Home » » RENUNGAN RAMADHAN 16

RENUNGAN RAMADHAN 16

Written By Mohd Amirul on Tuesday, August 16, 2011 | 5:22 PM

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Membaca al-Quran adalah satu amalan yang amat digalakkan bagi seorang Islam. Ini ialah kerana al-Quran ialah kitab Hidayah dari Allah yang diturunkan bagi menjawab doa yang kita ulang-ulangkan di dalam surah al-Fatihah:

“ Tunjukkanlah kami jalan yang lurus”. (surah al-Fatihah: 6)

maka di jawab oleh Allah:

“ Alif, Lam, Mim. Inilah kitab yang tiada keraguan di dalamnya merupakan petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa”. (surah al-Baqarah: 1,2)

Bukankah Puasa Ramadhan diwajibkan untuk membimbing kita ke arah taqwa.. dan kitab al-Quran itu merupakan petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Al- Quran ialah petunjuk bagi orang yang bertaqwa yang mana salah satu cara mendapat darjat ketaqwaan ialah dengan berpuasa di bulan Ramadhan yang didalamnya diturunkan al-Quran. Di dalam rangkaian ayat mengenai kewajipan berpuasa, Allah berfirman:

“ Bulan Ramadhan yang di dalamnya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi umat manusia, penerang kepada petunjuk dan pembeza (anatra haq dan batil).” (surah Al-Baqarah: 185)
Maka hubungan di antara petunjuk Ilahi, bacaan al-Quran, puasa dan Ramadhan menjadi kian jelas.

Dalam hadis yang telah di sebut di dalam Renungan Ramadhan 15 juga tertera bukti bahawa Rasulullah bertadarrus dengan Jibrail pada bulan Ramadhan. Maka adalah wajar untuk kita menjadikan amalan membaca al-Quran sebagai satu budaya harian kita di bulan Ramadhan. Adalah amat digalakkan jika kita boleh mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali di bulan Ramadhan. Dan alangkah baiknya jika budaya al-Quran ini boleh diteruskan pada bulan-bulan selain Ramadhan.

Alangkah ruginya kita jika kita boleh menghabiskan berpuluh-puluh mukasurat suratkhabar, majalah hiburan dan buku cerita tetapi kita enggan menjamah dan membaca beberapa potong ayat al-Quran.

Walaupun kita digalakkan memperbanyakkan membaca al-Quran, adalah penting untuk kita memastikan agar kita tidak hanya mementingkan kuantiti tetapi juga kualiti bacaan kita. Kita perlu memnjaga adab-adab membaca al- Quran, menghormati hukum-hukum tajwid dan membaca dengan tenang dan teratur. Allah berfirman:

“ Orang-orang yang telah kami berikan al-Kitab, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya (haqqa tilawatih), mereka itu beriman kepadanya” (surah al-baqarah:121)

Dan firman-Nya lagi:

“ Dan bacalah al-Quran dengan tartil”. (surah al-Muzammil: 4)

Sebab itu, Rasulullah melarang kita daripada mengkhatamkan al-Quran kurang dari sekali dalam tujuh hari sebagaimana dinyatakan oleh Abdullah bin Amr :

“ Rasullullah (saw) bersabda kepadaku: “ Bacalah al-Quran dalam masa sebulan.” Aku berkata: “ Ya Rasulullah, aku boleh berbuat lebih dari itu”. Baginda bersabda: “ Bacalah dalam tujuh hari, dan jangan kurangkan daritempoh itu”. (hadis riwayat Bukhari)

Dalam hadis lain terdapat larangan mengkhatamkan kurang dari tiga hari. Pokoknya, kita perlu membaca al-Quran dengan sempurna; sebaik-baiknya khatam dalam sebulan yakni satu juzuk sehari tetapi tidak terlalu berkejarkejaran sehingga menurunkan kualiti bacaan kita.

Semoga Allah memberi kekuatan bagi kita untuk mengikuti tuntutan kita untuk berdampingan dengan al-Quran sepanjang bulan Ramadhan ini.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger