Home » » TAUBAT DIHYAT AL-KALBI

TAUBAT DIHYAT AL-KALBI

Written By amirulyaacob on Sunday, August 5, 2012 | 1:38 AM



Dia memiliki segalanya. Kekacakannya menandingi lelaki yang ada di zamannya. Kekayaannya usah dikira kerana tidak terbilang dengan angka biasa. Itulah Dihyat Al-Kalbi, seorang raja kafir yang berbangsa Arab. Meski kehidupan Dihyat sempurna, sinar keimanan masih tidak lekat di hatinya.

Namun, di sebalik semua itu, Nabi Muhammad SAW pernah berdoa untuk Dihyat. Seperti yang dimaklumi, bukan mudah untuk menjadi manusia yang tercalon di dalam doa insan mulia ini apatah lagi jika Nabi mendoakan kebaikan.

“Ya Allah, berikan rezeki berupa Islam kepada Dihyat Al-Kalbi,” doa baginda. Memang Rasulullah SAW sangat menginginkan Dihyat memasuki Islam.

Satu ketika, Allah memakbulkan doa Rasulullah SAW dan membuka pintu hati Dihyat Al-Kalbi untuk memeluk Islam. Sesudah solat fajar, Allah memberi wahyu kepada Nabi SAW,

“Hai Muhamad, telah Aku pancarkan sinar iman di dalam hati Dihyat Al-Kalbi. Maka sekarang ini dia akan masuk Islam dan akan datang kepadamu.”

Rasulullah SAW menanti kedatangan Dihyat di masjid. Tiba saja Dihyat, Rasulullah terus membuka kain dari bahunya dan membentangkannya di lantai serta memberi isyarat agar Dihyat duduk beralaskan kain itu.

Ketika Dihyat Al-Kalbi melihat penghormatan Nabi SAW yang mulia itu, dia terus menangis. Lantas diangkatnya kain itu, dicium dan diletakkan di atas kepala serta dua matanya seraya berkata,

“Hai Nabi Allah, apakah syarat-syarat Islam itu?”

“Mengucaplah dua kalimah syahadah wahai Dihyat Al-Kalbi,” ujar baginda lalu diajar kepada Dihyat kalimah syahadah.

Selesai bersyahadah, Dihyat terus menangis tersedu-sedu. Nabi kehairanan kerana tangisannya begitu mengharukan dan menimbulkan tanda tanya.

“Dihyat, kau menangis ini adakah kerana masuk Islam atau kerana perkara yang lain?” tanya baginda.

Perlahan-lahan Dihyat menjawab,

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah melakukan beberapa perbuatan dosa yang amat besar sewaktu kejahilanku dulu. Aku mohon, tanyalah kepada Tuhanmu apakah tebusan di atas dosa-dosaku itu. Jika disuruh aku membunuh diri, akan kulakukan asalkan dosaku terampun. Dan jika Tuhanmu mahu aku melepaskan semua hartaku untuk bersedekah juga akan kulakukan.”

Nabi SAW terdiam lalu bertanya lagi,

“Dosa apakah yang pernah kau lakukan wahai Dihyat?”

“Aku adalah seorang raja dari beberapa kerajaan Arab. Hidupku serba mewah dan aku larut di dalam semua kesenangan itu. Aku mempunyai tujuh puluh orang anak perempuan. Namun aku enggan mereka mempunyai suami. Lantas sebelum menjengah dewasa, aku bunuh kesemua mereka dengan tanganku sendiri. Alangkah kejamnya perbuatanku.”

Nabi yang mendengar pengakuan Dihyat seakan tidak percaya dan merasa ragu adakah benar Dihyat berperilaku sebegitu.

Di kala itu, turunlah malaikat Jibril membawa wahyu yang mengatakan,

“Hai Rasulullah, katakanlah kepada Dihyat Al-Kalbi bahawa sebaik sahaja dia mengucap dua kalimah syahadah dengan lidah dan hatinya, maka Aku telah mengampuni segala caciannya kepada-Ku selama enam puluh tahun. Bagaimana tidak Aku ampuni, mereka yang dia bunuh itu juga adalah anak-anaknya sendiri?”

Mendengar itu, Nabi SAW dan para sahabatnya turut menangis. Lalu baginda berkata,

“Tuhanku, Engkau telah mengampuni Dihyat yang telah membunuh anak-anaknya hanya dengan syahadatnya yang sekali sahaja. Maka bagaimana Engkau tidak akan mengampuni orang-orang yang beriman akan dosa-dosa kecil mereka dengan syahadat mereka yang berkali-kali itu.”

Dikatakan, Dihyat adalah putera Khalifah Farwah Al-Kalbi. Kerana ketampanannya, dia sering menjadi perhatian wanita setiap kali berkunjung ke Madinah. Bahkan Jibril pernah datang kepada Nabi SAW dengan berbentuk wajah Dihyat kerana keelokan rupa parasnya.

Dihyat juga dikurniakan usia yang panjang. Dia sempat menyaksikan peristiwa-peristiwa sesudah Perang Badar bersama Rasulullah dan masih hidup sehingga pemerintahan Khalifah Mua’wiyah dan menjadi saksi peperangan selepas itu. Penghujung hayatnya, Dihyat tinggal di Al-Mizit sebuah desa di Damsyik.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger