Home » » APA ITU ISLAM?

APA ITU ISLAM?

Written By lurim on Friday, May 6, 2011 | 9:46 AM



Bolehkah kita temui penjelasan mengenai alam semesta? Terdapatkah sebarang penjelasan mengenai rahsia keujudannya? Kita menyedari tiada keluarga yang dapat hidup bahagia tanpa ketua keluarga, tiada sebuah bandaraya yang boleh wujud dengan teratur tanpa adanya pengurusan yang baik, dan tiada negeri boleh berjalan tanpa seorang pemimpinnya. Kita sedar tiada apa yang boleh wujud dengan sendiri.

Lebih dari itu, kita menyaksikan alam semesta wujud dan berfungsi dalam keadaan penuh teratur, dan ia telah wujud sejak berbillion tahun dahulu. Bolehkah kita katakan bahawa semua ini suatu yang berlaku secara tidak sengaja dan tanpa perancangan? Bolehkah kita anggap kewujudan manusia dan seluruh alam hanyalah suatu kebetulan? Manusia hanya sebahagaian kecil dari alam semesta yang besar, dan jika dia boleh merancang dan menghargai kepentingan perancangan, maka keujudannya dan keujudan alam semesta semestinya berasaskan kepada suatu perancangan juga.

Ini bermakna ada Satu Kuasa Yang Mereka bentuk disebalik kewujudan kita, dan terdapat suatu kuasa luar biasa yang menwujudkan sesuatu dan membolehkan mereka berkembang secara teratur. Di dalam suatu alam yang indah ini, semestinya ada Maha Pencipta yang merekacipta hasil seni yang indah dan membuat kesemuanya untuk suatu tujuan istimewa dalam hidup ini.

Manusia yang diberikan petunjuk menyedari kewujudan Pencipta ini dan memanggilNya Allah. Dia bukan manusia kerana tiada manusia yang boleh mencipta seorang manusia lain. Dia bukan suatu haiwan, dan Dia juga bukan suatu tumbuhan. Dia bukannya suatu berhala atau suatu patung, kerana benda-benda itu tidak berkuasa mencipta diri sendiri mahupun benda-benda lain. Dia lain daripada kesemua benda, kerana Dia Pembuat dan Penjaga kesemua benda yang lain. Pembuat semestinya berbeza dan lebih hebat daripada benda yang dibuatnya.

Terdapat banyak cara untuk mengenali Allah dan banyak penjelasan yang boleh dibuat mengenaiNya. Keajaiban-keajaiban dan kehebatan yang terdapat di dunia merupakan satu buku terbuka dimana kita dapat membaca mengenaiNya. Selain daripada itu, Allah subhanahuwata’ala membolehkan kita mengenaliNya melalui rasul-rasulNya dan wahyu-wahyu yang diturunkan kepada manusia. Rasul-rasul alaihissalam dan wahyu-wahyu menerangkan kesemua perkara yang memungkinkan kita mengenali Pencipta kita.

Islam bermaksud penerimaan sepenuhnya terhadap kesemua ajaran-ajaran dan petunjuk Pencipta sebagaimana yang diturunkan kepada rasul-rasulNya alaihissalam. Islam mensyaratkan keimanan kepada keesaan dan kekuasan Allah subhanahuwata’ala, yang menyebabkan manusia menyedari erti kewujudan alam semesta dan erti kewujudan dirinya di dalam alam semesta ini. Kepercayaan ini membebaskan manusia daripada semua ketakutan dan kepercayaan karut kerana ianya menyedarkan manusia akan kewujudan Allah Yang Maha Berkuasa dan tanggungjawab mereka kepadaNya.

Keimanan ini mesti diterjemahkan dan diuji dalam bentuk tindakan kerana keimanan sahaja tidak mencukupi. Kepercayaan kepada Allah Yang Maha Esa menuntut kita melihat manusia sejagat sebagai sebuah keluarga besar dibawah naungan Yang Maha Pencipta dan Maha Pemberi Rezeki. Islam menolak tanggapan kononnya segolongan manusia adalah kelompok terpilih. Pada masa yang sama, ia mengiktiraf bahawa keimanan kepada Yang Maha Pencipta, dan amalan soleh sahajalah jalan menuju ke syurga. Justeru, perhubungan langsung wujud dengan Allah tanpa memerlukan orang tengah.

Harus diingat bahawa Islam bukannya sebuah agama baru. Sebenarnya ia merupakan mesej dan pertunjuk yang sama yang telahpun diwahyukan kepada semua nabi-nabi seperti Adam, Idris, Nuh, Ibrahim, Ismail, Ishak, Daud, Musa, Isa, dan Muhammad sallallahu’alaihiwasallam. Namun, mesej yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad sallallahu’alaihiwasallam adalah Islam yang lengkap, sempurna, dan terakhir.

Berhubung dengan itu, Al-Qur’an ialah wahyu Allah yang menjadi sumber asas ajaran dan syariah Islam. Ia membicarakan asas-asas keimanan, moral, sejarah kemanusian, penyembahan kepada Tuhan, ilmu, kebijaksanaan, hubungan manusia dengan Allah, dan segala aspek kehidupan manusia. Ia mengandung ajaran-ajaran yang lengkap yang boleh dijadikan rujukan untuk membina sistem kehidupan yang baik dan keadilan sosial, ekonomi, politik, perundangan, dan hubungan antarabangsa. Kesemuanya adalah isi penting daripada Al-Qur’an.

Manakala Hadis pula mengandungi didikan-didikan, kata-kata, dan tindakan-tindakan Nabi Muhammad sallallahu’alaihiwasallam yang dilapur dan dikumpul oleh para sahabat baginda. Ia menerangkan dan menjelaskan ayat-ayat Al-Qur’an.


Rukun Iman (Asas-Asas Kepercayaan):

Orang Islam yang sebenar mempercayai dan mengimani rukun-rukun iman seperti berikut:

1. Kepercayaan kepada Allah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Agung, Maha Wujud, Maha Berkuasa, Maha Penyayang, Maha Pemaaf, Maha Pencipta dan Maha Pemberi Rezeki, Dia tiada anak, dan tidak juga diperanakkan, dan tiada suatu pun yang sama atau setanding denganNya.

2. Kepercayaan kepada semua Rasul-Rasul Allah tanpa membeza-bezakan antara mereka, kerana Allah subhanahuwata’ala mengutuskan pemberi amaran atau rasul untuk setiap umat. Allah memilih mereka supaya memikul tanggungjawab mendidik manusia dan menyampaikan wahyu-wahyuNya yang suci. Al-Qur’an menyebut beberapa nama daripada rasul-rasul ini, dan Nabi Muhammad sallallahu’alaihiwasallam adalah rasul terakhir dan teragung.

3. Kepercayaan kepada kitab-kitab yang asal dan wahyu-wahyu Allah subhanahuwata’ala, menerima mereka sebagai cahaya pembimbing yang diterima rasul-rasul untuk disampaikan kepada umat masing-masing menuju jalan yang lurus kepadaNya. Di dalam Al-Qur’an disebutkan nama-nama kitab Nabi Ibrahim, Musa, Daud, dan Isa allaihissalam. Namun, sebelum diturunkan kitab Al-Qur’an kepada Nabi Muhammad sallallahu’alaihiwasallam, sebahagian daripada kitab-kitab tersebut telah hilang atau diubahsuai. Kini, hanya kitab Al-Qur’an sahaja merupakan kitab yang terpelihara dan asli sejak ianya diwahyukan kepada Nabi Muhammad sallallahu’alaihiwasallam dalam bentuknya yang asli.

4. Kepercayaan kepada para malaikat Allah, percaya bahawa mereka adalah makhluk yang tidak melakukan apa-apa dosa dan tidak memerlukan makanan, minuman, dan tidur. Mereka merupakan hamba Allah yang dipertanggungjawabkan dengan tugas-tugas tertentu, dan menghabiskan malam dan siang menyembah Allah subhanahuwata’ala. Mereka bercakap dan membuat sesuatu diatas perintah Allah subhanahuwata’ala.

5. Kepercayaan kepada Hari Kiamat dan Alam Akhirat, menerima hakikat bahawa semesta alam ini akan musnah suatu ketika nanti, dan bahawa semua manusia yang telah mati akan dibangkitkan semula untuk dibicara dan dibalas secara adil. Manusia yang beramal soleh akan dikurniakan balasan baik dan akan dimasukkan ke dalam syurga Allah, dan mereka yang melakukan kejahatan dan dihukum dan dimasukkan ke dalam neraka dan semua manusia akan dibalas secara adil dan saksama.

6. Percaya kepada Qada dan Qadar Allah, samada baik ataupun buruk, dimana Allah subhanahuwata’ala menilai dan menetapkan nasib kepada semua makhluknya menurut kehendakNya Yang Maha Bijaksana. Berdasarkan ilmu Allah yang Maha Mengetahui, dan kuasaNya untuk merancang dan melaksanakan perancangannya, tiada apa boleh berlaku bertentangan dengan KehendakNya. Ilmu dan kuasaNya sentiasa menentukan apa jua yang berlaku kepada makhlukNya. Dia Maha Bijaksana dan Maha Penyayang, dan apa jua yang dikehendakiNya berlaku tujuan dan tidak sia-sia. Jika perkara ini diyakini sepenuh hati, maka kita mesti menerima dengan reda segala apa yang Dia takdirkan kepada kita, walaupun kita mungkin tidak memahami sepenuhnya hikmah di sebalik perkara tersbut, atau kita mungkin merasakan ianya suatu yang buruk.

Kepercayaan tanpa perbuatan dan tindakan merupakan suatu yang tiada makna bagi Islam, kerana kepercayaan secara amnya amat sensitif dan boleh menjadi suatu yang paling berpengaruh. Namun, apabila tidak disusuli dengan tindakan, keimanan tersebut akan padam bersama-sama pengaruhnya.


Lima Rukun Islam (Tindakan):


1. Mengucap dua kalimah shahadah: Mengaku bahawa tiada suatu pun yang layak disembah melainkan Allah subhanahuwata’ala, dan bahawa Nabi Muhammad sallallahu’alaihiwasallam ialah rasul Allah. Umat Islam diwajibkan mencontohi cara hidup Nabi Muhammad sallallahu’alaihiwasallam.

2. Bersolat: Sembahyang lima waktu setiap hari sebagai tanggungjawab kepada Allah subhanahuwata’ala. Bersolat solat ini menguatkan dan menghidupkan kepercayaan kepada Allah subhanahuwata’ala dan mendorong manusia sentiasa memperbaiki akhlaknya ke tahap yang lebih mulia. Ia juga menyucikan hati dan menghalang manusia dari melakukan dosa dan maksiat. Solat ada lima waktu: Solat Subuh, Solat Zuhur, Solat Asar, Solat Maghrib, dan Solat Isyak.

3. Membayar Zakat: Berdasarkan perkataan, Zakat bermaksud kesucian. Manakala makna teknikalnya ialah kewajipan keatas setiap umat Islam yang berharta untuk menyumbang, samada wang ringgit atau harta, sekali setahun kepada golongan yang layak. Namun, makna zakat dari sudut agama dan kerohanian lebih dalam dan bermakna berbanding nilai sosial, politik dan kemanusiannya sahaja.

4. Berpuasa: Umat Islam diwajibkan berpuasa di bulan Ramadhan dengan tidak makan atau minum dan tidak melakukan hubungan jenis dari Subuh hingga Maghrib. Mereka juga dilarang dari mempunyai niat buruk sepanjang tahun amnya, dan di bulan puasa khasnya. Berpuasa mengajar manusia supaya mengasihi orang lain, tidak mementingkan diri sendiri, dan menguji kekuatan diri.

5. Mengerjakan Haji (Di Mekah): ianya diwajibkan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup kepada umat Islam yang mampu dari segi kewangan dan kesihatan tubuh badan. Ianya merupakan perhimpunan tahunan terbesar dimana umat Islam bertemu antara satu sama lain tanpa perasaan prasangka atau curiga kepada warna kulit, bangsa, keturunan, mahupun kedudukan. Lagipun, semua manusia adalah sama dari pandangan Allah subhanahuwata’aa. Justeru ibadat Haji membuktikan bahawa Islam sesuai untuk semua manusia, dan menyerlahkan semangat persaudaraan dan persamaan antara umat Islam.

INILAH ISLAM AGAMA FITRAH UNTUK SEKALIAN UMAT MANUSIA
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger