Home » » GARIS PANDUAN PENGURUSAN SAUDARA BARU ( MUALLAF) - JAKIM

GARIS PANDUAN PENGURUSAN SAUDARA BARU ( MUALLAF) - JAKIM

Written By amirulyaacob on Monday, August 27, 2012 | 7:45 PM

 
LATAR BELAKANG

1. Garis panduan ini disediakan sebagai rujukan kepada pihak Berkuasa Agama Islam Negeri-negeri, Saudara Baru, ahli keluarganya atau mana-mana pihak yang berkenaan.

2. Penyebaran dakwah Islamiah di Malaysia telah memberikan kesan yang positif di mana ramai di kalangan masyarakat yang bukan Islam telah mula mengenal, memahami dan mengkaji tentang Islam dan akhirnya mereka mengambil keputusan untuk memeluk Islam.

3. Bermula dengan pengislaman salah seorang dari ahli keluarga atau lebih, kadangkala membawa kepada terpisahnya hubungan di antara mereka dengan keluarga asalnya yang masih belum memeluk Islam. Apabila ini berlaku, golongan Saudara Baru akan merasa tersisih dan menganggap bahawa segala keperluan dan kebajikannya mula terabai.

4. Islam sebagai agama yang prihatin, awal-awal lagi telah memberi jaminan kepada Saudara Baru dan ahli keluarganya yang turut memeluk Islam, bahawa nasib mereka akan dibela sehinggalah mereka boleh berdikari. Oleh sebab itu Islam telah menyenaraikan mereka di kalangan lapan asnaf yang layak menerima zakat.

5. Adalah menjadi tanggungjawab orang Islam untuk memberi sokongan dan kekuatan kepada Saudara Baru terutama dalam bentuk bantuan kebajikan, moral, kewangan dan pembelajaran. Ianya hendaklah bermula dari seawal proses pengislamannya sehinggalah kepada pengurusan kematiannya. Ini semua merupakan satu tuntutan dalam Islam.


Kaedah Masuk Islam

6. Tatacara dan kaedah pengurusan masuk Islam yang dinyatakan dalam garis panduan ini adalah bagi memudahkan pengurusan secara sistematik berpandukan kepada kaedah dan peraturan memeluk Islam yang digubal di setiap negeri.


Penerangan Masuk Islam

7. Mana-mana orang yang menguruskan pengislaman seseorang yang ingin masuk Islam bertanggungjawab untuk memberi penerangan mengenai Islam, pengertian Dua Kalimah Syahadah, tugas dan kewajipan sebagai seorang Islam.


Majlis Pengislaman

8. (a) Seseorang yang ingin masuk Islam hendaklah mengucap Dua Kalimah Syahadah di hadapan Pendaftar Muallaf atau mana-mana pegawai atau mana-mana orang yang menguruskan pengislaman seseorang Saudara Baru dengan disaksikan oleh seorang saksi lelaki.

(b) Bagi seseorang yang tidak dapat bercakap, bantuan Juru Bahasa Isyarat bolehlah diperoleh bagi membantu Pendaftar Muallaf atau mana-mana pegawai atau mana-mana orang yang menguruskan pengislaman seseorang Saudara Baru untuk memahami bahasa isyarat yang digunakan.

(c) Jika majlis pengislaman dibuat di hadapan seseorang yang selain daripada Pendaftar Muallaf, orang itu hendaklah bertanggungjawab membawa Saudara Baru tersebut kepada Pendaftar Muallaf bagi tujuan urusan pendaftaran.


Kelayakan Saksi

9. Seseorang yang menjadi saksi dalam majlis pengislaman hendaklah:

(a) Beragama Islam;

(b) Sempurna akal; dan

(c) Berumur tidak kurang daripada lapan belas tahun.
 

Maklumat Masuk Islam


10. Seseorang yang telah masuk Islam atau orang yang menguruskan pengislaman seseorang hendaklah:

(a)Mengisi borang yang disediakan oleh Jabatan / Majlis Agama Islam Negeri ;

(b)Membuat suatu catatan yang mengandungi butir-butir berikut :
(i) nama Saudara Baru;
(ii) agama asal ;
(iii) nama setelah masuk Islam ;
(iv) nombor kad pengenalan ;
(v) tanggungan ;
(vi) nama orang yang menguruskan pengislaman;
(vii) nama saksi;
(viii) tarikh, masa dan tempat pengislaman; dan
(ix) kenyataan kerelaan hatinya untuk masuk Islam dan tandatangannya.
(x) status perkahwinan.

(c) Seseorang yang menguruskan pengislaman Saudara Baru hendaklah mendaftarkan pengislaman tersebut di mana-mana Jabatan / Majlis Agama Islam Negeri-negeri.



Tempat Pengislaman

11. (a) Pengislaman di Pejabat Agama Islam Seseorang yang masuk Islam di Pejabat Agama akan terus didaftarkan secara rasmi mengikut peruntukan undang-undang.

(b) Pengislaman Selain di Pejabat Agama Islam Seseorang yang menguruskan pengislaman Saudara Baru di luar Pejabat Agama hendaklah segera membawa bersama Saudara Baru ke Pejabat Agama untuk didaftarkan pengislamannya secara rasmi mengikut peruntukan undang-undang.

(c) Pengislaman di Luar Negara Seseorang yang memeluk Islam di luar negara juga perlulah mendaftar pengislamannya di Malaysia setelah kembali ke Malaysia.


Pendaftaran Masuk Islam

12. Pendaftar Muallaf bertanggungjawab untuk mendaftarkan permohonan pendaftaran oleh seseorang Saudara Baru dalam Daftar Muallaf dengan berdasarkan kepada peruntukan undang-undang.

13. Pendaftaran Saudara Baru


(a) Pendaftar yang menguruskan pengislaman seseorang saudara baru perlulah berpuas hati dengan proses seperti di bawah sebelum pendaftaran saudara baru dilakukan :
  • (i) Mengucap dua Kalimah Syahadah di dalam Bahasa Arab,
  • (ii) Memahami maksud daripada kedua-dua Kalimah Syahadah yang dilafazkan,
  • (iii) Pengucapan dua Kalimah Syahadah dibuat dengan kerelaan hati dan,
  • (iv) Menyatakan maksud Kalimah Syahadahnya dengan menggunakan bahasa isyarat yang boleh difahami tentang pengislamannya jika tidak dapat melafazkan.

(b) Saudara Baru yang telah disahkan pengislamannya melalui perkara-perkara di atas boleh didaftarkan sebagai Saudara Baru di mana-mana Pejabat Agama Islam.

(c) Seorang Pendaftar Muallaf hendaklah dilantik oleh pihak Majlis / Jabatan Agama Islam yang bertanggungjawab menyelenggarakan suatu daftar Saudara Baru bagi tujuan pendaftaran.

(d) Daftar sementara boleh diwujudkan dengan mengambil maklumat-maklumat peribadi dan maklumat berkaitan proses pengislaman seseorang saudara sekiranya saudara baru belum bersedia untuk mendaftarkan pengislamannya.

Tatacara Pendaftaran Masuk Islam

14. Dalam meningkatkan keberkesanan pentadbiran dan melaksanakan program kepada Saudara Baru, satu senarai semak tatacara pendaftaran diguna pakai oleh Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri. Senarai semak tersebut mengandungi butir-butir seperti berikut:

(a)Bagi Individu yang datang sendiri untuk Masuk Islam perlu :
  • (i) Membawa kad pengenalan atau pasport (jika bukan warganegara );
  • (ii) Membawa bersama seorang saksi;
  • (iii) Membawa empat keping gambar berukuran pasport;
  • (iv) Mengisi borang pengisytiharan masuk Islam.

(b) Seterusnya menghadiri kursus dan kelas pengajian
  • (i) Kelas asas fardhu ain secara mingguan dan bulanan;
  • (ii) Kursus intensif.

(c) Perakuan masuk Islam

Kad / sijil / surat perakuan memeluk Islam akan dikeluarkan serta merta kepada yang berkenaan dan individu tersebut kemudiannya diminta membuat pindaan butiran di dalam kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara. Antara dokumen-dokumen yang diperlukan ialah:
  • (i) Kad / sijil / surat perakuan masuk Islam,
  • (ii) Surat perakuan sumpah,
  • (iii) Kad pengenalan atau MyKad,
  • (iv) Sijil kelahiran

(d) Permohonan Pendaftaran Saudara Baru
  • (i) Seseorang Saudara Baru boleh membuat pendaftaran masuk Islam di Jabatan Agama Islam dengan menggunakan borang tertentu yang telah disediakan.
  • (ii) Apabila Pendaftar Muallaf berpuas hati dengan pengesahan pengislaman seseorang Saudara Baru, Pendaftar bolehlah mendaftarkannya di dalam daftar Saudara Baru berserta butiran-butiran lain yang berkaitan dengannya.
  • (iii) Pendaftar juga perlu mencatatkan nama Saudara Baru, tarikh masuk Islam di dalam buku daftar tersebut.
  • (iv) Pendaftar boleh melakukan apa-apa siasatan untuk memastikan tarikh sebenar kemasukan Saudara Baru ke dalam Islam jika difikirkan perlu.
  • (v) Sekiranya Pendaftar tidak berpuas hati dengan pengesahan pengislaman yang terdahulu, dia boleh membuat pengislaman semula di hadapannya atau di hadapan mana-mana pegawainya seperti yang dikehendaki pada perenggan 14 (a) (i) (ii) (iii) (iv).

(e)Daftar Saudara Baru

Suatu Daftar Saudara Baru hendaklah mengandungi butir-butir seperti berikut :

  • (i) bilangan daftar;
  • (ii) tarikh daftar;
  • (iii) nombor siri perakuan masuk Islam;
  • (iv) nama penuh asal;
  • (v) nama penuh Islam ( jika ada );
  • (vi) agama, atau kepercayaan asal;
  • (vii) bangsa;
  • (viii) nombor kad pengenalan, nombor tentera atau nombor polis atau nombor pasport;
  • (ix) kerakyatan asal atau warganegara sesebuah negara;
  • (x) tarikh lahir dan tempat lahir;
  • (xi) jantina;
  • (xii) alamat surat menyurat dan alamat tempat tinggal;
  • (xiii) tarikh, tempat dan masa masuk Islam;
  • (xiv) status perkahwinan;
  • (xv) bilangan tanggungan dan bilangan anak;
  • (xvi) pekerjaan orang yang masuk Islam;
  • (xvii) orang yang menguruskan pengislaman;
  • (xviii) nama penuh saksi dan alamat;
  • (xix) nombor kad pengenalan saksi;
  • (xx) maklumat keluarga terdekat Saudara Baru;
  • (xxi) nama dan tandatangan Pendaftar serta meterai pada setiap pendaftaran;
  • (xxii) gambar berukuran pasport;
  • (xxiii) tarikh kad masuk Islam dikeluarkan; dan
  • (xxiv) apa-apa butiran yang difikirkan perlu oleh Pendaftar Muallaf untuk direkodkan.


(f) Perakuan Masuk Islam

Seseorang yang telah didaftarkan sebagai seorang Saudara Baru hendaklah diberi suatu Perakuan Masuk Islam dengan menggunakan borang yang telah disediakan. Ianya bagi mengelakkan masalah-masalah yang mungkin berbangkit pada masa-masa akan datang. Seseorang Saudara Baru boleh mendapatkan suatu salinan Perakuan Masuk Islam dengan membuat permohonan dalam borang tertentu sekiranya berlaku kehilangan. Pendaftar Muallaf selepas berpuas hati, hendaklah mengeluarkan satu salinan Perakuan Masuk Islam kepada pemohon dengan serta merta.

(g) Permohonan Pindaan Butiran

  • (i) Seseorang Saudara Baru boleh memohon untuk meminda atau membetulkan apa-apa butiran berkenaan dengan dirinya dalam Perakuan Masuk Islam dengan menggunakan borang tertentu dan mengemukakan kepada Pendaftar Muallaf.
  • (ii) Pendaftar Muallaf, selepas berpuas hati, boleh membuat pindaan atau pembetulan ke atas butiran dalam Daftar Saudara Baru dan mengeluarkan suatu Perakuan Masuk Islam dengan butiran yang baru.


Kebajikan

15.Adalah menjadi tanggungjawab Majlis atau Jabatan Agama Islam untuk menyediakan peruntukan bantuan dan kebajikan kepada Saudara Baru mengikut peruntukan di bawah Asnaf Muallaf.

16.Seseorang Saudara Baru yang didaftarkan adalah layak untuk menerima bantuan sagu hati yang ditetapkan oleh Majlis atau Jabatan Agama Islam seperti berikut :

(a)Sagu hati memeluk Islam

(b)Berkhatan

(c)Kelengkapan Ibadah

(d)Urusan pengebumian


17.Namun Saudara Baru juga boleh memohon untuk mendapatkan bantuan yang ditetapkan oleh Majlis atau Jabatan Agama Islam seperti :

(a)Bantuan sara hidup

(b)Bantuan tempat tinggal

(c)Bantuan perubatan

(d)Bantuan perkahwinan

(e)Bantuan bagi apa-apa pendidikan atau pengajian yang difikirkan perlu oleh Majlis atau Jabatan Agama Islam termasuklah pengajian Islam, akademik dan kemahiran

(f)Bantuan guaman.


18. Majlis atau Jabatan Agama Islam boleh menurut budi bicaranya memberikan apa-apa bantuan lain yang difikirkan perlu.


Pengajaran, Bimbingan Dan Kursus

19. Kursus dan kelas pengajian Islam

Majlis atau Jabatan Agama Islam hendaklah mengadakan apa-apa kursus dan kelas pengajian yang sesuai untuk memberi pengetahuan dan meningkatkan kefahaman Islam kepada Saudara Baru. Seseorang Saudara Baru yang telah didaftarkan, hendaklah menghadiri kursus yang ditetapkan oleh Majlis atau Jabatan Agama Islam.

20.Pusat Bimbingan Islam

(a) Majlis atau Jabatan Agama Islam hendaklah menyediakan suatu pusat bimbingan Islam bagi tujuan pengajaran dan pemantauan aqidah seseorang Muallaf.

(b) Majlis atau Jabatan Agama Islam boleh melantik mana-mana orang yang berkelayakan untuk menjadi tenaga pengajar bagi mengendalikan kursus dan bimbingan kepada Saudara Baru.


Kesan Masuk Islam Bagi Saudara Baru

21.Seseorang Saudara Baru tidak akan terputus hubungan kekeluargaan dengan keluarga asal. Mereka boleh bergaul seperti biasa, cuma perlu menjaga perkara yang ada hubung kait dengan hukum-hakam yang telah ditetapkan dalam Islam.

22.Kesan kemasukan Islam oleh seseorang bukan Islam adalah seperti berikut:

(a)Status Perkahwinan

Apabila salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan bukan Islam memeluk Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuat kuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan sehingga ianya disahkan sedemikian oleh Mahkamah Sivil

(b)Hak Jagaan Anak (Hadhanah)

  • (i) Mana-mana ibu atau bapa atau penjaga yang masuk Islam dan mempunyai anak atau kanak-kanak dalam jagaannya yang belum mencapai umur lapan belas tahun, boleh membuat permohonan untuk mendaftarkan anak itu sebagai seorang Saudara Baru
  • (ii) Bagi maksud kaedah ini, “kanak-kanak dalam jagaan” ertinya kanak-kanak yang berumur bawah lapan belas tahun yang dijaga oleh seseorang selain daripada ibu atau bapanya.
  • (iii) Seseorang yang berumur di bawah lapan belas tahun yang mana ibu, bapa atau penjaganya bukan beragama Islam, setelah mendapat keizinan salah seorang dari mereka, hendaklah membuat permohonan masuk Islam dengan menggunakan borang tertentu.


Kematian

23.Urusan Pengebumian.

(a)Adalah menjadi fardhu kifayah kepada setiap orang Islam untuk menyempurnakan empat perkara ke atas jenazah orang Islam kecuali mati syahid iaitu;

  • (i) Memandikannya.
  • (ii) Mengkafankannya.
  • (iii) Menyembahyangkannya.
  • (iv) Mengebumikannya.


24. Hak Keluarga Asal

(a) Keluarga asal Saudara Baru yang bukan Islam adalah berhak ke atas jenazah Saudara Baru dalam memberikan penghormatan kepada jenazah dan juga perkara-perkara yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan. Mereka boleh melakukan semua perkara yang membawa kebaikan kecuali jika perkara itu bertentangan dengan hukum syarak yang telah ditetapkan di dalam Islam.

(b) Keluarga asal Saudara Baru yang bukan Islam dibenarkan memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Saudara Baru seperti mencium jenazah bagi ayah, ibu, datuk, nenek, adik-beradik, menziarahinya ataupun melakukan apa-apa bentuk penghormatan dengan menjaga adab-adab berikut;

  • (i) Tidak melakukan upacara keagamaan lain seperti membakar colok dan memukul gendang.
  • (ii) Tidak berlebih-lebihan dalam kesedihan dengan meratap.
  • (iii) Tidak memburuk-burukkan jenazah di hadapan orang ramai.
  • (iv) Tidak menampar-nampar pipi dan memukul badan.
  • (v) Tidak mengoyakkan baju.
  • (vi) Tidak membuat bising dan mengganggu pengurusan jenazah.
  • (vii) Tidak memakai pakaian yang menjolok mata.
  • (viii) Tidak melakukan apa-apa perkara yang bertentangan dengan Ajaran Islam.

25.Sembahyang Jenazah

Keluarga Asal Saudara Baru yang bukan Islam dilarang melakukan sembahyang mengikut upacara agama dan adat mereka di hadapan jenazah, akan tetapi mereka dibenarkan melihat jenazah disembahyangkan sekiranya tidak dibuat di dalam masjid. Jika diadakan solat jenazah di dalam masjid, mereka hanya dibenarkan melihat dari luar masjid sahaja.


26.Pengurusan Jenazah

(a)Tiada halangan bagi keluarga terdekat Saudara Baru yang bukan Islam untuk melihat jenazah Saudara Baru dimandikan dan dikafankan.

(b)Bagi jenazah saudara baru yang tidak mempunyai waris/tidak dituntut atau tidak mampu untuk diuruskan kerana sebab-sebab tertentu maka pihak Majlis atau Jabatan Agama Islam hendaklah menguruskan jenazah tersebut.

(c)Sekiranya berlaku pertikaian atau perebutan ter-hadap jenazah, Mahkamah Tinggi Syariah berhak memutuskan status jenazah Saudara Baru yang menjadi rebutan di antara Keluarga Asal yang bukan Islam dengan pihak Berkuasa Agama Islam Negeri. Pengurusan jenazah hendaklah disempurnakan mengikut keputusan yang diputuskan oleh pihak Mahkamah Tinggi Syariah.


27.Menziarahi Kubur

(a)Keluarga Asal Saudara Baru yang bukan Islam dibenarkan mengiringi jenazah Saudara Baru sehingga ke tanah perkuburan.

(b)Mereka juga dibenarkan melihat jenazah dikebumi-kan dan menziarahi kubur selepas kematiannya.

(c)Kedua-dua kebenaran itu adalah tertakluk kepada adab-adab seperti yang dinyatakan pada butiran 8.2 ( b ) mengenai penghormatan kepada jenazah Saudara Baru, di samping menjaga adab-adab ketika berada di tanah perkuburan Islam iaitu;

  • (i)    Menjaga kesopanan dengan tidak melangkah ke atas kubur yang sedia ada
  • (ii)   Tidak duduk di atas kubur orang lain
  • (iii)   Sentiasa menjaga kebersihan di kawasan perkuburan
  • (iv)  Tidak mengadakan upacara keagamaan masing-masing
  • (v)   Mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri

28. Tempat Pengebumian

Cadangan Keluarga Asal Saudara Baru yang bukan Islam boleh diambil kira dalam menentukan tempat pengebumian Saudara Baru dengan syarat mesti ditempatkan di kawasan perkuburan orang Islam.

29. Mengadakan Kenduri

Keluarga Asal Saudara Baru yang bukan Islam boleh mengadakan kenduri atau jamuan untuk orang Islam yang menguruskan jenazah Saudara Baru dengan syarat tidak bertujuan untuk upacara keagamaan ataupun lambang bagi agama dan dipastikan makanan dan minuman yang disediakan adalah halal.

30.Harta Pusaka

Keluarga Asal Saudara Baru yang bukan Islam tidak boleh diberikan sebarang harta pusaka yang ditinggalkan oleh Saudara Baru yang meninggal dunia.


31.Wang Kumpulan Simpanan Pekerja (K.W.S.P.)

Wang peninggalan K.W.S.P. si mati (Saudara Baru) mestilah dibahagikan mengikut bahagian harta pusaka. Ahli keluarga si mati yang bukan Islam adalah tidak layak mendapat bahagian harta tersebut. Ini berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang telah bersidang pada 10 September 2000.


32.Harta Sepencarian / Saham / Hutang

Harta sepencarian tidak termasuk dalam pembahagian harta pusaka, oleh itu harta tersebut boleh dibahagikan kepada keluarganya sama ada yang Islam ataupun tidak, berbeza dengan saham yang termasuk di dalam harta pusaka. Manakala hutangnya pula perlu ditolak daripada hartanya sebelum dibuat pembahagian harta pusaka.


34.Wang Ganjaran dan Pencen

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 12 September 1998 telah memutuskan bahawa wang ganjaran dan pencen tidak tergolong dalam pembahagian harta pusaka. Oleh itu wang tersebut boleh dibahagikan kepada keluarganya sama ada yang beragama Islam atau tidak.


35.Wang Insurans, SOCSO dan PERKESO

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia pada 19 September 2000 telah memutuskan bahawa wang insurans, SOCSO dan PERKESO bukan termasuk dalam pembahagian harta pusaka. Oleh itu wang tersebut boleh dibahagikan kepada keluarganya sama ada yang beragama Islam atau tidak.

36.Tuntutan Wang Ganjaran dan Pencen

Pemberian Wang Ganjaran Dan Pencen adalah terpulang kepada pihak Kerajaan atau Syarikat Swasta di mana Saudara Baru berkhidmat atau mencarum ketika hayatnya untuk diberikan kepada sesiapa waris yang berhak. Oleh itu wang tersebut boleh dibahagikan kepada keluarganya sama ada yang beragama Islam atau tidak.



PENUTUP

37.    Dengan mengikuti Garis Panduan Pengurusan Saudara Baru (Muallaf) ini diharapkan hak-hak dan kebajikan Saudara Baru dan juga ahli keluarganya akan terus terbela, di samping mengekalkan keharmonian agama serta kaum lain di Malaysia dan mengelakkan sebarang keresahan yang mungkin berlaku di negara ini.

Bahagian Penyelidikan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 20.2.2009
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger