Home » , » DI SEBALIK TABIR LAILATUL QADAR

DI SEBALIK TABIR LAILATUL QADAR

Written By amirulyaacob on Saturday, August 4, 2012 | 7:04 AM

Kerana Lailatul Qadar ini abstrak sifatnya, bersifat spiritual dan rohaniah serta tidak dapat dipastikan melalui kajian, maka timbullah pendapat yang berbagai-bagai mengenainya. Pelbagai cerita mitos terbit ketika Lailatul Qadar turun, seperti: air sungai berhenti mengalir, pohon-pohon serta tumbuhan tunduk tenang, alam raya kelihatan cerah dan sebagainya.

Justeru, mengenai Lailatul Qadar ini, maka eloklah kita dapatkan asas keyakinan dan pengesahannya di dalam al-Quran kerana sesungguhnya kitab suci ini adalah wadah paling layak diakui kebenarannya yang memberi tanda-tanda itu agar tidak terjadi penyelewengan dan menimbulkan cerita-cerita yang karut serta tidak masuk akal. Bagaimana sebenarnya al-Quran berbicara soal tanda-tanda Lailatul Qadar ini?

Menerusi ayat terakhir surah al-Qadr, Allah s.w.t menyebut tanda-tandanya “kedamaian atau kenikmatan hakiki (terjadi) pada malam itu hingga terbit fajar.” Jadi, jelas tandanya tidak bersifat lahiriah, kerana kedamaian itu adalah sesuatu yang dapat dirasakan. Hakikatnya, sesiapa yang mendapatkan atau memperoleh Lailatul Qadar, dia akan merasakan kedamaian atau ketenangan yang luar biasa dalam dirinya pada malam itu hingga terbit fajar. Justeru itu, di dalam surah al-Dukhan ayat 3, Lailatul Qadar disebut sebagai “Laylatun mubaarakah” kerana kedamaian hati yang bersumber terus daripada Allah adalah berkat yang paling tinggi. Ia bagaikan air dingin  bagi seorang musafir yang kehausan.

Al-Quran adalah sumber pengetahuan tertinggi dan kerananya kebenarannya tidak diragukan. Ia hanya dapat dicapai melalui darjat intelektual paling tinggi, iaitu intelek kenabian. Sekurang-kurangnya jika kita dapat sekadar percikannya sahaja pada malam Lailatul Qadar itu, bermakna mujahadah kita waktu itu sekurang-kurangnya berhasil menyentuh intelek kenabian. Dan itulah kenikmatan dan sekali gus berkat yang paling tinggi. Nilainya pasti lebih mulia daripada seribu bulan.

Inilah satu malam yang kedatangannya sangat dinantikan oleh umat Islam. Malam itu disebut dengan Lailatul Qadar, suatu malam yang dinilai oleh al-Quran sebagai malam yang penuh barakah dan malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Lailatul Qadar dimuliakan oleh umat Islam kerana pada malam tersebut turun rahmat dan kebaikan daripada Allah s.w.t kepada hamba-Nya. Pengalaman mendapatkan Lailatul Qadar merupakan pengalaman bersifat spiritual dan individual. Tidak semua orang mampu mendapatkan malam yang lebih baik daripada seribu malam ini. Ia tidak boleh dicapai begitu sahaja dengan hanya kehadiran kita pada malam-malam ganjil pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan kerana ‘perjumpaan’ dengan Lailatul Qadar merupakan puncak prestasi kerohanian setelah melakukan banyak kegiatan rohani pada bulan Ramadan.

Apa dan bagaimanakah malam Lailatul Qadar itu? Apakah ia terjadi sekali sahaja, yakni malam ketika turunnya al-Quran lima belas abad yang lalu, atau terjadi pada setiap bulan Ramadan, sepanjang masa. Ada pendapat sesetengah ulama bahawa Lailatul Qadar tidak hanya ada pada bulan Ramadan tetapi juga pada bulan Syaaban.

Menurut mereka, Lailatul Qadar turun pada malam nisfu Syaaban (pertengahan bulan Syaaban), malam yang juga biasa dirayakan oleh kebanyakan kaum Muslim di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, yang pasti ia harus diimani oleh setiap Muslim berdasarkan firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada  malam yang berkat dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan semua urusan yang penuh hikmah, iaitu urusan yang besar di sisi Kami.” (al-Dukhan: 3-5)

Daripada al-Quran kita menemukan penjelasan bahawa wahyu-wahyu Allah itu diturunkan pada malam Lalilatul Qadar. Akan tetapi kerana umat Islam mempercayai bahawa al-Quran telah sempurna dan tidak ada lagi wahyu setelah wafatnya Nabi Muhammad s.a.w, maka atas dasar logik, ada yang berpendapat bahawa malam mulia itu tidak akan hadir lagi. Kemuliaan yang diperoleh pada malam tersebut adalah kerana ia terpilih menjadi waktu turunnya al-Quran.

Pakar hadis, Ibnu Hajar menyebutkan satu riwayat daripada penganut fahaman di atas, beliau menyatakan bahawa Nabi s.a.w pernah bersabda bahawa malam Lailatul Qadar tidak akan datang lagi.

Pendapat tersebut ditolak oleh majoriti ulama kerana mereka berpegang pada teks ayat al-Quran serta sedemikian banyak teks hadis yang menunjukkan bahawa Lailatul Qadar terjadi pada setiap bulan Ramadan. Bahkan Rasulullah s.a.w menganjurkan umatnya untuk mempersiapkan jiwa menyambut malam mulia itu, secara khusus pada malam-malam ganjil setelah berlalu dua puluh Ramadan.

Suatu ketika Rasulullah s.a.w bersabda kepada umatnya yang sedang berkumpul di masjid menunggu Lailatul Qadar kerana Rasulullah s.a.w sendiri tidak pernah menjelaskan apa yang dimaksudkan Lailatul Qadar dan bila pula ia berlaku. Baginda bersabda yang bermaksud:  “Apa yang kamu tunggu-tunggu malam ini akan datang kerana aku telah melihat dalam rukyah bahawa akan berlaku hujan lebat, kemudian aku berlumuran lumpur dan basah kuyup oleh air.” Kemudian mereka yang berkumpul itu pun bersurai. Ternyata malam itu memang terjadi hujan lebat.

Justeru, ‘bangunan’ masjid pada zaman Nabi s.a.w diperbuat daripada daun atau pelepah kurma, maka air hujan mudah menitis masuk ke dalamk masjid yang berlantaikan tanah. Umat Islam yang ada pada saat kejadian tersebut melihat apa yang dikatakan Nabi s.a.w. Nabi s.a.w dengan muka yang basah kuyup dan badana yang berlumuran tanah liat. Lalu apa yang dimaksud dengan Lailatul Qadar itu oleh Nabi? Kerana Nabi mengatakan “itulah  yang kau tunggu-tunggu.”

Oleh hal yang demikian itu, Lailatul Qadar adalah persoalan rohani, maka tidak ada kata-kata yang padu dan tepat untuk menjelaskannya. Ia hanya dapat  diungkapkan melalui simbol-simbol atau metafora-metafora.

Di sinilah timbul masalah tafsir dan takwil di mana Nabi s.a.w dengan lumpur dan basah dengan air, sebenarnya adalah suatu peringatan kepada kita bahawa tingkat paling tinggi daripada pengalaman rohani itu ialah jika kita sudah kembali ke asal kita.

Dari mana kita berasal jika tidak dari tanah dan air. Allah s,w,t berfirman yang bermaksud:
”Yang membuat segala sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya dan yang memulai penciptaan manusia daripada tanah. Kemudian Dia menjadikan keturunannya daripada  titis air yang hina (air mani).” (as-Sajdah: 7-8)

Firman Allah s.w.t lagi yang bermaksud:
”Dan apakah manusia tidak memperhatikan bahawa Kami menciptakannya daripada setitik air (mani), maka tiba-tiba ia menjadi penentang yang nyata”. (Yaasin: 77)

Maka, dengan berlumuran lumpur dan basah kuyupnya oleh air itu, sebenarnya merupakan simbolisme: kita harus kembali menyedari siapa diri kita.

Kita harus menyedari siapakah kita di sisi Allah dan harus menjadi manusia yang berendah hati dan janganlah menjadi manusia yang takbur yang membuat pintu syurga tertutup rapat dan tidak dapat masuk ke dalamnya.

Ini semuanya mensyaratkan adanya kesedaran untuk kembali kepada Allah s.w.t. Pulang kepada Allah itu kemudian dimulai dengan pulang ke tanah. Jadi, yang dialami Nabi s.a.w ialah satu simbolisasi bahawa kita pun akan kembali ke tanah, juga kembali menjadi air.

Tidak ada kebahagiaan yang ingin dicapai melainkan kebahagiaan hakiki di sisi Allah s.w.t. Inilah yang kita cari dalam tahap rohani ibadah puasa ini yang kita alami melalui satu simbolisasi daripada Lailatul Qadar. Namun, semuanya memang harus dimulai dengan tanah dan air, dengan kata lain kesedaran tentang diri kita yang sesungguhnya.

Jika orang yang ikhlas ada tandanya, maka demikian juga orang yang mendapat Lailatul Qadar pasti ada tandanya juga. Pertama, apakah kita sudah semakin memahami maksud-maksud ayat suci Allah ketika membaca al-Quran? Kedua, apakah ibadat kita sudah lebih banyak, lebih baik, dan lebih nikmatnya? Ketiga, apakah kita melihat manusia sebagai satu kesatuan tanpa dipilih oleh mana-mana mahzab? Keempat, apakah kita sudah merasa jijik melakukan dosa dan maksiat? Kelima, apakah kita bersedia berlapang dada memaafkan seteru kita? Keenam, jika kita berada dalam kesibukan tetapi banyak melakukan amal ibadah dan zikir dengan tidak mempunyai apa-apa yang harus dibanggakan di hadapan Allah? Ini semua bererti kemungkinan besar kita berhasil mendapat curahan berkat-Nya melalui Lailatul Qadar.

Oleh ABU HATIM
ummatanwasatan.net
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger