Home » , , , » AKU INGIN KELAK DIBANGKITKAN SEBAGAI ISTERI RASULULLAH S.A.W

AKU INGIN KELAK DIBANGKITKAN SEBAGAI ISTERI RASULULLAH S.A.W

Written By Unknown on Wednesday, August 20, 2014 | 9:56 PM


“Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul daripada suaminya “nusyuz” (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat pendamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana pendamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai); sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang tabi’at semula jadi yang ada pada manusia. Dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan), dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman), maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.” (an-Nisaa:128)

ADA dua rombongan umat Islam yang ke Abissinia untuk menghindari tekanan dan siksaan dari kaum kafir Quraisy. Mereka menempuh perjalanan ke negeri itu untuk menyelamatkan jiwa dan agama mereka kerana kaum kafir terus berusaha mengembalikan mereka ke dalam keyakinan leluhur mereka. setibanya di sana, mereka bertemu dengan kaum Muslim lainnya yang telah menetap terlebih dahulu dengan aman dan damai di bawah perlindungan Raja Najasyi. Mereka tinggal di negeri itu seraya berharap bahawa Allah akan segera mengeluarkan mereka dari nestapa, penderitaan, dan cubaan yang selama ini menimpa mereka. setiap saat mereka juga berharap bahawa suatu saat mereka dapat kembali pulang ke tanah air mereka dengan selamat. Di antara yang ikut hijrah dalam rombongan kedua adalah beberapa orang dari Bani Amir, termasuk al-Sukran dan isterinya, Saudah bint Zam’ah, Hathib dan Sulaith ibn Amr dua saudara al-Sukran, dan Ummu Kultsum bint Suhail. Kelompok pendatang ini menetap di Abissinia bersama kaum muslim lainnya yang telah lebih dulu tiba di sana. Mereka bahagia dengan kemuliaan yang diberikan Allah kepada mereka. Kadang-kadang mereka mendapatkan khabar dari Mekah yang menenangkan hati mereka. Namun, mereka berduka ketika mendengar khabar bahawa kaum Quraisy masih lagi menyeksa dan menekan kaum muslim di Mekah. Mereka tidak pernah berhenti memerangi dan memusuhi Islam. mereka terus berusaha menyakiti Rasulullah s.a.w. Dan para pengikutnya yang telah diberi hidayah oleh Allah menuju jalan hakiki, jalan kebaikan dan kebenaran. Saudah hidup bahagia bersama suaminya, al-Sukran, seraya berharap bahawa kelak mereka dapat kembali ke rumah mereka di Makkah, hidup di sisi Rasulullah saw. Mereka sangat senang jika dapat hidup bersama Rasulullah kerana mereka akan sentiasa mendapat curahan kasih sayang dan petunjuk dari beliau.

Pada suatu malam…..

Saudah telah berbaring di biliknya. Fikirannya melayang merenungi perjalanan hidupnya. Kerinduan ke tanah airnya semakin memenuhi hatinya sehingga mengantuk mengalahkan fikirannya dan ia tertidur sehingga nyenyak. Dalam tidurnya, ia bermimpi sangat aneh: ia melihat Rasulullah s.a.w berjalan mendekatinya kemudian beliau memeluk lehernya. Saudah terbangun dari tidurnya. Gambaran mimpi itu masih terbayang jelas di kelopak matanya, seakan-akan gambaran yang sangat hidup dan nyata. Apakah maknanya mimpinya itu? Tentu saja berbagai pertanyaan dan perasaan berkecamuk dalam dada Saudah. Ia berusaha menghilangkan perkara-perkara yang buruk tentang Rasulullah saw. Keesokannya paginya Saudah menceritakan mimpinya itu kepada suaminya, yang mendengarnya dengan penuh teliti. Seakan-akan Allah akan menyingkapkan tirai zaman dari al-Sukran sehingga ia berkata kepada Saudah, “Demi ayahmu, seandainya mimpimu benar, aku akan mati dan engkau akan dinikahi oleh Rasulullah s.a.w.” Hanya Allah yang mengetahui fikiran apa yang berkecamuk dalam dada Saudah dan suaminya, al-Sukran. Mungkin saja Saudah menolak atau mengacuhkan tafsiran mimpi yang disampaikan suaminya itu. Ia berdoa demi keselamatan dirinya dan suaminya serta mendoakan agar suaminya panjang umur. Ia tetap setia dan mentaati suaminya tanpa pernah terlintas sedikit pun fikiran buruk tentangnya. Hari-hari berlalu. Saudah dan al-Sukran hidup bersama-sama dengan kaum Muhajirin lain di Abissinia. Namun, mimpi itu masih sering terbayang di kelopak mata Saudah. Tafsir mimpi yang disampaikan suaminya pun masih terngiang-ngiang di telinganya.

Hingga akhirnya datang suatu malam…

Saudah telah tertidur di biliknya. Begitu saja ia tertidur nyenyak tidak dapat menahan kelopak matanya. Sekali lagi ia memimpikan sesuatu yang sangat menakjubkan: Saudah melihat seakan-akan bulan menimpanya yang ketika itu sedang terlentang!

Dalam mimpi itu, tidak ada sedikit pun gambaran atau pun simbol yang berkaitan Rasulullah s.a.w. Namun, ketika ia menceritakan mimpi itu kepada suaminya, al-Sukran berkata, “Demi Ayahmu, seandainya mimpimu benar, bererti aku akan segera mati dan engkau akan segera menikah dengan Rasulullah s.a.w.” Hanya Allah yang tahu fikiran dan perasaan apa yang berkecamuk di dalam dada pasangan suami-isteri ini. Al-Sukran mengungkapkan jawapan dan tafsir mimpinya itu dengan tulus tanpa disertai perasaan buruk sama sekali. Saudah pun setiap saat selalu mendoakan kebaikan dan kesihatan bagi suaminya. Ia mendoakan umur panjang baginya dan berusaha menjauhkan fikiran-fikiran buruk dari kepalanya. Ia ingin hidup selamanya bersama suaminya. Seakan-akan al-Sukran dapat membaca tulisan takdir yang ditetapkan atas dirinya. Allah telah menunjukinya kepada hakikat. Tidak lama kemudian, al-Sukran jatuh sakit. Tidak ada tabib yang menyembuhkannya. Sakit itulah yang mengantarkannya kepada kematian. Akhirnya, Saudah kembali ke Mekah seorang diri. Ia berusaha melupakan ucapan-ucapan suaminya sebelum meninggal. Namun, mimpi-mimpinya itu enggan meninggalkan kepalanya. Mimpi-mimpi itu terus berkelibat, terutama ketika ia didera kesendirian dan kesunyian. Jadi, apakah tafsir mimpi yang dikemukakan al-Sukran itu akan menjadi kenyataan? Pertanyaan itu masih setia bermain dalam fikiran Saudah.

BARU saja kaum Muslim merasa gembira dengan berakhirnya permusuhan dan pemecilan yang dilakukan kaum Quraisy terhadap Bani Hasyim selama tiga tahun, mereka dikejutkan dengan berita wafatnya Khadijah binti Khuwailid, isteri Nabi Muhammad s.a.w, menyusul bapa saudara baginda yang meninggal terlebih dahulu, Abu Talib. Selama ini, kedua-dua orang itulah yang paling berani menyokong serta melindungi Rasulullah s.a.w dari setiap ancaman dan bahaya. Keduanya mengerahkan segala kemampuan untuk membantu dakwah Nabi s.a.w.

Khadijah binti Khuwailid adalah penolong, pelindung, dan sandaran utama Nabi Muhammad s.a.w dalam berjuang menyebarkan dakwah Islam dan menyeru manusia ke jalan Allah. Ia mengorbankan dan menyerahkan jiwa raga serta seluruh harganya demi kepentingan dakwah Islam. Ia mencintai, memuliakan, dan mengagungkan Nabi s.a.w seraya terus meniupkan semangat dan keberanian untuk menahan tekanan dan seksaan dari kaum kafir Quraisy. Ia menghapuskan kesedihan dari hati baginda Nabi saw. kerana melihat kaumnya terus hanyut dalam kekafiran dan penyimpangan daripada agama Allah.

Khadijah wafat setelah meninggalkan beberapa orang puteri kepada Nabi s.a.w. Kehadiran mereka menjadi pengubat kesedihan bagi Nabi s.a.w yang berduka akibat kekafiran dan penentangan kaumnya.

Sejak kematian Khadijah, derita dan tekanan hidup yang dialami Nabi Muhammad semakin berat. Para pemimpin Quraisy dan pemimpin Mekah semakin hebat menyerang Rasulullah dan menyakiti kaum Muslim. Bahkan, mereka telah merancang untuk membunuh Nabi s.a.w.

Beberapa waktu setelah Khadijah wafat… Beberapa orang sahabat berfikir untuk memberikan saranan kepada Nabi s.a.w agar baginda menikah lagi dan mendapatkan pendamping menjalani kehidupannya. Rasulullah telah lama berada dalam sendirian dan kesunyian. Mudah-mudahan pernikahan dapat sedikit mengubati kesunyiannya. Namun, siapakah wanita yang dapat menggantikan tempat Khadijah di sisi Rasulullah s.a.w? Mereka semua mengetahui betapa Rasulullah sangat mencintai dan memuliakan Khadijah binti Khuwailid.

Hingga pada suatu hari….

Khaulah binti al-Hakim menghadap Rasulullah s.a.w, dan dengan nada yang lembut penuh berhati-hati, ia berkata kepada Nabi s.a.w, “Sejak Khadijah wafat, aku melihat engkau menyendiri dan kesepian.”

Rasulullah s.a.w bersabda, sementara kenangan akan kebaikan Khadijah masih terbayang jelas di kelopak matanya, “Tentu saja … ia adalah bonda dan pemelihara rumah yang terbaik.”

Daripada ucapan Rasulullah itu Khaulah merasakan kecintaan dan keriduan yang mendalam kepada Khadijah meskipun saat ini ia telah berasa di sisi Tuhannya. Melihat keadaan itu dan menyedari kecintaan Nabi saw. yang teramat dalam kepada Khadijah, Khaulah tidak kuasa melanjutkan kata-katanya. Ia menahan keinginan untuk menyampaikan niat yang dibawanya dari rumah. Ia terdiam beberapa seketika. Setelah mengumpul seluruh keberaniannya, Khaulah berkata, “Bolehkah aku meminangkan seorang wanita untukmu?”

Rasulullah s.a.w bersabda, “Silakan …. engkau adalah kawan kaum wanita. Kau lebih mengetahui masalah ini.” Khaulah merasa bahawa itulah awal keberhasilan misinya.

Sementara itu, kembali terlintas dalam fikiran Rasulullah s.a.w akan Nafisah binti Muniyyah, yang dulu mendatanginya dan menawarkan perkahwinan kepada Khadijah.

Seakan-akan Khadijah muncul dalam fikiran baginda Rasulullah s.a.w dan mencela pernikahannya setelah kematian dirinya. Kerana itu, Rasulullah saw. bersabda kepada Khaulah, “Siapakah, siapakah yang layak setelah Khadijah?”

Khaulah menjawab cepat, “Aisyah, puteri orang yang paling engkau cintai.”

Rasulullah s.a.w memahami betul kadar kecintaannya kepada Abu Bakar. Rasulullah juga mengetahui bahawa Abu Bakar berhasrat besar agar Rasulullah mahu menikahi puterinya. Kerana itu, Rasulullah saw. bersabda, “Tetapi ia masih sangat kecil.”

Khaulah berkata, “Engkau melamarnya hari ini, dan menunggunya hingga ia cukup usia untuk mendampingimu.”

Namun, siapakah yang mengurusi urusan rumah tangga dan puteri-puteri Rasulullah saw. hingga Aisyah tumbuh menjadi wanita dewasa?

Pertanyaan itu memenuhi fikiran Rasulullah s.a.w dan Khaulah. Namun, Khaulah segera berkata, “Orang yang akan mengurusi rumah tanggamu adalah Saudah binti Zam’ah, salah seorang wanita terhormat dari Bani Amir.”

Rasulullah s.a.w mengetahui siapa Saudah, dan bahawa ia baru saja ditinggal mati oleh suaminya, al-Sukran. Maka, Rasulullah saw. memberi izin kepada Khaulah untuk melamar Saudah menjadi isteri Rasulullah s.a.w

KHAULAH bergegas pergi menuju rumah Zam’ah, kemudian lansung menemui puterinya, Saudah, dan berkata kepadanya, “Kebaikan dan berkat apakah yang telah diberikan oleh Allah kepadamu, wahai Saudah?”

Saudah berkata, “Apa yang kau bicarakan, dan apa maksud ucapanmu itu, wahai Khaulah?”

Rasulullah mengutusku untuk melamarmu sebagai isterinya.”

Tentu saja Saudah tersentak kaget. Mimpi-mimpi yang dilihatnya dulu dan tafsir mimpi yang disampaikan almarhum suaminya kembali terbayang dalam fikirannya. Nampaknya, tafsir mimpi yang dikatakan suaminya itu akan segera menjadi nyata. Saudah berkata dalam hati yang meluap-luap dipenuhi kebahagiaan, “Tentu saja aku bersedia. Temuilah ayahku, dan katakanlah maksud kedatanganmu kepadanya.”

Khaulah menemui Zam’ah, menyalaminya, dan menghormatinya, lalu berkata, “Sesungguhnya Muhammad putra Abdul Muththalib mengutusku untuk melamar Saudah sebagai isterinya.”

Zam’ah berkata, “Sungguh pasangan yang mulia. Lalu, apa jawapan Saudah?”

“Ia bahagia menerima lamaran ini.”

Zam’ah menyetujuinya pernikahan puterinya dengan Rasulullah s.a.w.

Kemudian ia mengumumkan bahawa puterinya telah dilamar oleh Rasulullah s.a.w sementara pernikahannya sendiri dilangsungkan pada bulan Ramadan, tahun ke-10 setelah kenabian.

Banyak kalangan terkejut mendengar khabar tentang pernikahan Muhammad s.a.w dengan Saudah. Sebab, Saudah adalah janda yang sudah tua, tak cantik pula. Tak ada sedikit pun pada dirinya yang menarik hati kaum laki-laki. Mereka bertanya-tanya satu sama lain: “Ah ….. janda tua. Rupanya pun tidak menarik, berbeza jauh dengan Khadijah yang ketika Muhammad melamarnya, banyak laki-laki yang cemburu kepadanya. Apa yang dilihat Muhammad dari Saudah?” Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahui alasan Nabi saw. menerima Saudah sebagai isterinya. Mungkin Rasulullah s.a.w ingin menghibur hati Saudah, yang hidup seorang diri setelah ditinggal mati oleh suaminya; mungkin beliau hendak memuliakan almarhum suaminya, al-Sukran yang hijrah bersamanya ke Abissina dan meninggal di negeri itu sebagai orang asing. Dengan begitu, Rasulullah s.a.w ingin menjaga, melindungi, dan menyelamatkannya dari kesendirian.

Apa pun pandangan orang-orang, pernikahan antara kedua-duanya telah dilaksanakan. Kedua suami-isteri itu hidup tenang dan bahagia.

SAUDAH menjadi isteri Rasulullah s.a.w, lelaki yang diutus Allah sebagai nabi dan rasul bagi semua umat manusia. Rasulullah diperintah oleh Tuhannya untuk menyebarkan dakwah Islam ke segenap manusia, ketika akal mereka dilanda kesrosakan dan hati mereka semakin menghitam kerana kesesatan. Saudah mengetahui bahawa sebelum menikahi dirinya Rasulullah saw. telah melamar Aisyah bint Abu Bakar. Kerana masih kanak-kanak, Aisyah tidak tinggal bersama Nabi saw. Beliau menunggu hingga Aisyah cukup usia untuk menjadi isterinya.

Keadaan itu tidak membuat Saudah merasa khuatir apalagi kesal. Rasulullah saw. telah memilih dirinya untuk menyertai dan menemaninya selama hidupnya. Ia cukup rela mengambil tanggungjawab sebagai pemelihara dan pengasuh anak-anak Rasulullah s.a.w, serta pengatur urusan rumah tangga.

Saudah memiliki tubuh yang besar. Meskipun demikian, Rasulullah s.a.w merasa senang kerana Saudah pandai menghiburnya dengan kata-katanya, gaya bicaranya, gurau sendanya, dan ketulusan hatinya. Sering kali Rasulullah s.a.w merasa terhibur oleh ucapan-ucapan Saudah, misalnya ketika ia berkata kepada Rasulullah, “Aku solat di belakangmu, wahai Rasulullah s.a.w. Aku rukuk, namun sambil memegang hidungku kerana takut akan keluar darah darinya.”

Pasangan suami isteri itu hidup dengan tenang, damai, dan bahagia. Hingga akhirnya datang izin daripada Allah kepada Rasul-Nya untuk hijrah ke Yathrib. Saudah hijrah mengikuti Rasululah s.a.w untuk mendampingi, menemani, melayani, menjaga dan mengurusi segala keperluan Baginda Nabi s.a.w Ia merasa senang melihat semakin banyaknya jumlah kaum muslim, dan semakin luasnya pengaruh Islam.

Tidak berselang lama setelah Rasulullah s.a.w tinggal di Madinah, beliau melihat bahawa Aisyah binti Abu Bakar telah cukup usia untuk mendampinginya sebagai isteri Rasulullah s.a.w bersama-sama dengan Saudah binti Zam’ah.

Saudah benar-benar memahami kedudukan ayahanda Aisyah, iaitu Abu Bakar al-Siddiq di sisi Rasulullah s.a.w. Kerana itu, Saudah memberi kebebasan kepada Aisyah untuk mendapatkan hak-haknya sebagai isteri Rasulullah saw. Ia kerahkan seluruh kemampuannya untuk membantu dan menolongnya mengurusi urusan rumah tangga dan urusan lainnya. Ia selalu berusaha agar segala tingkah lakunya diredai oleh Aisyah sehingga Aisyah lebih banyak dapat beristirehat dan hidup tenang mendampingi Rasulullah s.a.w.

Sebaliknya, kerana perbezaan usia yang cukup jauh, Aisyah memperlakukan Saudah seperti ibu kandungnya sendiri. Dan, memang seperti itulah perasaan Aisyah kepada Saudah. Baginya, Saudah adalah ibu yang amat mengasihinya dan sentiasa melindunginya.

Rasulullah s.a.w merasa telah menyakiti perasaan Saudah, kerana beliau tak sepenuhnya dapat berbuat adil. Beliau mahu dihinggapi perasaan seperti itu sehingga terlintas fikiran mahu menceraikannya baik-baik sehingga ia tidak lagi merasa sakit hati. Rasulullah saw. mengetahui apa yang dirasakan Saudah meskipun ia tidak mengungkapkannya.

Jadi, apakah keputusan yang diambil oleh Rasulullah saw. atas diri Saudah?

Pada suatu hari…

Rasulullah s.a,w berkata kepada Saudah dengan ucapan yang lembut mengenai niat untuk menceraikannya. Rasulullah s.a.w tidak kuasa menyatakan ucapan talak yang sahih – jelas maknanya – sehingga baginda mengatakan, “aku membebaskanmu…”

Kata-kata yang pendek dan ringkas itu terdengar oleh Saudah bagaikan petir yang menggelegar. Ia terkejut bukan kepalang. Ia memahami dari kata-kata itu bahawa Rasulullah saw. hendak menceraikannya. Ia merasa seakan-akan tanah di bawahnya terbelah dan menelan dirinya. Seakan-akan gunung besar ditimpakan ke atas dadanya. Seketika hatinya menjadi sempit, fikirannya berkecamuk kesedihan, duka, dan penyesalan luar biasa.

Sesungguhnya Saudah tidak berniat mendapatkan hak-haknya seperti isteri Nabi s.a.w. Ia merasa cukup puas dengan menjadi isteri dan pendamping Rasulullah s.a.w dan kelak dibangkitkan di Hari Kiamat juga sebagai isteri Rasulullah s.a.w bersama-sama isterinya yang lain.

Allah mengetahui perasaan sedih, duka, dan sesal yang memenuhi fikiran Saudah kerana diceraikan oleh suaminya, manusia mulia, junjungan hatinya. Ia berkata kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, aku memohon kepadamu atas nama Zat yang menurunkan kitab-Nya kepadamu, dan aku memuliakanmu dia antara seluruh ciptaan-Nya, janganlah engkau menceraikanku.”

Saudah siap melakukan apa pun demi Rasulullah s.a.w ia serahkan jiwa raganya untuk mengabdi dan melayani Rasulullah s.a.w. Sebab, hanya keredhan Rasulullah yang diharapkannya selama ini. Kerana itu ia berkata, “Wahai Rasulullah s.a.w, biarkanlah aku tetap sebagai isterimu. Akan kuberikan malam-malam giliranku kepada Aisyah. Aku tidak mengkehendaki darimu sesuatu pun seperti yang dikehendaki wanit-wanita laim.”

Rasulullah s.a.w merasa bingung untuk memutuskan, apakah mempertahankan Saudah sebagai isterinya, sedangkan ia memahami perasaannya kepada Saudah; ataukah menceraikannya baik-baik meskipun itu akan menyakiti Saudah?

Tidak menunggu lama, Allah menurunkan ayat.

“Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya “nusyuz” (kebencian), atau tidakmelayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai); sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang tabi’at semula jadi yang ada pada manusia. Dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan), dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman), maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam Pengetahuannya akan apa yang kamu lakukan.” (an-Nisaa: 128)

Begitulah Allah memutuskan perkara Saudah bint Zam’ah. Allah menurunkan ayat al-Quran mengenai dirinya.

Rasulullah s.a.w menyedari kedudukan Saudah yang sangat mengasihinya, dan memahami betapa Saudah selalu berusaha membahagiakan dan melayaninya dengan penuh tulus. Kerana itu, Rasulullah s.a.w tidak menceraikannya.

Saudah bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Rasulullah s.a.w Ia segera beranjak ke tempat solatnya, lalu memanjatkan puji-pujian dan ungkapan rasa syukur kepada Tuhannya.

Saudah tetap tinggal di rumah Rasulullah saw. bersama isteri-isteri yang lain sehingga Rasulullah s.a.w wafat. Saudah sangat berduka ketika ditinggalkan oleh Rasulullah. Tidak hanya Saudah, bahkan semua kaum muslim merasa kehilangan dan berduka. Saudah sentiasa mengingat kebaikan dan kurnia yang diberikan Rasulullah s.a.w kepada dirinya.

Saudah hidup hingga Tuhan memanggilnya ke sisi-Nya pada 54 H., pada masa kekuasaan Muawiyah ibn Abu Sufyan. Sejarah dan kaum muslim sentiasa mengingat namanya dengan catatan yang baik.

Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada Saudah binti Zam’ah sesuai dengan penderitaan yang dialaminya di pengasingan, dan kesedihannya ditinggalkan suami. Semoga Allah mengasihinya sesuai dengan ketaatan dan ketulusannya mengabdi serta melayani Rasulullah s.a.w dengan penuh cinta.

Susunan MUHAMMAD QASIM
ummatanwasatan.net
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger