Home » » NILAI TAKWA DI SEBALIK RAMADHAN

NILAI TAKWA DI SEBALIK RAMADHAN

Written By amirulyaacob on Thursday, July 26, 2012 | 12:45 AM


Puasa yang kita sedang kita jalani ketika ini sebagai salah satu Rukun Islam, bertujuan agar kita bertakwa kepada Allah s.w.t. Sebagai seorang Muslim, kita wajib menerima dan menyambutnya dengan rasa penuh kesyukuran.

Dalam beberapa hadis ditegaskan bahawa puasa adalah suatu ibadah yang sangat peribadi. Dalam satu hadis kudsi, Nabi s.a.w bersabda: “Daripada Abu Shalih Az-Zayyat, ia mendengar Abu Hurairah berkata, Rasulullah bersabda, Allah berfirman, “Setiap amal anak Adam bagi dirinya, kecuali puasa; puasa itu untuk-Ku dan Akulah yang menanggung pahalanya.” (Riwayat Bukhari)

Jadi, semua perbuatan umat manusia itu untuk dirinya sendiri kecuali puasa. Ini kerana puasa merupakan ibadah yang sangat peribadi dan tidak ada yang tahu apakah kita berpuasa atau tidak kecuali kita sendiri dan Allah s.w.t. Kalau orang solat, maka perbuatan itu dapat diketahui orang. Begitu juga dengan zakat dan haji.

Justeru, ketika kita berpuasa kemudian kita merasa sangat haus dan dahaga dan tiba-tiba tersedia pula dihadapan kita segala jenis minuman atau makanan, tetapi kita dapat menahannya. Ini merupakan satu latihan untuk menyedari tentang kehadiran Allah s.w.t dalam kehidupan kita. Kita tidak akan minum padahal kita sendirian, kerana kita meyakini bahawa Allah s.w.t mengawasi dan menuntut pertanggungjawaban kita.

Puasa dengan ajaran takwanya sesungguhnya melatih kita untuk jujur kepada diri sendiri. Jujur kepada Allah s.w.t bererti jujur kepada diri sendiri. Jika kita menyedari adanya Tuhan, dan menyedari hadirnya Tuhan dalam hidup, maka akan menimbulkan sikap jujur kepada diri sendiri, selanjutnya kepada orang lain. Bersikap suci kepada diri sendiri akan berimplikasi pada bersikap suci kepada orang lain. Manusia itu suci, kerana itu, harus bersikap suci kepada manusia yang lain.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.” (al-Baqarah: 183)

Dalam pengertian yang mudah, dikatakan kalau kita tidak bertakwa, maka seluruh ibadah puasa yang kita lakukan selama sebulan sebenarnya adalah sia-sia sahaja.

Dalam mengerjakan ibadah puasa, umat Islam harus berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai tingkat ketakwaan. Takwa merupakan satu cara atau pola dalam menempuh kehidupan menerusi tingkah laku yang berasaskan kesedaran bahawa Allah itu sentiasa hadir di sisi kita. Ibadah puasa bukan setakat menahan makan dan minumsahaja, tetapi pemahaman tentang apa yang harus kita tahan itu lebih daripada sekadar berpuasa secara fizikal bahkan juga menahan nafsu (batiniah) itu lebih utama serta berupaya meningkatkan lagi tahap puasa seseorang itu.

Dalam masa sebulan berpuasa ini, kita seharusnya bermujahadah bersungguh-sungguh dengan menahan nafsu daripada melakukan perkara-perkara keji seperti mengumpat, buruk sangka, bergaduh, memutuskan hubungan silaturrahim dan melakukan perkara-perkara maksiat yang lain. Jika tidak, puasanya itu akan sia-sia belaka. Sifat prasangka buruk merupakan kategori daripada perbuatan zalim. Selalunya orang yang mempunyai sifat buruk sangka sesama Muslim adalah mereka yang kurang melakukan introspeksi diri, hanya melihat diri sendiri lebih baik daripada orang lain.

Oleh hal yang demikian itu, Nabi s.a.w menganjurkan kepada semua manusia, terutama orang yang sedang berpuasa agar banyak melakukan introspeksi diri sebagaimana sabda baginda yang bermaksud; Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan introspeksi diri, maka akan diampuni dosanya yang telah lalu.

Berhubung aspek sosial, orang lebih senang melakukan penilaian terhadap orang lain daripada melakukan hal yang sama terhadap dirinya. Perkara ini berlaku disebabkan seseorang itu `ditagih’ untuk bersikap tulus jujur dan rendah hati untuk menilai dan melihat diri sendiri. Disebabkan lemah menilai diri sendiri, maka seseorang itu sering memandang dirinya lebih suci dan bersih daripada orang lain.

Menahan nafsu inilah yang perlu kita pertahankan sehingga sampai kepada sepuluh hari terakhir di mana waktu itu ibadah puasa lebih bersifat rabbani.

Dalam fasa ketiga ini kita akan mengalami puncak pengalaman kita dalam keadaan berpuasa iaitu berusaha memperoleh lailatulqadar. Untuk mencapainya kita harus memulai dari sekarang dengan memahami hal-hal berkaitan amalan berpuasa.

Puasa kemudiannya bukan sahaja menjadi etika individu, tetapi juga menjadi etika sosial dan gerakan moral yang efektif dalam menangani pelbagai masalah sosial seperti kemiskinan, jenayah, rasuah, dan sebagainya.

Sayyid Quthb pernah berkata, “Puasa adalah ladang tempat terciptanya niat kepada Tuhan yang sempurna dan kepasrahan diri.” Sifat perhambaan ini akan membuat manusia menjadi abdi Allah, yang bersedia untuk melakukan apa sahaja yang disenangi Allah s.w.t. Melalui puasa seseorang akan merasakan penderitaan orang yang lapar kerana serba kekurangan sehingga hatinya akan tergerak untuk memberi kelebihan yang dimilikinya kepada orang lain yang kurang bernasib baik.

Bersyukurlah kerana kita telah dipilih-Nya untuk sama-sama `meraikan’ kehadiran Ramadan yang terkandung rahmat-Nya yang tidak terhitung.

*  Artikel ihsan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger