Home » » WANITA DI LARANG KE MASJID?

WANITA DI LARANG KE MASJID?

Written By lurim on Thursday, March 22, 2012 | 12:04 AM

 Islam tidak pernah memberi keputusan secara putus dalam masalah seperti ini, malah ianya melihat dalam berbagai aspek untuk menjaga kebaikan dan masalahat serta menjauhi keburukan dan kerosakan. Sepanjang sejarah Islam, wanita tidak pernah di penjara atau dikurung dan diasingkan dalam bilik mereka sahaja, sebagaimana yang berlaku di masa kejatuhan Islam.

Wanita pada masa Rasulullah s.a.w dibenarkan mengunjungi masjid sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: “Janganlah kamu halangi hamba Allah (wanita) menghadiri  rumah Allah.”

Rasulullah s.a.w menyediakan ruang belakang untuk wanita di masjid. Pada peringkat awal pintu wanita sama saja dengan pintu yang dilalui kaum lelaki ke masjid sehingga berlaku kesesakan, barulah Rasulullah mencadangkan satu pintu khusus untuk kaum wanita sehingga pintu itu dikenali sehingga ke hari ini sebagai “Babun Nisaa”. Mereka juga pada masa itu menghadiri sembahyang Jumaat dan mendengar khutbah serta sembahyang Hari Raya.

Imam Muslim ada meriwayatkan bahawa Ummu Atiah ada mengatakan kami disuruh keluar pada dua hari raya samada yang masih gadis remaja,dewasa dan lain. Kata kami, antara kami tidak ada jilbab? Jawab Rasulullah s.a.w, “ Dia boleh pinjam baju saudaranya”. Mereka juga menghadiri majlis ilmu yang diadakan oleh Rasulullah s.a.w. bersama kaum lelaki dan mereka bertanya mengenai urusan agama yang berkaitan dengan wanita sehingga Ummul Mukminin Aisyah pernah memuji wanita Ansar yang tidak mahu ketinggalan untuk mempertingkatkan kefahaman mereka dalam agama mereka juga menyertai sama di medan peperangan dan mara untuk memberi khidmat dan bantuan kecemasan kepada tentera Islam malah ada yang berjuang sama menentang musuh sebagaimana yang dapat dilihat dalam banyak hadis daripada Ummu Atiah, Aisyah, Ummu Sulaim, Ummu Amarah dan lain-lain.

Dalam kehidupan harian wanita merupakan pendakwah yang dapat menyuruh dengan kebaikan dan melarang kemungkaran sepertimana firman Allah s.w.t bermaksud: “Orang mukmin lelaki dan wanita sama bertanggung jawab, mereka menyuruh dengan makruf dan mencegah dari kemungkaran.” (at-Taubah: 71)

Di dalam al-Quran kita dapati bagaimana dua gadis remaja bertemu dan bercakap dengan Nabi Musa a.s dan bagaimana Nabi Musa a.s membantu mereka berdua dan bagaimana salah seorang daripada mereka datang dalam keadaan tersipu malu untuk menjemput Nabi Musa a.s datang ke rumahnya (al-Qasas: 23)

Perbuatan menahan wanita dalam rumah dan mengunci bilik mereka adalah tindakan yang dikenakan pada awal Islam terhadap wanita yang melakukan kesalahan zina dan perbuatan sumbang sebelum ayat hudud diturunkan. Alangkah ganjil kefahaman kita hari ini sehingga tindakan itu dikenakan terhadap wanita yang terpelajar dan berakhlak mulia dan berpotensi dalam membela nasib bangsa dan agama.

Jadi, separuh kekuatan umat Islam akan terhilang dan terbuang begitu sahaja kerana kaum wanita itu adalah sebahagian (separuh) umat Islam. Sepatutnya mereka diberi peluang untuk mempertingkatkan peranan mereka sebagai pejuang Islam di samping kaum lelaki.

Ringkasnya, perjumpaan antara lelaki dan wanita adalah harus dan dilarang malah digalakkan mereka keluar untuk tujuan yang baik seperti pelajaran,pembangunan, urusan kebaikan dan kebajikan. Ini tidak bererti Islam membenarkan pergaulan bebas yang dianjurkan oleh barat sehingga tidak ada sebarang sekatan dan batasan antara mereka. Sebab itu Islam mengutarakan beberapa peraturan dan adab dalam setiap perjumpaan  tersebut.

Antara adab dan peraturan itu ialah:
  • Mengawal pandangan masing- masing, jangan melihat aurat atau melihat dengan rasa keinginan dan nafsu seks.
  • Masing- masing menutup  dan berpakaian sopan dan tidak mendedahkan  aurat.
  • Tidak berlaku sebarang godaan pujuk cumbu atau kelakuan yang boleh membawa kepada apa yang ditegah seperti deraan seks dan sebagainya.
  • Berlaku dalam batasan dan adab sopan yang dianjurkan oleh agama.
  • Mengelak dari berdua-duaan di tempat yang sunyi atau tertutup.
  • Pertemuan itu tidak melebihi kadar hajat dan keperluan sahaja. Bilamana peraturan  ini dapat dipenuhi maka tidak ada sebab pergaulan itu tidak dibenarkan untuk kebaikan umat Islam seluruhnya terutama kaum wanita itu sendiri.

Susunan SYUHADAH ABDULLAH
ummatanwasatan.net
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger