Home » » CENDIAKAWAN YANG MERENDAH DIRI

CENDIAKAWAN YANG MERENDAH DIRI

Written By lurim on Monday, January 9, 2012 | 1:50 AM

Nama asal Al-Farabi ialah Abu Nasr Muhammad bin Muhammad Tarkhan Al-Uzdag. Beliau dilahirkan di Wasij, iaitu di wilayah Transosiana, Turkestan. Beliau dikatakan lahir pada tahun 257 H bersamaan 870 Masihi, pada zaman pemerintahan kerajaan Samaniyah.

Al-Farabi dikatakan berketurunan Turki, bapanya berketurunan Parsi, manakala ibunya pula berketurunan Turki. Pada zaman pemerintahan kerajaan Samaniyah, bapa Al-Farabi bekerja sebagai seorang pegawai tentera kerajaan, manakala pekerjaan ibunya tidak diketahui dengan jelas.

Beliau mendapat pendidikan awal dari guru-guru persendirian, sama ada beliau pergi belajar di rumah guru berkenaan ataupun beliau belajar secara formal di masjid-masjid yang terdapat di Wasij. Seterusnya beliau dikatakan dibesarkan semasa pemerintahan Nasir Ibnu Ahmad.

Al-Farabi juga dikatakan dapat menguasai beberapa bahasa asing, antaranya bahasa Syria, Arab, Greek. Penguasaan ini tidak akan dapat dicapai tanpa keinginan dan usaha yang bersungguh-sungguh.

Al-Farabi menguasai pelbagai bidang dalam ilmu keagamaan, antaranya ilmu Nahu, Tafsir, Hadis, Fiqh, dan sebagainya. Selain itu beliau juga mahir dalam pelbagai cabang falsafah, ilmu lingkungan, ilmu ketenteraan dan ilmu muzik.

Meskipun beliau mahir dalam pelbagai bidang tetapi beliau lebih tertarik ataupun lebih memberikan perhatian pada bidang falsafah dan logik.

Al-Farabi juga lebih dikenali sebagai ‘guru kedua’. Beliau dikenali sebegitu selepas Aristotle sebagai ‘guru pertama’. Ini kerana beliau sentiasa mengkaji buku-buku yang dihasilkan oleh Aristotle, juga mengkaji mengenai diri Aristotle.

Al-Farabi dikatakan mempunyai ramai guru, tetapi yang utama serta yang lebih diberikan perhatian dan masyhur ialah Ibn Hailan dan Matta ibn Yunus. Kedua-dua guru beliau ini mahir di dalam bidang falsafah dan logik.


 Pada tahun 287 Hijrah bersamaan 900 Masihi merupakan tahun pengembaraan pertama Al-Farabi ke negara luar, iaitu Baghdad bersama gurunya yang tidak asing lagi, Ibnu Hailan. Kedatangan Al-Farabi ke Baghdad bersama gurunya adalah untuk mempelajari ilmu logik dan mendalaminya.

Seterusnya pada tahun 298 Hijrah bersamaan 908 Masihi, beliau telah meninggalkan Baghdad bersama gurunya untuk ke Harran. Kemudian perjalanan ke Constantinople. Beliau ke sana untuk mempelajari ilmu falsafah dengan lebih mendalam yang mana gurunya, iaitu Ibnu Hailan, bertindak sebagai penyelia beliau dalam pembelajaran tersebut.

Pada tahun 297 Hijrah bersaman 910 Masihi, beliau kembali ke Baghdad semula. Kembalinya beliau ke Baghdad adalah untuk belajar, mengajar, mengkaji buku-buku yang ditulis oleh Aristotle dan menulis karya-karya baru. Pada tahun 330 Hijrah bersama 942 Masihi, Al-Farabi telah berpindah ke Damsyik, iaitu satu daerah di negara Syria akibat kekacauan dan ketidakstabilan politik yang berlaku di Baghdad.

Pada tahun 332 Hijrah bersamaan 944 Masihi Al-Farabi dikatakan telah pergi ke Mesir, tetapi tidak diketahui tujuan, mengapa dan kegiatan beliau di sana. Bagaimanapun, menurut Abi Usaibiyah, seorang ahli sejarah, mengatakan Al-Farabi telah mengarang sebuah karya mengenai politik ketika berada di Mesir, iaitu sekitar tahun 337 Hijrah.

Manuskrip Al-Farabi
Seterusnya pada tahun 338 Hijrah bersamaan 949 Masihi, Al-Farabi bermastautin semula di Damsyik. Kembalinya beliau ke sana adalah untuk menghabiskan sisa-sisa hidupnya sebagai seorang cendekiawan di sebuah istana di Aleppo semasa pemerintahan Syria baru, iaitu seorang putera Handaniyah bergelar Saf Al-Daulah, yang tertarik dengan kebijaksanaan dan kepandaian beliau serta kehidupannya sebagai seorang ahli sufi.

Al-Farabi tidak seperti beberapa tokoh atau sarjana Muslim yang lain. Pertama, beliau tidak menulis mengenai riwayat hidupnya sendiri berbanding dengan tokoh lain yang menulis tentang kehidupan mereka (autobiografi). Ini menyebabkan beliau dianggap sebagai cendekiawan yang merendah diri kerana tidak ‘mendedahkan’ dirinya untuk khalayak. Apa yang didedahkan atau disebarkan adalah ilmunya, bukan ‘orangnya’.

Keduanya, Al-Farabi dikatakan memiliki atau mempunyai daya akal (daya fikir) yang tinggi sejak dari kecil lagi; dalam usia muda lagi beliau telah belajar dan mampu belajar dan menguasai pelbagai jenis ilmu.

Di dalam bulan Rejab 339 Hijrah bersamaan 950 Masihi, Al-Farabi meninggal dunia di Damsyik, semasa beliau berumur 80 tahun. Beliau telah dikebumikan di sana, iaitu di sebuah perkuburan di bahagian luar pintu selatan atau pintu sampingan kota tersebut.

Saf al-Daulah sendiri yang mengetuai para pembesar negeri bagi menyembahyangkan jenazah Al-Farabi, seorang cendekiawan yang terulung dan termasyhur di kalangan sarjana dan tetamu di istana Saf al-Daulah.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger