Home » , » MIMPI 'ISLAMKAN ' LAMAAN BALL

MIMPI 'ISLAMKAN ' LAMAAN BALL

Written By amirulyaacob on Sunday, October 20, 2013 | 3:02 PM


NIKMAT yang tidak terhingga besar yang pernah Allah kurniakan kepada seseorang itu apabila dia dilahirkan sebagai Islam. Nikmat ini wajib disyukuri kerana tidak mampu dibayangkan jika dilahirkan atas agama lain.

Kepada penulis tetap satu laman web yang popular, Islam Online, Lamaan Ball yang mempunyai ruangan yang beliau kendalikan, iaitu Investigative Islam beliau memiliki catatan 'memeluk' Islam yang begitu unik walaupun dilahirkan sebagai penganut Islam.

"Ibu bapa saya memeluk Islam tidak lama sebelum saya dilahirkan ke dunia yang menyaksikan secara automatik saya juga adalah Islam.

"Namun oleh kerana saya tidak dibesarkan secara Islam sepenuhnya, berani saya katakan ketika itu, saya tidak dapat menerima Islam sehinggalah saya berjanji untuk mencari kebenaran mengenai Islam sendiri pada suatu hari nanti," katanya.

Begitupun beliau tetap melaksanakan perintah wajib dan ibadat termasuk berpuasa di bulan Ramadan semata-mata kerana mengikut seperti apa yang dilakukan oleh orang tuanya.

"Sehinggalah selepas bapa saya meninggal dunia ketika saya berusia lima tahun, ibu saya sendiri tidak kisah jika saya tidak mahu mendirikan solat.

"Ini membuatkan saya menunggu sehingga cukup dewasa bagi saya menentukan sendiri apa juga termasuk, agama apa yang selayaknya untuk saya anuti," katanya.

Pada usianya 16 tahun, si ibu berkahwin lagi dengan lelaki warga Mesir dan Ball sendiri tinggal bersama mereka di London selama dua tahun.

"Ketika itu saya mula merasakan sudah tiba masanya untuk mengenal pasti identiti saya sendiri, terutama sekali mengapa saya hidup di muka bumi ini," katanya.

Sebagaimana surah al-Alaq, ayat pertama yang diperturunkan kepada Rasulullah SAW, dengan perintah suruhan supaya umat Islam membaca, tanpa banyak masalah, Ball sendiri memulakan pencarian dengan membaca tanpa lelah dan jemu.

Namun buku-buku falsafah peninggalan bapanya, menjadi tarikan utama kepada remaja ini untuk beliau mencari jawapan kepada pelbagai persoalan hidup terutama kepercayaan terhadap Tuhan serta keberadaan Yang Maha Kuasa itu.

Maka beliau lebih terarah untuk mengenali prinsip-prinsip yang logik sahaja dengan hanya berpaksikan kepada akal semata-mata.

"Namun pendekatan saya agak berbeza, saya hanya membaca dan membaca sehingga di satu peringkat saya tidak menerima apa yang cuba disarankan oleh buku-buku itu. Ini menyebabkan banyak buku terbengkalai dan saya tinggalkan begitu sahaja tanpa perlu membacanya sehingga tamat.

"Saya masih teringat sebuah buku yang bertajuk Teach Yourself Philosophy yang di peringkat permulaannya buku itu menyebut seseorang yang mempelajari falsafah, tidak bermakna dia akhirnya akan menemui jawapan yang dicari.

"Cuma melaluinya kita mungkin akan lebih teruja untuk meneroka pelbagai persoalan. Ketika itu, saya merasakan saranan seperti ini merupakan satu cara yang tidak sihat bagi saya untuk mencari kebenaran," katanya.

Selepas membaca dan bertanya mengenai Islam daripada orang lain, Ball masih tidak berpuas hati kerana tidak menemui sebarang jawapan yang benar-benar menjawab kepada persoalan yang sarat bersarang dalam fikirannya selama ini.

Menginjak usia 21 tahun, benar-benar menjadi usia yang paling produktif untuk pembudayaan ilmu apabila Ball melanjutkan pelajarannya ke Universiti Manchester di bidang falsafah.

Namun Ball seolah-olah kehilangan arah dan motivasi dalam hidup. Ini apabila segala penilaian mengenai kehidupan yang diketahui oleh anak muda ini sukar diterjemahkan kepada perbuatan.

"Hidup ini sebenarnya mudah, lalu mengapa mesti diberatkan dengan pelbagai persoalan. Semudah kita mengikut saja pegangan orang ramai selama ini," katanya.

Namun kata hatinya, tidak begitu. Sekali terjebak sampai bila pun Ball tidak dapat mengelak daripada dihurung persoalan bagaimana hidup ini dapat diteruskan sama ada dengan kepercayaan bertuhan atau pun tidak.

Sehinggalah pada suatu hari Ball bermimpi yang pada takdirnya merupakan satu hidayah daripada Allah SWT diberikan kepada anak muda ini bagi mendapatkan jawapan yang selama ini begitu menghantuinya.

"Mimpi tersebut mungkin agak kompleks dan sukar untuk dimengertikan. Di dalam mimpi itu, saya duduk bersama-sama sekumpulan manusia di atas sebuah benteng atau tembok panjang yang memisahkan antara jaluran landasan di kiri kanan tembok tersebut.

"Masing-masing kemudiannya berbalah pendapat sama ada jaluran ini benar-benar satu landasan dan keretapi akan melalui landasan ini. Sehinggalah seorang daripada kami begitu yakin bahawa jaluran ini bukannya satu landasan keretapi dan tidak akan ada sebarang kenderaan akan melalui jaluran itu," katanya.

Ini membuatkan lelaki itu duduk di tengah-tengah landasan tersebut. Namun tidak disangka-sangka sebuah keretapi yang besar dengan lajunya melalui landasan itu, dan dalam tempoh beberapa saat keretapi itu kemudiannya terus hilang daripada pandangan. Begitu juga dengan lelaki duduk di tengah-tengah landasan tadi turun hilang dibawa keretapi yang datangnya dengan begitu laju menderu.

"Saya begitu terkejut dan terus tercari-cari lelaki yang sebentar tadi begitu yakin dengan pendapatnya terutama tidak akan ada sebarang keretapi yang akan melalui landasan itu," katanya.

Lalu Ball bertanya kepada sekumpulan lelaki itu sama ada mereka sendiri ada melihat kejadian yang berlaku sebentar tadi.

"Mungkin ada (keretapi yang melalui landasan) tetapi kini kami sudah tidak melihat apa-apa, jadi kami tidak berapa pasti sama ada trek ini benar-benar landasan keretapi dan sebarang keretapi akan melaluinya," kata salah seorang daripada ahli kumpulan lelaki itu dengan jawapan yang begitu mengelirukan.

Apabila ditanya mengenai lelaki yang duduk di tengah landasan itu, mereka pula menjawab; "Kami tidak nampak dia. Jadi macam mana kami tahu dia duduk di situ dan buktikanlah bahawa dia memang duduk di landasan itu".

Mereka kemudian terus berbalah sesama sendiri. Ball kecewa apabila terbukti mereka cuba menafikan hakikat kerana bagi sesetengah falsafah walaupun telah dibentangkan fakta di hadapan mereka namun tidak selalunya dapat diterima oleh mata kepala mereka setiap masa.

"Mimpi itu membuatkan saya menyedari betapa sia-sianya perbincangan di kalangan ahli-ahli falsafah. Saya sedar kini ketentuan itu datang daripada satu peristiwa tanpa perlu diulang banyak kali bagi menentukan kesahihannya," katanya.

Ini memberikan penjelasan yang kuat kepada Ball bahawa seseorang yang percaya kepada kewujudan Tuhan tidak akan boleh membuatkan orang lain turut percaya, apa lagi dengan ketiadaan sebarang bukti.

"Namun Tuhan tidak dapat dilihat tetapi mempunyai bukti yang sangat kuat mengenai kewujudan-Nya kepada mereka yang percaya dengan apa yang dilihat dan apa yang didengar," kata Ball.

Hasilnya, Ball benar-benar sedar dan buat pertama kalinya dalam seumur hidupnya, beliau mendirikan solat dan berdoa: "Tuhan, jika kau wujud maka bantulah aku!".

Ball menyedari sepenuhnya sebagai manusia, kita tidak boleh hidup tanpa sebarang hala tuju yang pasti mahupun hanya sekadar duduk di atas pagar, tanpa sebarang pendirian yang jelas.

"Maka di suatu petang, saya percaya sepenuhnya terhadap kewujudan Tuhan walaupun pelbagai agama turut mengesahkan kehadiran Tuhan mereka, namun Islam mempunyai kepercayaan bertuhan yang lebih diterima akal berbanding yang menjadi kepercayaan oleh agama-agama lain.

"Saya terus menulis sijil kepercayaan saya terhadap Islam dan kalimah syahadah yang diakhiri dengan tanda tangan bahawa saya kini merupakan penganut Islam," katanya.

Mungkin kedengaran agak pelik apabila seseorang yang dilahirkan Islam akhirnya mengucap kalimah syahadah sebagai tanda dia 'baru' memeluk Islam. Tetapi mengapa tidak? Ini kerana ramai yang menjadikan lahir sebagai Islam sudah memadai dan muktamad berbanding pelbagai usaha dan urusan untuk mengenali, mencari dan mengkaji Islam itu sendiri.

Maka kitab al-Quran kepada Ball berbeza keadaannya berbanding buku-buku yang beliau baca sebelum ini.

"Sehingga di akhir kalam al-Quran saya tidak menemukan yang salah yang menyebabkan saya mengkajinya sehingga tamat. Semakin saya baca, semakin menyakinkan kepercayaan saya terhadap Allah kerana tidak ada sesuatu pun di dalam kitab itu meragukan, walau dari sepatah perkataan atau sebaris ayat pun," katanya.

Namun sebagai manusia, tidak ada sesiapa yang terlepas daripada membuat kesilapan, begitu juga yang terjadi kepada Ball.

Sejak itu, Ball tidak lagi menoleh ke belakang dan sering mengucapkan kesyukuran kerana tidak lagi kerana dilahirkan sebagai Islam tetapi kerana selamanya beliau tetap dengan agamanya, iaitu Islam!

Sumber : www.utusan.com.my

Share this article :

+ comments + 2 comments

October 21, 2013 at 3:53 AM

mimpi kadang-kadang adalah satu petanda.

Anonymous
February 8, 2014 at 9:41 AM

Tak tanya pon

Post a Comment
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger