penduduk Makkah. Ini disebabkan perkataan " layuzliqunaka " itu berasal daripada kata kerja "zaliqa " atau "zalaqa"yang membawa makna tergelincir daripada sesuatu tempat (Mukhtar al-Sihah dan al-Qamus al-Muhit).

Menurut Ibn al-Jauzi sepertimana yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas, Mujahid dan lainnya, kata kerja ini kemudiannya digunakan dalam konteks yang lebih luas merujuk kepada sikap memandang atau renungan tajam dengan penuh kebencian sehingga menyebabkan kemudaratan ". Ayat ini menurut Ibn Abbas menjadi dalil bahawa ain ataupun pandangan mata yang tidak dikawal oleh seseorang yang memiliki pengaruh itu boleh mengakibatkan bahaya.

Sehubungan dengan tafsiran ini, Imam Ibn Athiyyah al-Andalusi, pakar tafsir dari Andalus menjelaskan ( sebagai contoh) dalam tafsir beliau, al-Muharrar al-Wajiz bahawa antara usaha jahat yang dilakukan oleh Musyrikin terhadap Nabi adalah mencari seseorang yang terkenal mempunyai pandangan mata yang berpengaruh untuk menganiayai Nabi. Lelaki yang berasal daripada keturunan Asad ini berupaya memudaratkan makhluk seperti unta hanya dengan pandangannya.

Biasanya beliau akan menahan diri daripada makan selama tiga hari lalu pada hari berikutnya beliau akan merenung unta dengan kekuatan matanya sehingga menyebabkan unta itu mati ditempat kejadian. Mereka merancang melakukan perkara yang sama kepada Nabi s.a.w. tatapi Allah s.w.t memelihara baginda, sesuai dengan janjiNya dalam surah al-Ma'idah ayat ke-67, maksudnya : "Allah jualah yang akan memeliharamu daripada (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang kafir"

Penjelasan lanjut maksud bahaya yang dikandungkan oleh mata ini terdapat banyak hadis yang menerangkannya. Muslim meriwayatkan darpada Ibn Abbas, apabila Asma' bt Umais r.a. bertanya kepada Nabiadakah anaknya, Ja,far ditimpa ain (bahaya kerana pandangan), maka Nabi s.a.w. menjawab, maksudnya ; "Ain itu benar-benar wujud. Jika ada sesuatu yang mendahului qadar, maka ainlah itu. Dan apabila kalian diminta untuk mandi, maka dia hendaklah melakukannya."

Menurut Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri dalam kitabnya, ringkasan Tafsir Ibn Kathir yang diberi nama Sahih Tafsir Ibn Kathir, seseorang yang telah diketahui telah menyebabkan kemudaratan oleh pandangannya terhadap seseorang yang lain, hendaklah dia disuruh mandi. Air yang telah digunakan olehnya untuk mandi itu hendaklah ditadah dan dimandikan dengannya pula akan mangsa. (Rujuk Sahih tafsir Ibn Kathir terjemahan Pustaka Ibn Kathir, jakarta, indonesia, cet. Feb 2009, jld. 9, hlm 246, dibahagian nota kaki).

Diriwayatkan oleh imam Ahmad dalam Musnadnya, daripada Umamah bin Sahl bin Hanif r.a bahawa bapanya pernah pergi bersama Rasulullah s.a.w. menuju ke Makkah hingga mereka melalui sebuah aliran air di Khirar berdekatan dengan Juhfah. Sahl bin Hanid telah mandi dan dia merupakan seorang lelaki berkulit putih yang cantik fizikalnya. Amir bin Rabi'ah, saudara kepada bani 'Adi bin Ka'ab melihatnya ketika sedang mandi. Maka dia pun berkata: "Tidak ada yang kulihat sepertinya hari ini, tiada sedikit pun kulit yang ditutupi." kata-katanya itu mengakibatkan Sahl terjatuh kedalam air dan kelihatan gelembung udara dari dalam air tempat dia mandi (menunjukkan bahawa dia telah tenggelam lemas). Saya telah memanggilnya sebanyak tiga kali tetapi tiada jawapan. Saya segera mendapatkan Nabi s.a.w. dan memberitahu tentang kejadian itu. Baginda bersegera ke tempat kejadian dan dapat melihat betis Nabi yang putih. Kemudian Rasulullah s.a.w memukul dada Sahl yang pengsan lalu berdoa yang bermaksud, "Ya Allah! Selamatkanlah dia daripada panasnya, dinginnya dan rasa sakitnya (penyakit disebabkan ain). " (riwayat Ahmad no. 16110, Ibn Abi Syaibah no. 23594)

Baginda lantas bersabda yang bermaksud: "Jika seseorang kalian melihat pada saudaranya atau pada dirinya atau pada hartanya sesuatu yang mengkagumkan, maka hendaklah dia mendoakan keberkatan untuknya, kerana sesungguhnya ain itu benar!" (Riwayat Ahmad dalam al-Musnad, no. 15700)

Nabi s.a.w. pernah mendoakan untuk kedua cucu Baginda s.a.w. dengan doa yang bermaksud,: "Aku memohon perlindungan untuk kalian berdua dengan kalimah Allah yang sempurna daripada setiap syaitan, binatang berbisa dan daripada ain yang membahayakan. (Riwayat al-Bukhari no. 3371, Abu Daud no. 4739dan al-Tarmizi no. 2201)

Kemudian Baginda s.a.w. bersabda maksudnya: " Demikianlah dahulunya Ibrahim a.s. memohon perlindungan daripada Allah s.w.t. untuk kedua-dua puteranya Ismail dan Ishaq a.s."(Riwayat Ahmad no. 2146)

(Sila rujuk kitab 101 Doa daripada Hadis-Hadis Yang Sahih, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd., halaman 89-90, bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang kaedah beramal)

Kredit to : saurukent di syok.org
Share this article :

+ comments + 1 comments

March 2, 2011 at 8:38 AM

nice...tq

Post a Comment
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger