Home » » KISAH JANGGUT NABI HARUN BERWARNA DUA

KISAH JANGGUT NABI HARUN BERWARNA DUA

Written By amirulyaacob on Saturday, July 28, 2012 | 12:16 AM

 Sudah puas diusahakan, tetapi kuda itu tetap tidak mahu berganjak. Hujung kakinya yang terbenam sedikit di dalam pasir itu menghalang kuda tersebut dari terus bergerak. Nabi Musa cuba menarik kaki yang tersepit itu tetapi tidak juga berhasil. Kesudahannya, perjalanan mereka merentasi Laut Merah itu terhenti seketika. Mukjizatnya yang dapat mengeringkan laluan di tengah-tengah Laut Merah itu nampaknya masih belum cukup.

Setelah agak lama berusaha, Nabi Musa pun bermunajat. Tidak lama kemudian, datanglah malaikat Jibril yang diutuskan oleh ALLAH menunggang kuda betina. Malaikat itu lalu dan singgah betul-betul di hadapan Nabi Musa yang ketika itu di atas kudanya. Sebaik saja melihat kuda betina yang merupakan lawan sejenisnya, kuda Nabi Musa terus bangkit melepaskan kakinya yang tersepit.

Tanpa disedari, peristiwa ajaib itu disaksikan oleh Samiri, salah seorang ahli rombongan Nabi Musa. Samiri lantas mengambil segenggam pasir bekas tapak kaki kuda yang ditunggangi oleh Jibril dan menyimpannya sebagai azimat. Jauh di sudut hati lelaki itu, ada niat jahat yang ingin direncanakan. Sementara itu, perjalanan Nabi Musa dan pengikutnya dapat diteruskan sehingga melepasi Laut Merah yang kemudiannya bercantum menjadi lautan semula.

Waktu terus berlalu sehinggalah ALLAH SWT memerintahkan kepada Nabi Musa supaya pergi ke Bukit Sina untuk menerima wahyu. Pemergian itu akan mengambil masa selama 40 hari 40 malam. Sebelum pemergiannya, Nabi Musa telah memberikan segala tugas dan amanat kepada saudaranya, Nabi Harun. Dia meninggalkan pesan agar Nabi Harun dapat memimpin dan menjaga kaumnya selama dia tiada.

Pemergian Nabi Musa itu rupa-rupanya sangat dinanti oleh seorang musuh dalam selimut iaitu Samiri. Apabila tiba masa yang sesuai, Samiri keluar dan membuat patung seekor lembu daripada emas tulen. Patung itu diukir dengan begitu teliti sekali sehinggalah ia siap sepenuhnya. Kemudian, patung itu diisi dengan tanah pasir yang diambil dari bekas tapak kaki kuda Jibril.

Dalam waktu yang singkat, patung lembu itu dapat mengeluarkan suara. Samiri bersorak-sorak gembira. Usaha pertamanya berhasil! Masih ada perkara lain yang perlu dilakukannya. Dalam waktu yang singkat sahaja, berita patung lembu emas ajaib itu dihebahkan penduduk setempat. Mereka datang beramai-ramai untuk melihat apakah ia benar.

Ketika itulah Samiri mula menjalankan rancangannya. Dia mencanangkan kepada semua tentang keajaiban patung lembu emas itu dan mengajak mereka menyembah patung yang menakjubkan itu.

Penduduk yang taksub terus menyembah patung itu sambil mengelilinginya. Mereka pulang dan kembali semula dengan membawa pelbagai persembahan untuk ‘tuhan baru’ mereka itu. Sudah jelas mereka telah kembali kepada kesesatan menyembah berhala semula.

Sementara itu, Nabi Harun yang mendapat tahu khabar itu segera memberitahu kaumnya. Dia datang dan menasihat kaumnya agar tidak terpedaya dengan patung lembu emas itu. Apatah lagi jangan sekali-kali menggadai keimanan dan Islam yang pernah mereka anuti.

Namun, ajakan dan teguran Nabi Harun tidak diterima. Malahan, lebih teruk, Nabi Harun diugut untuk dibunuh jika terus menghalang perbuatan mereka menyembah patung lembu itu. Sudah habislah ikhtiar dan usaha Nabi Harun. Sungguh, umatnya sudah syirik dan berpaling dari ajaran ALLAH SWT.

40 hari telah berlalu. Nabi Musa pun turun dari Bukit Sina. Di pertengahan jalan, dia melihat orang ramai berkerumun seolah-olah ada pesta. Nabi Musa kehairanan. Apakah yang sedang mereka lakukan?

Sebaik saja sampai di tempat itu, Nabi Musa merasa terkejut yang amat sangat. Rupa-rupanya penduduk kota itu sedang menyembah patung lembu emas. Anehnya, patung itu dapat pula mengeluarkan suara!

Dengan marah yang tidak dapat dikawal, Nabi Musa bertemu dengan Nabi Harun. Nabi Musa berpendapat Nabi Harun harus dipersalahkan dalam hal ini. Mengapa Nabi Harun hanya membiarkan umatnya terus sesat? Bukankah segalanya sudah dipesan?

Kerana dipengaruhi rasa marah, Nabi Musa telah menarik janggut Nabi Harun. Ini menyebabkan janggut yang dipegang Nabi Musa telah bertukar menjadi putih manakala janggut yang tidak terkena tangan Nabi Musa kekal berwarna hitam. Sejak itulah, janggut Nabi Harun mempunyai dua warna iaitu putih dan hitam.
Share this article :

+ comments + 1 comments

Anonymous
October 13, 2014 at 4:53 PM

Cerita dari Al-Quran?

Post a Comment
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger