Home » » KETURUNAN BUKAN PENJAMIN SYURGA..

KETURUNAN BUKAN PENJAMIN SYURGA..

Written By amirulyaacob on Tuesday, July 24, 2012 | 2:53 AM

 Tangisan lelaki itu meruntun jiwa sesiapa yang mendengarnya. Sedu sedannya berselang seli dengan doa yang tidak putus-putus kepada ALLAH SWT.  Khusyuk sekali lelaki itu merayu-rayu kepada Ya-Rabb sehingga tidak sedar orang yang lalu lalang berhampiran dengannya. Siapakah dia?

Imam Thawus Al-Yamani mengisahkan bicaranya mengenai lelaki ini.

“Ku lihat seorang lelaki sedang khusyuk menunaikan solat. Setelah itu, dia berdoa dengan bersungguh-sungguh. Ku amati wajahnya dekat-dekat. Ya! Dia tak lain tak bukan Ali Zainal Abidin, putera kepada Hussein bin Abi Thalib. Dialah cicit kepada Rasulullah SAW. Bermakna, dialah penyambung generasi lelaki mulia.

Aneh sekali. Mengapa dia bersusah payah beribadah dan berdoa sehingga wajahnya basah dengan air mata? Bukankah dia boleh mendapatkan syafaat datuknya, Rasulullah di akhirat kelak? Jadi, mengapa gentar….”


Setelah memberi salam, Imam Thawus Al-Yamani bertanya kepada Ali Zainal Abidin, “ Wahai cicit Rasulullah yang mulia, aku lihat kamu dalam keadaan sedih sebegini. Padahal, semua orang tahu kau mendapat tiga kelebihan yang tidak mungkin didapati oleh mana-mana manusia di muka bumi ini selainmu.

Pertama, kau adalah cicit Rasulullah SAW. Kedua, kau boleh mendapatkan syafaat datukmu di akhirat kelak dan ketiga, rahmat ALLAH SWT sentiasa menaungi keluargamu dari dahulu sehingga kini.”


Kemudian, Ali Zainal Abidin menjawab dengan tenang, “ Wahai Thawus, keturunanku dan darjatku sebagai cicit Rasulullah SAW bukanlah penjamin segalanya. Aku  tetap takut dan gentar mendengar peringatan ALLAH SWT  yang bermaksud,

“Apabila sangkakala ditiup, maka tidaklah ada lagi pertalian nasab di antara mereka pada hari itu.”


Sedangkan syafaat datukku, itu  masih belum pasti dapat menjadi pelindungku. Aku mendengar firman ALLAH SWT yang bermaksud,

“ Dan mereka tidak memberi syafaat melainkan kepada orang-orang yang diredhai ALLAH.”

Sesungguhnya, ALLAH memberikan rahmatnya kepada kaum muslimin yang berbuat kebajikan. Sedangkan sampai hari ini, aku tidak tahu adakah aku termasuk ke dalam golongan rahmat itu ataupun tidak.”

Buat seketika, Imam Thawus Al- Yamani terdiam. Memang benar kata Ali Zainal Abidin. Tetapi dialah lelaki bertaqwa yang saban hari solat di Masjidil Haram. Sesungguhnya, urusan syurga dan neraka hanyalah di tangan ALLAH SWT.

Justeru, jika cicit Rasulullah sendiri merasa takut dengan nasibnya di akhirat, bagaimana pula dengan kita yang hanya diakui sebagai umat Muhammad?
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger