Home » » NASIB ORANG BUKAN ISLAM PADA HARI AKHIRAT

NASIB ORANG BUKAN ISLAM PADA HARI AKHIRAT

Written By Suatu Perjalanan Maya on Wednesday, April 16, 2014 | 6:07 PM

Di kalangan para pembaca sekalian pasti ada yang pernah terlintas soalan: “Apakah nasib orang bukan Islam di akhirat kelak? Apakah mereka semuanya akan diazab dalam neraka? Bagaimana dengan nasib orang yang tidak pernah mendengar tentang Islam?”

Sebenarnya persoalan ini telah disentuh oleh Allah Subhanahu waTa'ala dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di dalam al-Qur’an dan hadis. Persoalan inilah yang menjadi fokus penulisan saya untuk  bulan ini.



Petunjuk Daripada al-Qur’an

Allah Subhanahu waTa'ala berfirman: Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). [al-Isra’ 17:15]

Dalam ayat di atas, Allah menerangkan bahawa Dia tidak akan terus mengazab sesiapa jua selagi mana Dia tidak mengutus seorang Rasul kepada mereka. Oleh itu mana-mana individu atau kaum yang tidak sampai kepada mereka seorang Rasul yang menerangkan tentang Islam, maka mereka tidak akan terus dihukum atau diazab oleh Allah. Demikian juga seterusnya selepas kewafatan Nabi Muhammad, mana-mana individu atau kaum yang tidak sampai kepada mereka pengetahuan tentang Islam, maka mereka tidak akan terus dihukum atau diazab oleh Allah.

Sebagai contoh sehingga masa kini masih ada orang yang tinggal di pendalaman benua Afrika, Amerika Selatan, Rusia, kawasan Artik dan lain-lain yang tidak pernah sampai kepada pengetahuan mereka tentang Islam. Tidak ketinggalan ialah sebahagian Orang Asli di Malaysia. Kepada orang seperti ini Allah tidak akan terus mengazab mereka.

Termasuk dalam cakupan ayat di atas adalah umat Islam minoriti yang hidup di negara bukan Islam seperti di China, Amerika Utara, Australia dan Eropah. Telah sampai kepada mereka tentang Islam lalu mereka memeluknya. Akan tetapi terdapat sebahagian daripada ilmu dan perintah larangan Islam yang belum sampai kepada pengetahuan mereka sehingga adakalanya mereka melanggar hukum tersebut. Maka Allah tidak akan terus mengazab perbuatan mereka kerana belum sampai kepada mereka ilmu tentang hukum yang sebenar.

Oleh itu hukuman atau azab Allah hanyalah kepada orang yang telah sampai kepada mereka pengetahuan tentang kebenaran, lalu mereka menolak atau mendustakannya. Firman Allah:

Dan bagi orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhan mereka, disediakan azab neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali. Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak. Hampir-hampir ia pecah berkecai-kecai kerana kuat marahnya. Tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (dari orang kafir), bertanyalah penjaga-penjaga neraka itu kepada mereka: “Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)?”

Mereka menjawab: “Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu kami dustakan serta kami katakan (kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu (wahai orang yang mendakwa menjadi Rasul) hanyalah berada dalam kesesatan yang besar!” [al-Mulk 67:6-9]



Keliru Atau Salah Faham

Berdasarkan sifat-Nya yang al-Rahman dan al-Rahim, Allah bukan sahaja tidak mengazab orang yang tidak sampai kepada mereka kebenaran, bahkan Allah juga tidak mengazab orang yang terkeliru atau salah faham dalam menerima kebenaran. Allah Subhanahu waTa'ala berfirman: Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. [Ibrahim 14:04]

Dan Allah tidak sekali-kali menjadikan sesuatu kaum itu sesat sesudah Dia memberi hidayah petunjuk kepada mereka, sebelum Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka wajib memelihara dan melindungi diri daripadanya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. [al-Taubah 9:115]

Dalam ayat-ayat di atas jelas bahawa Allah tidak akan terus mengazab sesiapa atau menghukumnya sesat sehinggalah sampai kepada dia pengetahuan tentang Islam secara jelas dalam bahasa yang dia fahami. Daripada ayat-ayat di atas juga dapat kita fahami bahawa Allah tidak akan terus mengazab orang-orang seperti berikut:

Pertama: Orang yang sampai kepada mereka pengetahuan tentang Islam tetapi dengan cara yang negatif sehingga menyebabkan dia menjauhinya. Penyampaian tentang Islam dengan cara yang negatif lazimnya dilakukan oleh media antarabangsa dan tempatan. Tidak mereka laporkan apa-apa tentang Islam melainkan keganasan, kezaliman dan kemunduran.

Kedua: Orang yang sampai kepada mereka pengetahuan tentang Islam tetapi dengan cara yang menakutkan sehingga dia keberatan menerimanya. Penyampaian tentang Islam dengan cara yang menakutkan lazimnya dilakukan oleh umat Islam sendiri. Mereka mendakwahkan Islam bukan dengan memberi tumpuan ke arah menyembah Allah, Tuhan yang satu (tauhid) tetapi dengan memberi tumpuan kepada perintah larangan semata-mata (hukum hakam) seperti haram minum arak, haram makan daging tidak halal, haram dedah aurat, wajib potong kemaluan (bersunat), wajib sembahyang lima kali sehari, wajib puasa sebulan dan sebagainya.

Kesemua di atas memang merupakan sebahagian daripada syari‘at Islam akan tetapi jika ia disampaikan tanpa bertahap-tahap, ia akan menjadi berat bagi orang yang baru hendak berkenalan dengan Islam. Selain itu kita di Malaysia menambah beberapa lagi kesusahan kepada orang yang hendak memeluk Islam seperti wajib tukar nama sendiri dan nama ayah, wajib ucap syahadah dalam bahasa Arab dan wajib mengamalkan semua perintah larangan secara serta merta. Jika tidak dilakukan semua ini, kita pantas menghukum mereka berdosa dan akan masuk neraka. Tidak ketinggalan, kita juga mengikat kesamaan antara Islam dan Melayu, sehingga mana-mana bangsa bukan Melayu yang memeluk Islam perlu menukar kebudayaan mereka kepada budaya Melayu.

Cara kita mendakwahkan Islam sebagaimana di atas menyebabkan orang bukan Islam merasa berat untuk menerimanya. Kita memberi gambaran yang tidak jelas kepada mereka, bahawa kononnya Islam adalah agama yang dipenuhi dengan persyaratan dan pantang larang. Di sini kesalahannya tidak terletak kepada orang bukan Islam tetapi kepada orang Islam sendiri kerana Allah telah memerintah kepada kita:

Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. [al-Nahl 16:125]

Kesimpulannya, azab Allah hanyalah kepada orang yang telah sampai kepada mereka pengetahuan secara jelas dan hikmah tanpa sebarang kekeliruan atau kesamaran di dalamnya, lalu mereka menolaknya. Firman Allah Subhanahu waTa'ala:

Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. [al-Nisaa’ 4:115]



Petunjuk Daripada Hadis

Dalam persoalan ini, terdapat sebuah hadis daripada al-Aswad bin Sari’ radhiallahu 'anh bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Pada Hari Kiamat kelak, akan ada empat golongan. (Golongan pertama) adalah orang pekak yang tidak dapat mendengar apa-apa. (Golongan kedua) adalah orang bodoh. (Golongan ketiga) adalah orang nyanyuk. (Golongan keempat) adalah orang yang mati dalam zaman tidak ada Nabi atau Rasul.

Maka adapun orang yang pekak, dia berkata: “Wahai tuhanku, apabila Islam datang saya tidak dapat mendengar apa-apa jua.” Adapun orang yang bodoh, dia berkata: “Wahai tuhanku, apabila Islam datang saya dibaling najis oleh kanak-kanak.” Adapun orang yang nyanyuk: “Wahai tuhanku, apabila Islam datang aku sudah tidak dapat memikirkan apa-apa jua.” Adapun orang yang mati dalam zaman tidak ada Nabi atau Rasul, dia berkata: “Wahai tuhanku, Rasul Kamu tidak pernah datang (untuk mendakwahkan) aku.”

(Setelah mendengar alasan-alasan mereka), Maka (Allah) membuat perjanjian dengan mereka untuk taat kepada-Nya. Lalu Allah mengutuskan satu utusan kepada mereka yang memerintahkan: “Masuklah ke dalam neraka!”

Maka, demi nyawa Muhammad yang berada di Tangan-Nya! Seandainya mereka (taat) dan masuk neraka, nescaya api itu menjadi sejuk dan selamat untuk mereka.

Hadis ini dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya, no: 15712. Ia dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, no: 16301. Sementara itu al-Albani menilainya sahih dalam Silsilah al-Shahihah, no: 1434.

Hadis ini selari dengan ayat-ayat al-Qur’an di atas, di mana orang yang tidak pernah sampai dakwah Islam secara benar lagi jelas tidak akan terus diazab oleh Allah. Sebaliknya Allah akan menguji mereka dengan cara membuat perjanjian agar mereka taat kepada-Nya. Seterusnya Allah mengutuskan satu utusan yang memerintahkan mereka masuk ke dalam neraka.

Di dalam perintah ini terdapat ujian. Jika mereka benar-benar taat kepada Allah, mereka akan terus melompat ke dalam neraka. Namun oleh kerana ketaatan mereka itu, neraka menjadi sejuk lagi selamat kepada mereka. Orang seperti ini lulus ujian dan akan dimasukkan ke dalam syurga. Sebaliknya orang yang enggan taat, mereka tidak mahu melompat ke dalam neraka. Mereka akan terus beralasan dan berhujah di hadapan Allah. Orang seperti ini gagal ujian dan akan dimasukkan ke dalam neraka.


Faedah Tambahan

Di dalam hadis di atas terdapat sebuah faedah tambahan, iaitu hendaklah kita taat kepada Allah dan Rasulullah meskipun perintah atau larangan tersebut pada zahirnya kelihatan tidak logik. Perintah untuk memasuki neraka kepada empat golongan tersebut adalah tidak logik, namun sesiapa yang mentaatinya maka dialah yang lulus.

Justeru usah kita membuat pelbagai alasan umpama “Ini urusan muamalat yang berubah ikut tamadun manusia”, “Perintah ini hendaklah difahami mengikut konteksnya”, “Larangan ini tidak sesuai dengan waqi’ sekarang”, “Jangan memahami teks secara literal” dan pelbagai lain.

Ini kerana Allah boleh saja mentaqdirkan satu suasana yang menimbulkan pertembungan di antara logik dan nas (al-Qur’an dan hadis) sebagai ujian kepada para hamba-Nya, apakah mereka akan mentaati logik atau nas. Sesiapa yang mentaati nas maka dia lulus, sesiapa yang mentaati akal maka nasibnya diserahkan kepada Allah.

Sumber : hafizfirdaus.com
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger