Home » , » HAMKA

HAMKA

Written By Unknown on Wednesday, September 25, 2013 | 5:30 PM

Haji Abdul Malik Karim Amrullah

Tokoh ini adalah seorang ulama, pujangga dan pendakwah terkenal serta  berpengaruh di Asia Tenggara yang lahir dengan Haji Abdul Malik Karim Amrullah. Bagaimanapun, beliau lebih dikenali dengan nama HAMKA.

Ketika berusia 16 tahun Hamka pergi merantau ke Jawa. Di sana beliau menimba ilmu daripada HOS Tjokroaminoto, Ki Bagus Hadikusumo, RM Soerjopranoto, KH Fakhruddin dan A.R. Sutan Mansur.

Beliau aktif dalam organisasi Muhammadiyah. Pada 1936 beliau berpindah ke Medan. D sini beliau memulakan karier keulamaannya dan menulis banyak novel. HAMKA dikenali kerana berpengetahuan luas.

Selain itu, beliau juga terkenal sebagai ulama yang berandangan sederhana. Pada tahun 1975, semasa Majelis Ulama Indonesia (MUI) ditubuhkan, HAMKA terpilih sebagai presiden.

Ulama besar dan pujangga ini meninggal dunia pada hari Jumaat, 24 Julai 1981.

1908 – Lahir di Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia pada 16 Februari.

1925 – Mendirikan Tabligh Muhammadiyah di Padang Panjang.

1927 – Menunaikan ibadat haji.

1928 – Mulai aktif di Muhammadiyah.

1936 – Menetap di Medan dan memimpin majalah Pedoman Masyarakat.

1950 – Menjadi pegawai negeri di Kementerian Agama dan Pensyarah di beberapa pusat pengajian tinggi Islam.

1955 – Anggota suruhanjaya pada pilihan raya umum yang pertama.

1956 – Menerbitkan majalah Panji Masyarakat.

1960 – Menjadi Imam Masjid Agung al- Azhar, Jakarta.

1964 – Ditahan oleh pemerintah Orde Lama.

1975 – Dipilih sebagai ketua MUI.

1981 – Meninggal dunia di Jakarta pada 24 Julai.



MAHIR DENGAN SENDIRI

HAMKA tidak pernah mendapat pendidikan formal. Beliau belajar agama di sekolah agama Padang Panjang  dan Parabek (dekat Bukit Tinggi) serta daripada keluarganya. Beliau sangat berbakat dalam bidang bahasa. Beliau mampu membaca sastera Arab, termasuk terjemahan daripada tulisan Barat.

Dunia antarabangsa mengakui keahliannya dalam bidang keislaman yang diperolehi beliau dengan belajar sendiri. Beliau memperolehi gelaran Doktor Kehormat dari Universiti al-Azhar, Mesir dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Salah satu karya agung HAMKA ialah Tafsir al-Azhar (30 juz).

Beliau menyiapkan tafsir al-Quran ini ketika dipenjarakan selama beberapa tahun kerana dianggap menentang rejim pemerintahan Orde Lama.

ULAMA SEDERHANA

Pandangan sederhana HAMKA membuatkan beliau diterima oleh semua pihak. Di kalangan orang ramai, Hamka dikenali dengan pidatonya yang menyejukan hati dan mengobarkan semangat serta optimisme. Sebagai tokoh pembaharu, beliau menentang penguasaan adat terhadap ajaran agama, terutama di Minangkabau, seperti pola hubungan kekeluargaan yang bersifat matriarki (berdasarkan kuasa ibu).

ULAMA PUJANGGA

Hamka juga dikenal sebagai pengarang novel. Beliau pernah diberi nama julukan “Kiai Novel” kerana kegiatannya yang dianggap menyalahi tradisi keulamaan itu. Puluhan tahun kemudian barulah julukan itu berubah menjadi “Ulama Pujangga”.

Karyanya yang berbentuk novel antaranya ialah Di Bawah Lindungan Kaabah, Mandi Cahaya di Tanah Suci, Di Lembah Nil, Merantau ke Deli, Tenggelamnya Kapal Van Ver Wijck dan Di Dalam Lembah Kehidupan.

Beliau juga meninggalkan lebih daripada seratus karya dalam pelbagai bidang kajian seperti politik, sejarah, budaya dan ilmu keislaman.

MUHAMMADIYAH

Perkenalannya dengan tokoh-tokoh Muhammadiyah membuatkan HAMKA aktif dalam organisasi ini. Beliau beberapa kali memangku jawatan sebagai pemimpin Muhammadiyah , di antara lain Majelis Konsul Muhammadiyah di Sumatera Tengah (1934), pemimpin Muhammadiyah Sumatera Timur (1942) dan anggota pemimpin pusat Muhammadiyah (1953).

Sejak 1971 beliau dilantik sebagai penasihat pemimpin pusat Muhammadiyah sehingga akhir hayat. Nama Hamka diabadikan sebagai nama pusat pengajian tinggi kepunyaan Muhammadiyah di Jakarta, iaitu Universiti HAMKA.

Susunan RUQAIYAH OTHMAN
www.ummatanwasatan.net
Share this article :

+ comments + 2 comments

September 27, 2013 at 4:44 PM

saya minat dengan tokoh Ulama ini. ketokohan yang tidak boleh disangkal lagi

October 1, 2013 at 9:03 AM

wah.. selalu teman dengar nama jea.. hari ni dapat baca biodata beliau lak.. thanx atas perkongsian ini yea.. memang tokoh ulama yang disegani..

Post a Comment
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger