Home » » RENUNGAN RAMADHAN 25

RENUNGAN RAMADHAN 25

Written By lurim on Thursday, August 25, 2011 | 1:58 AM


Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Di dalam ayat Surat Al-Baqarah ayat 183 yang sering dibaca pada awal Ramadhan, Allah mewajibkan puasa dengan berfirman:


“ Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa…

Perkataan “kutiba ‘alaikum..”yang digunakan mempunyai erti ‘diwajibkan’..

Gaya bahasa “ kutiba” ini telah digunakan oleh Allah dalam ayat-ayat lain. Misalnya, dalam surah al-Baqarah ayat 178, Allah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu qisas… (kutiba ‘alaikumulqisas…)

Dalam surah Al-baqarah: 180 pula Allah menyebutkan tentang kewajipan berwasiat:

“Diwajibkan ke atas kamu, apabila sesorang kamu didatangi maut sedang kamu mempunyai harta agar ia berwasiat …(kutiba ‘alaikum…)
 
Dalam ayat 216 Surah Al-Baqarah pula, disebutkan:

“Diwajibkan ke atas kamu berperang… (kutiba ‘alaikumul qital …)

Dalam bentuknya yang berlainan sedikit, Allah menyebutkan kewajipan sembahyang dengan firman-Nya dalam Surah Annisa’ayat 103:

“Sesungguhnya solat itu telah diwajibkan ke atas orang mukmimin pada waktuwaktunya yang tertentu (Kitaaban Mauquta) ”.

Ayat-ayat mengenai hukum hudud ‘merompak’ dan ‘mencuri’ disebutkan oleh Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 33-34 dan 38-39. Dalam ayat-ayat yang sebelum dan selepas ayat-ayat ini, Allah menerangkan tentang kewajipan hukum hukum ke atas Bani Israel juga dengan perkataan “katabna” (telah kami wajibkan)

Bentuk ayat yang dengannya Allah mewajibkan puasa adalah sama dengan bentuk ayat Allah di mana Allah menyebutkan beberapa perkara lain; qisas, wasiat, perang. Dalam bentuk yang hampir sama, solat disebutkan sebagai wajib pada waktu yang tertentu. Dalam bentuk yang lain, perkataan “katabna” menjadi sebahagian dari ayat-ayat Allah yang berkaitan dengan hukum-hukum hudud.

Hukum-hukum Islam bersifat sepadu. Kita wajib meyakini kesepaduan hukumhukum yang diturunkan oleh Allah; tidak mengambil sebahagian atau menolak sebahagian. Mengambil atau menerima atau mengamalkan sebahagian dari ayat-ayat Allah dan menolak sebahagian lain adalah sama dengan beriman dengan sebahagian dan menolak sebahagian hukum Allah. Allah memberi amaran seperti tertera dalam firman-Nya di dalam ayat 85 Surah Al-Baqarah:

“Apakah kamu beriman kepada sebahagian dari Kitab dan kufur terhadap bahagian lain? Tiadalah balasan bagi sesiapa di antara kamu yang melakukan demikian kecuali kehinaan di dalam kehidupan dunia manakala pada hari akhirat mereka di kembalikan kepada azab yang keras”

Ayat ini diturunkan mengenai orang-orang Yahudi di Madinah yang mengamalkan sebahagian suruhan Allah manakala mengabaikan arahan yang lain. Allah menganggap mereka sebagai beriman dengan sebahagian kitab dan kufur kepada sebahagian yang lain. Bagi mereka yang sedemikian, Allah memberi amaran hukuman di dunia dan akhirat.

Oleh itu, kita perlu bersedia menerima dan mengamalkan bukan sekadar kewajipan puasa dan solat tetapi juga semua hukum-hakam yang terkandung di dalam di dalam syariat yang ter’maktub’ di dalam al-Quran dan Sunnah Nabi (saw).

Semoga Allah (swt) membantu kita memahami dan mengamalkan agama-Nya.
Share this article :

+ comments + 1 comments

August 25, 2011 at 9:36 AM

Terima kasih atas perkongsian yang bermanfaat ini Mirul..

Salam Ramadhan...

Post a Comment
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger