Home » » ADUHAI ISTERI...

ADUHAI ISTERI...

Written By lurim on Monday, January 2, 2012 | 10:10 PM

Khalifah Juga Mengerti

Seorang lelaki dalam perjalanan ke rumah Khalifah Umar Ibnul Khatab. Niat di hatinya ingin meluahkan masalah tentang isterinya yang terlalu suka berleter dan kadangkala marah tanpa bersebab. Fikirnya, mungkin khalifah ada saranan dan nasihat berkenaan masalah yang dihadapinya.

Setibanya lelaki itu di depan pintu rumah Khalifah, telinganya terdengar sesuatu. Rupa-rupanya isteri khalifah sedang berleter dan seolah-olah sedang marah kepada suaminya sedangkan khalifah hanya mendiamkan diri dan tidak menjawab sepatah pun.

“Aku ingin mengadu masalahku, tapi tuan Khalifah juga senasib denganku” desis lelaki itu sambil berpaling cuba meninggalkan rumah itu. Dalam masa yang sama, khalifah membuka pintu. Disapanya lelaki itu.

“Apa hajatmu datang ke mari?”

Jawabnya, “Tidak ada apa-apa wahai Amirul Mukminin!”

Tanya khalifah, “Mengapa datang, kalau tidak ada apa-apa?”

Jawab lelaki itu, “Sebenarnya saya datang ini untuk mengadukan tentang sikap isteri saya.Wahai Amirul Mukminin tapi saya terdengar tuan juga sedang dileteri isteri tuan.”

Khalifah Umar berkata sambil tersenyum, “Wahai saudaraku, aku berupaya menanggung semua itu kerana aku terhutang budi pada isteriku. Dia telah memasak makananku, membuat roti untukku, membasuh pakaianku dan menyusukan anakku, padahal itu tidak wajib atasnya. Dia juga menjadi tempat kemesraanku, di mana hatiku berasa tenang dan kerana itu juga aku terlindung daripada melakukan yang haram. Bagaimana dapat aku menentangnya atas kelemahan sikapnya yang sedikit berbanding baktinya yang banyak padaku. Jadi aku hanya bersabar dan menahan telinga saja.”

Lelaki itu membalas “Saya juga menanggung nasib yang sama seperti tuan, Ya Amirul Mukminin”

Umar berkata lagi “Bersabarlah atas kelakuan isterimu itu”
Share this article :

+ comments + 1 comments

January 6, 2012 at 9:59 PM

isteri diibarat cahaya yang menyinari rumahtangga...dan isteri juga manusia biasa, yg ada sikap kadang2 menyakitkan hati, tapi itulah pengorbanan isteri buat suami dan keluarga terlalu besar apalagi kalau dah bergelar ibu

Post a Comment
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger