Home » » AL-KINDI

AL-KINDI

Written By lurim on Sunday, November 13, 2011 | 1:31 PM

 Al-Kindi merupakan tokoh atau ahli falsafah Muslim pertama keturunan Arab dari suku Kindah yang amat produktif dan menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan.  Nama sebenar beliau ialah Abu Yusuf Yaqub Ibn Ishaq Al-Khindi atau juga dikenali sebagai Al-Khindi (801-873). Al-Kindi dilahirkan di Kufah, pusat pengajian dunia pada masa itu. Bapanya adalah Gabenor Kufah pada masa pemerintahan Khalifah Abbasiah di bawah khalifah al-Mahdi dan Harun ar-Rashid.

Al-Kindi merupakan keturunan suku kaum Kinda yang telah berpindah dari Yemen. Minatnya terhadap ilmu falsafah begitu tinggi terutama ketika beliau mengunjungi Baghdad. Di sini juga Khalifah Al-Ma’mun telah mendirikan Baitulhikmah dan mempengaruhi beliau untuk menimba ilmu dan beliau sangat senang dengan suasana intelektual di kota ini. Di sinilah akhirnya beliau dikenali sebagai seorang sarjana terkemuka di Baghdad.

Pendidikan al-Kindi bermula di Kufah, kemudiannya di Basrah, dan akhirnya di Baghdad. Pengetahuan tentang ilmu falsafah amat tinggi dan menurut beliau falsafah harus diterima sebagai sebahagian peradaban Islam. Khalifah al-Ma’mun melantiknya ketua di pusat pengajian di Baghdad, yang merupakan pusat yang baru sahaja ditubuhkan bagi penterjemahan teks-teks falsafah dan saintifik orang Yunani. (Beliau juga terkenal kerana penulisan seni khatnya yang cantik, dan pada suatu ketika pernah bekerja sebagai jurutulis kepada al- Mutawakkil)

Apabila al-Ma’mun meninggal dunia, abangnya (al-Mu’tasim) menjadi Khalifah, dan al-Kindi dikekalkan dalam jawatannya, serta mengajar anak al-Mu’tasim. Bagaimanapun, ketika pemerintahan al-Wathiq, dan terutamanya al-Mutawakkil, peluang al-Kindi mulai surut. Terdapat pelbagai teori-teori mengenai ini:  sesetengah orang mengatakan ‘kejatuhan’ al-Kindi akibat persaingan di pusat ilmu pengetahuan dan yang lain pula merujuk kepada penyeksaan yang ganas oleh al-Mutawakkil terhadap orang Islam yang tidak ortodoks (serta bagi bukan Muslim). Malah, pada suatu ketika, al-Kindi pernah dipukul dan perpustakaannya disita. Al-Kindi sebenarnya memiliki perpustakaan peribadi, iaitu al-Kindiyah. Di perpustakaan itulah beliau menghimpun pelbagai karya dan manuskrip dalam berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan. Akan tetapi, ada keluarga ilmuwan, Bani Musa yang iri hati terhadap perpustakaannya yang besar dan luas itu. Mereka mengadakan persengkokolan dengan Khalifah al-Mutawakkil dan berjaya memujuk khalifah untuk menyita perpustakaannya dan memberikan kepada mereka. Namun akhirnya perpustakaan itu dikembalikan semula kepada al-Kindi.

Al-Kindi merupakan seorang pakar dari pelbagai bidang pemikiran yang berbeza. Beliau merupakan pakar dalam muzik, falsafah, astronomi, perubatan, geografi, dan matematik. Selama hayat beliau (dan untuk kira-kira seabad selepas itu) beliau dianggap sebagai ahli falsafah Muslim dan paling besar, ada akhirnya hanya diatasi oleh nama-nama hebat seperti Abu Al-Nasr Al-Farabi (Al-Pharabius) dan Ibn Sina (Avicenna). Beliau dianggap sebagai ahli falsafah Arab keturunan paling agung, walaupun sesungguhnya beliau sering dirujuk hanyalah sebagai “ahli falsafah Arab”.

Satu daripada matlamat utama falsafahnya adalah untuk mengabung kesesuaian antara falsafah dan teologi alam di suatu pihak dan teologi spekulatif dan diwahyukan di suatu pihak yang lain (bagaimanapun sebenarnya beliau menolak teologi spekulatif). Beliau menekankan, bagaimanapun, wahyu adalah sumber pengetahuan lebih hebat dalam sekurang-kurangnya sesetengah bidang, dan ia menjamin perkara-perkara mengenai kepercayaan yang akal pemikiran tidak boleh mendedahkannya.

Pendekatannya kepada bidang falsafah bukanlah hasil pemikiran yang asal, tetapi merangkumi penulisan Aristotelian dan neo Plato. Bagaimanapun, hasil kerjanya amat penting kerana beliau memperkenalkan dan mempopularkan falsafah Yunani di kalangan cendekiawan Muslim. Kebanyakan apa menjadi perbendaharaan falsafah ‘piawaian Arab’ berasal daripada al-Kindi, dan sesungguhnya, jika tidak kerana al-Kindi, ‘hasil kerja’ ahli falsafah seperti al-Farabi, Ibn Sina, dan al-Ghazali mungkin tidak mencapai tahap yang mengagumkan.

Sebagai seorang doktor, al-Kindi merupakan ahli farmakologi pertama yang menentukan dan menggunakan dos ubat yang betul untuk kebanyakan daripada jenis dadah yang terdapat pada masa itu. Sebagai salah seorang ahli kimia yang tersohor, beliau  telah membuktikan akan kesilapan mitos yang mengatakan logam asas mudah diubah menjadi logam berharga seperti emas atau argentum. Dalam  bidang matematik pula, beliau menulis beberapa buah buku yang ditujukan khusus bagi sistem nombor, dan banyak menyumbang bagi asas hisab moden. Al-Kindi juga mempopularkan angka Hindu-Arabic di kalangan orang Arab.

Al-Kindi menulis sekurang-kurangnya 250 buah buku, kebanyakannya sumbangannya bagi geometri (32 buah buku), falsafah dan perubatan (22 buah buku), ilmu logik (9 buah buku), dan fizik (12 buah buku). Pengaruhnya dalam bidang fizik, matematik, ubat, falsafah dan muzik adalah meluas dan berpanjangan selama beberapa abad. Abu Yusuf Yaqub Ibn Ishaq al-Khindi juga aktif dalam bidang terjemahan. Beliau adalah antara penterjemah awal yang terlibat dalam menterjemahkan hasil karya dalam bidang Yunani ke dalam bahasa Arab.

Kebanyakan daripada buku-buku beliau, malangnya telah hilang. Bagaimanapun beberapa yang terselamat dalam bentuk terjemahan Latin oleh Gherard Cremona, dan yang lain telah ditemui dalam manuskrip Arab — yang lebih penting lagi, 24 buah hasil karya beliau yang hilang telah dijumpai semula.

Antara sumbangan besar al-Kindi ialah 11 buah teks yang menerangkan mengenai nombor dan analisis nombor. Al-Kindi memberikan sumbangan besar bagi perkembangan ilmu pengetahuan. Selain menulis banyak buku, beliau juga membantu para penguasa dalam merancang dan membina terowong, jambatan, alat peperangan dan alat pengukur ilmiah. Sebagai ahli kimia, beliau telah berhasil mensintesiskan beberapa campuran dan berjaya menghasilkan peralatan perang, kaca, perhiasan dan minyak wangi, melalui proses kimia, seperti penyulingan, penguapan, peleburan, dan pengendapan.

Al-Kindi juga menghasilkan 241 buah buku dalam pelbagai bidang yang merangkumi bidang seperti berikut:
  •    Astronomi (16 buah)
  •    Arithmetik (11 buah)
  •    Geometri (32 buah)
  •    Perubatan (22 buah)
  •    Fizik (12 buah)
  •    Falsafah (22 buah)
  •    Logik (9 buah)
  •    Psikologi (5 buah)
  •    Muzik (7 buah)

Susunan WAN SUHAIBAH WAN SU
_________________
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger