Home » » ULAMA TANAH BERADAT

ULAMA TANAH BERADAT

Written By amirulyaacob on Wednesday, May 16, 2012 | 11:56 PM

Dato’ Haji Abdullah
 Tokoh ini dikatakan lahir pada tahun 1914 meskipun catatan pada sijil kelahirannya ialah 16 Februari 1915.

Bapa Haji Abdullah ialah  Haji Sijang bin Kulub dan ibunya Rahmah binti Mohd Noh. Mereka mempunyai empat orang anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan. Zaman kanak-kanaknya, Dato’ Haji Abdullah dikatakan seorang yang pintar dan terang hati. Mula mengaji al Quran pada usia 5 tahun daripada bapa saudara sebelah ibunya iaitu Haji Yaakub Mohd Noh dan Haji Husin Maksum. Beliau berjaya khatam al-Quran pada usia lapan tahun sahaja.

Pendidikan formal pula, beliau bersekolah di Sekolah Melayu Rantau hingga darjah lima. Kemudian melanjutkan pengajian agama secara memondok di Pondok Darul Wataniah di Kepala Batas dalam tahun 1929 bawah bimbingan Tuan Guru Haji Abdullah Haji Fahim. Di sana, beliau mendalami ilmu dalam bidang feqah, tauhid, al Quran, ulum syariah, sejarah, akhlak, falak dan lain-lain lagi.

Tahun 1931, Haji Abdullah mengikuti tuan gurunya Haji Abdullah Fahim yang dilantik sebagai mudir Madrasah Idrisiah Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Kemudian ke Beranang, Selangor berguru pula dengan Tuan Haji Shamsudin Haji Isa.

Setelah tamat pengajian di pondok itu, beliau balik ke kampung di Kanchung, Rantau ketika usia mencapai 17 tahun. Dengan keilmuan agama yang ada, anak remaja ini dilantik sebagai bilal muda dan menjadi siak masjid. Sikap dan akhlak terpuji itu menjadi buah mulut orang. Beliau dikatakan seorang yang bertanggungjawab dan suka berdikari. Membantu keluarga dengan menoreh getah dan membuat kerja-kerja kampung.

Dinyatakan ketika gerakan kesedaran anak watan untuk memajukan bangsa dan tanah air seperti munculnya Pergerakan Melayu Muda (KMM) serta kegigihan mantan guru kesayangannya, Sheikh Abdullah Fahim telah mendorong Haji Abdullah untuk meningkatkan ilmu di dada dan berbakti kepada agama, nusa dan bangsanya sendiri. Mungkin kerana itulah, beliau kembali menyambung pengajian agama di Pondok Pasir Mas, Kelantan pula selama tiga tahun. Akhirnya, cita-citanya untuk melanjutkan pelajaran di Mekah menjadi kenyataan pada tahun 1937. Di sana beliau mengaji hingga peringkat tinggi di Madrasah Solatiah.

Haji Abdullah Sijang berada di Tanah Suci mendalami ilmu agama selama lebih kurang 13 tahun lamanya. Tempoh yang kira panjang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh beliau. Beliau tidak mengabaikan harapan keluarganya yang menghantar anaknya hanya bekalan tambang semata-mata.

Di sana jugalah, Dato’ Haji Abdullah mendalami Tarekat Ahmadiah daripada Tuan Guru Mohd Syafie bin Mohd Salleh bin Abdul Rahman. Tuan guru itu adalah ulama tasawuf yang mengajar di Kota Mekah. Guru ini menerima ijazah tarekat dari Sayid Ibrahim al Rashid yang sezaman dengan Tuan Tabal dan Syeikh Mohd Said al-Linggi yang juga menjadi muridnya.

Tuan Guru Mohd Syafie kesayangannya ini berasal dari Kedah. Beliau dikatakan ahli sufi aliran tasawwuf akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20. Beliau meninggal dunia di Mekah dalam tahun 1950. Sepanjang hidupnya, beliau dikatakan seorang sufi yang masyhur dan memiliki pelbagai keajaiban dengan izin Allah. Apabila mengajar dan memberi bayangan sesuatu perkara, maka murid-murid seolah-olah merasakan kenikmatan, kegerunan dan merasai apa yang dikatakannya.

Oleh kerana itu, tidak mustahillah kesan dari asuhan dan pendidikan gurunya itu telah mencerna hati Haji Abdullah. Beliau amat teliti, tegas dan memiliki jiwa yang baik.

Sekembalinya dari Mekah pada April 1948, ibu bapanya menjodohkan anak muda ini dengan calon pilihan keluarga iaitu Hajah Siti Tijah binti Sani. Usia Haji Abdullah ketika itu sudah menjangkau 31 tahun lantaran lamanya mengaji di perantauan. Isterinya pula baru berusia 13 tahun.

Usia berkahwin begini bukanlah suatu keganjilan ketika dahulu dan keluarga yang bermenantu orang alim sangat dihormati. Apatah lagi bila menjadi payung negeri tempat orang menumpang berkat ilmu. Hasil perkahwinan itu mereka dianugerahkan 3 orang cahaya mata iaitu Latifah Haji Abdullah, Abdul Wahid dan Mohd Fauzi Abdullah. Keluarganya ini kini menetap di perkarangan Masjid Jamek Port Dickson.

Dato’ Haji Abdullah amat mengambil berat tentang pendidikan agama anak-anaknya. Beliau membuat peraturan supaya anak-anaknya wajib khatam al Quran sebelum usia baligh. Namun, dalam menentukan kerjaya anak-anak, beliau dikatakan liberal pula.

Dato’ Haji Abdullah mula berkhidmat secara formal pada Jun 1949 setelah dilantik menjadi Naib Kadi kawasan Pantai. Jawatan itu dikatakan telah ditawarkan oleh mufti kerajaan waktu itu Syeikh Ahmad Mohd Said. Setelah dipujuk beberapa kali barulah beliau menerimanya lantaran kerana zuhud beliau untuk menerima tanggungjawab yang dianggap berat itu. Tahun 1957, beliau dilantik pula menjadi kadi Port Dickson.

Peringkat awalnya, beliau menerima gaji sebanyak RM160.00 sebulan dan gaji maksimum pada akhir perkhidmatan hanyalah sebanyak RM425.00 dan pencen bulanan ialah RM270.00 sahaja. Di daerah Port Dickson, beliau berkhidmat hingga bersara wajib 1970 dan disambung kontrak perkhidmatan sehingga tahun 1979. Tahun 1980, Dato’ Haji Abdullah dilantik sebagai jawatankuasa syariah negeri hingga tahun 2003. Dato’ Haji Abdullah kembali ke rahmatullah  pada 25 Mei 2003 jam 3.55 petang dalam usia 89 tahun di Hospital Daerah Port Dickson.

Dato’ Haji Abdullah Sijang ini dianggap tokoh yang banyak berjasa meninggikan syiar Islam di negeri ini. Selain bertugas sebagai kadi, beliau juga bertanggungjawab dalam merangka sebuah organisasi besar yang kini dikenali Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

Sebagai pemimpin agama dan tugas kadi, Dato’ Haji Abdullah pernah melalui berbagai mehnah perjuangan untuk mentarbatkan kesucian agama. Beliau sangat berani dan bersikap berterus terang tanpa memilih bulu. Yang batil tetapi disanggah dan beliau sanggup pula turun membimbing ummah yang dahagakan panduan agama. Beliau memahami usaha murni ini memerlukan pengorbanan besar kerana rata-rata masyarakat Islam peringkat awalnya berada dalam serba kedhaifan.

Budaya bangsa kita sebelum merdeka dan beberapa dekad selepasnya, masih tidak lekang oleh unsur-unsur kekurafatan dan amalan adat yang dianggap ibadat. Penjajahan salih berganti, faktor pembangunan tidak seimbang setiap tempat dan pendidikan agama yang masih lemah adalah punca permasalahan. Jesteru itu, kebangkitan para alim ulama untuk membimbing masyarakat amat dihargai dan sungguh berjasa. Beberapa amalan karut-marut terdahulu terdahulu telah menjadi sejarah lama ekoran dari penggembelingan semua pihak yang prihatin untuk ‘amal maaruf dan mencegah kemungkaran’.

Saya tertarik dengan bahasan dalam buku bibliografi Dato’ Haji Abdullah ini mengenai masalah amalan dan ajaran sesat yang turut ditangani oleh Allahyarham sepanjang karier hidupnya. Banyak kepercayaan sesat dicatatkan antaranya amalan bersaka, sihir, mandi safar, pembomohan, amalan pemujaan , mempercayai semangat, ajaran sesat melalui aliran beragama dan ilmu bela diri. Walaupun masih ada amalan ini diamalkan sehingga kini tetapi pemantauan pihak berwajib tetap diteruskan.

Menyanggah kebatilan yang telah berakar umbi dalam budaya masyarakat adalah berat dan memerlukan komitmen yang tinggi. Bagi saya, tahap pendidikan agama sejak awal lagi dan kesedaran pihak kerajaan untuk membenteras gejala sesat sangat-sangat perlu. Malang sekali, kalau pihak berwajib agama tidak mendapat sokongan padu dari pihak kerajaan memerintah. Tanpa ketegasan dan kesedaran kerajaan, gejala-gejala mungkar secara tradisi ini tidak dapat dibasmi sepenuhnya. Kadang-kadang kita menjadi keliru apabila fahaman-fahaman sesat itu sendiri dianuti oleh pihak berwajib.

Misalnya, sejauh mana pihak berkuasa agama dan ketegasan cerdik pandai Islam berani menyanggah anutan sesat fahaman-fahaman baru atau yang dikenali ‘isme-isme’ yang telah diserasikan dalam amalan moden ini. Fahaman kebangsaan atau nasionalisme, sekularisme, liberalisme, politik suku-agama suku dan berbagai-bagai lagi. Ada ulama mengatakan “haram” atas fahaman baru itu tetapi apabila penganutnya adalah para pemerintah lalu semacam ada kelonggaran pula. Mungkinkah sikap ‘beralah’ dengan pemerintah telah diwarisi sejak Kesultanan Melayu Melaka dahulu. Keislaman rakyat mengikut agama raja tetapi budaya animisme, pengaruh hindu dan tidak mengamalkan Islam secara syumul terus diamalkan.

Bagaimana gejala mungkar itu boleh dibasmi jika perlembagaan atau amalan tidak Islamik itu terus dijadikan saka oleh golongan pemerintah? Isu ini memang sensitif tetapi kebangunan minda waras cerdik pandai agama amat perlu. Kita berbangga bagaimana keberanian dan ketegasan Dato’ Haji Abdullah Haji Sijang ini ketika menyanggah amalan silat kebatinan Nasrul Haq awal tahun 1970-an dahulu. Walaupun, pengasas silat ini Tan Sri Samad Idris seorang tokoh politik, dan menteri kabinet, tidak menghalang Dato’ Haji Abdullah untuk menghantar surat khas kepada Tan Sri Samad Idris. Secara tegas beliau mendakwa amalan itu adalah sesat dan haram. Atas desakan golongan ulama, akhirnya majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa Nasrul Haq itu diharamkan.

Susunan NUR HIDAYAH ABDULLAH
ummatanwasatan.net
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger