Home » » MASJIDIL HARAM

MASJIDIL HARAM

Written By lurim on Friday, April 20, 2012 | 10:16 PM

Masjidil Haram merupakan masjid tertua di dunia. Dalam bahasa Arab, Masjidil Haram bererti masjid yang dihormati atau dimuliakan. Masjidil Haram terletak di tengah-tengah kota Mekah. Sejak tahun ke-8 kerasulan Nabi Muhammad s.a.w, baginda menjadikan Masjidil Haram sebagai tempat ibadah umat Islam. Oleh hal yang demikian itu, masjid ini menjadi tumpuan umat Islam dari berbagai-bagai penjuru dunia untuk melakukan ibadah haji, umrah, solat dan menuntut ilmu. Mereka datang daripada pelbagai mazhab.

Di tengah-tengah Masjidil Haram terletaknya Kaabah. Bangunan terpenting dalam Masjidil Haram adalah Kaabah, yang berbentuk kiub dan disebut juga Baitullah (Rumah Allah), Baitulatiq (Rumah Kuno), dan Baitulharam (Rumah Suci). Di dalam masjid ini juga terdapat makam Ibrahim (bekas tapak kaki Nabi Ibrahim a.s pada batu ketika membina atau mendirikan Kaabah), Hajar Aswad (batu hitam), dan telaga zamzam.

Masjidil Haram – sebuah kompleks bangunan yang berbentuk empat persegi yang mengelilingi Kaabah. Masjid ini terletak di atas tanah empat segi di tengah-tengah kota Mekah. Keadaan Masjidil Haram pada masa Nabi s.a.w dan Saidina Abu Bakar tidaklah seluas sekarang. Pada zaman Saidina Umar dan Uthman, masjid ini diperluaskan dan dibina dinding di sekelilingnya. Kerja-kerja pembaikan terus dilakukan sehingga pemerintahan Umaiyah. Usaha untuk memperindahkan bangunan ini secara besar-besaran dilakukan pada zaman Kerajaan Abasiyah. Ketika Sultan Salim II (1566-1574 M) daripada kerajaan Uthmaniah memerintah, baginda beberapa kali memperbaiki dan menambah bangunan berupa atap kecil. Kerana tuntutan zaman dan perkembangan umat Islam, Masjidil Haram hingga kini terus menerus diperluas dan diperindah oleh pemerintahan kerajaan Arab Saudi.

Di sekeliling masjid ini terdapat tujuh buah menara yang menjulang tinggi. Ketujuh-tujuh menara itu masing-masing mempunyai nama trendier iaitu: Bab al-Umrah, Bab al-Hazurah, Bab as-Salam, Bab az-Ziadah, Bab al-Ali, Sulaimaniah, dan Kait Bai. Menara-menara ini turut menjadi model masjid di seluruh dunia.

Masjidil Haram memiliki keutamaan yang tersendiri bagi umat Islam. Hal ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: “Janganlah memberatkan untuk mengadakan perjalanan kecuali ke tiga masjid: Masjidil Haram, masjidku (Masjid Nabawi di Madinah), dan Masjidil Aqsa. Solat di Masjidil Haram lebih utama daripada seratus ribu kali solat di masjid lain kecuali di Masjidil Aqsa.” (Riwayat ad-Darimi, an-Nasai’ dan Ahmad)

Telaga zamzam terletak di bahagian tenggara Kaabah dengan kedalaman 140 kaki. Telaga ini juga disebut Telaga Ismail. Pada masa Abdul Mutalib sebagai pembesar Mekah, telaga ini tertutup tanah. Beliau melakukan penggalian dan seterusnya telaga ini berada di bawah pengawasannya.

Masjid ini ditutupi dengan atap dan dilengkapi dengan menara, tiang-tiang kecil tempat lampu penerang, dan kubah-kubah kecil (152 buah). Tiang setinggi 20 kaki (sekitar 6m) dan berdiameter 1.5 kaki (sekitar 0.5m) berjumlah 589 buah. Setiap tiga tiang diselangi dengan satu tiang besar dengan ketebalan sekitar 4 kaki (sekitar 1.2m). Di bahagian utara pula terdapat satu tiang merah dan satu tiang abu-abu kemerah-merahan, manakala di bahagian timur  terdapat dua tiang abu-abu. Di bahagian loteng atau lelangit terdapat ukiran kaligrafi ayat-ayat al-Quran dan perhiasan. Pada bahagian tembok pula terdapat batu inskripsi yang bertuliskan Muhammad, Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, serta Asma ul Husna.

Masjidil Haram memiliki 19 pintu gerbang yang sering terbuka dan juga mempunyai nama-nama, antara lain: (1) Bab as-Salam (pintu salam), disunnahkan masuk ke masjid menerusi pintu ini bagi orang yang pertama kali memasukinya dan akan melakukan tawaf; (2) Bab as-Safaa (pintu Safaa), pintu keluar menuju bukit Safaa untuk melakukan sa’i; (3) Bab as-Su’ud (pintu su’ud); (4) Bab al-Umrah (pintu umrah), biasanya dimasuki oleh orang yang mengerjakan umrah ketika melakukan tawaf; dan (5) Bab Bani Syaibah (pintu Syaibah), sekarang pintu itu tidak wujud lagi kerana termasuk dalam pelan perluasan kawasan kompleks masjid itu untuk jemaah haji melakukan tawaf.

Susunan UMMU AIMAN
www.ummatanwasatan.com
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger