Home » » SYEIKH UTHMAN JALALUDDIN AL-KALANTANI

SYEIKH UTHMAN JALALUDDIN AL-KALANTANI

Written By amirulyaacob on Tuesday, July 10, 2012 | 1:51 AM

Syeikh Uthman Jalaluddin
Tasawwuf ialah salah satu cabang ilmu dalam Islam. Ia perlu dipelajari dengan teliti dan berhemah. Memahami ilmu tasawwuf sangat berguna untuk kita mendekatkan diri dengan Allah. Pemahaman terhadapnya adalah penting untuk mengelak dari bersikap melampau mengenai sesuatu perkara.

Syeikh Uthman Jalaluddin al-Kalantani, adalah seorang ulama yang sering kali menegur mereka yang mempelajari ilmu tasawwuf supaya berhati-hati dan tidak bersikap melampau-lampau dalam sesuatu perkara.

Sesetengahnya tanpa ilmu pengetahuan yang cukup menunjukkan sikap yang melampau apabila membincangkan perkara-perkara ghaib berkaitan hubungan manusia dan Tuhan.

Beliau juga mengingatkan umat Islam agar berhati-hati dengan segelintir ajaran tasawwuf dalam bukunya yang berjudul Misbah al-Hanan wa Miftah al-Jinan.

Syeikh Uthman Jalaluddin dilahirkan di Kampung Panjang, daerah Sering, Kota Bharu kira-kira tahun 1880 Masihi bersamaan tahun 1297 Hijrah. Syeikh Uthman berhasrat untuk melanjutkan pelajarannya ke Mekah.

Bagi membiayaan pembelanjaan ke Mekah, bapanya menjual hasil padi dan beberapa ekor kerbau. Setelah mendapat keizinan daripada gurunya, iaitu Mufti Haji Wan Muhammad, beliau belayar ke Mekah.

Beliau mempelajari ilmu fekah daripada Syeikh Said Yamani (Mufti Mazhab Syafie di Mekah). Kepada Syeikh Mukhtar Atarid al-Jawi, beliau belajar kitab Mahalli. Berkat kesungguhan dan doanya kepada Allah, beliau menjadi seorang ulama yang diberikan tugas mengajar di Masjidil Haram di Qasyasyiah dan Suqullail.

Selain daripada mengajar, Syeikh Uthman juga seorang penulis yang baik. Beliau telah menghasilkan beberapa buku mengenai syariat dan pemikiran Islam. Melalui tulisannya, beliau sering mempertahankan ajaran Islam daripada disaluti oleh perkara khurafat yang menjadi kepercayaan orang Melayu, bukan sahaja pada ketika itu tetapi hingga ke hari ini.

Antara kitab karangan beliau ialah, Mir’at a:Iman wa Mirqat al-Ghilman (Cermin bagi Iman dan Tangga bagi Kanak-Kanak), Misbah al-Hanan wa Miftah al-Jinan (Pelita bagi Hati dan Anak Kunci bagi Syurga), Siraj al-Islam wa Taj al-Ghulam (Pelita bagi Islam dan Mahkota bagi Kanak-Kanak) dan banyak lagi.

Menurut salah seorang muridnya, Haji Yusuf Haji Said, bahawa Syeikh Uthman adalah seorang yang warak dan suka solat berjemaah. Bagaimanapun setiap kali solat berjemaah, beliau sering menyuruh anak muridnya menjadi imam sedangkan beliau sendiri menjadi makmun.

Setiap kali tibanya malam Jumaat, aktivitinya semalaman dipenuhi dengan solat, doa dan zikir. Beliau juga gemar bertahajjud dan mengamalkan solat sunat Duha.

Beliau juga meninggalkan pesan kepada anak muridnya dan umat Islam agar beramal dengan ilmu yang ada kerana dunia semakin hampir kepada kemusnahannya (kiamat).

Beliau berpendapat sikap zuhud itu bukan bermakna meninggalkan dunia secara keseluruhannya dan hidup dalam keadaan fakir dan miskin. Katanya, konsep zuhud itu ialah tidak bergantung hatinya dengan harta biar banyak mana sekalipun harta itu. Tetapi bersikap zuhud itu bukanlah bermakna tidak mempunyai harta, meninggalkan pekerjaan dan perniagaan dan juga lain-lain.

Dalam usia 72 tahun, pada Subuh 30 Zulhijah 1371 bersamaan 9 September 1952, beliau pulang ke rahmatullah ketika berada di tanah suci Mekah. Jenazah Syeikh Uthman dimakamkan di Haudh al-Naqsyabandi, berhampiran dengan makam gurunya, Syeikh Muhammad Mukhtar Atarid.

Susunan WARDAH SURAYA AHMAD
ummatanwasatan.net
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger