Home » » PENGORBANAN IBU WAJIB DIKENANG SEPANJANG MASA

PENGORBANAN IBU WAJIB DIKENANG SEPANJANG MASA

Written By lurim on Sunday, May 8, 2011 | 9:36 PM


Oleh Khairunneezam Mohd Noor

Penghargaan perlu diserlahkan dengan menjaga dan mendoakan kesejahteraan orang tua

SESIAPAPUN tidak akan menafikan ibu perlu sentiasa ditabalkan sebagai insan paling dihormati dan dikasihi. Masakan tidak, peranan serta jasa ibu bukan calang-calang tahapnya.

Ibu bertarung nyawa ketika mengandung dan melahirkan anak ke dunia. Saat anak masih kecil, ibu menyuapkan makanan, memberi susu dan mengajar bertatih.

Apabila anak membesar dan meningkat dewasa, ibu tidak putus-putus melaksanakan peranan mendidik, menjadi tempat bermanja, mengadu nasib dan pengubat rasa sedih nestapa.

Sebagai anak, kita bertanggungjawab merai dan memuliakan ibu sepanjang hayat. Dari perspektif Islam, martabat ibu perlu dimuliakan seperti Allah mengangkat tinggi darjat mereka.

Firman Allah bermaksud: 

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya sudah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada–Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman, ayat 14)

Tindak-tanduk atau percakapan yang boleh menghiris hati perlu dielakkan apa lagi bersikap kurang ajar kepada ibu.

Cerita rakyat Si Tanggang yang disumpah menjadi batu kerana menderhaka kepada ibunya. Pada zahirnya tidak masuk akal ibu boleh menyumpah anaknya menjadi batu, tetapi secara tersirat pengajaran cerita dongeng ini jangan membuatkan ibu sengsara, sedih dan hampa dengan perbuatan kita. Kelak balasan pedih akan diturunkan Allah di dunia dan akhirat.

Allah menegaskan dalam firman bermaksud: 

“Dan Tuhanmu perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika seorang daripada mereka atau kedua-duanya sampai umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (perkataan kasar) sekalipun ‘hah’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Israa’, ayat 23)

Bayangkan, anak berkata ‘hah’ pun ditegah, apatah lagi jika kita berkasar, membentak atau memukul mereka. Kita harus ingat keredaan Allah terletak kepada keredaan ibu. Murka ibu bermaksud murka jugalah Allah terhadap kita.

Nabi Muhammad SAW memberi isyarat jelas tingginya martabat ibu. Dikatakan satu hari datang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan lelaki berkata: “Saya ingin melaksanakan jihad dan pergi berperang di jalan Allah, tetapi ibu tidak sepenuh hati melepaskan saya berbuat demikian. Rasulullah SAW kemudian menjawab:

Pulanglah kamu dan beradalah di sisi ibumu. Aku bersumpah dengan nama Tuhan yang mengutusku untuk menyampaikan kebenaran, untuk berada di sisi ibu satu malam (dan melayan serta berbuat baik kepadanya) adalah lebih baik daripada berperang dan berjihad di jalan Allah selama setahun.”

Begitu juga cerita di mana lelaki bertemu Rasulullah SAW dan menyoal:

“Siapakah orangnya dalam dunia ini perlu saya hormati dan hargai? Lalu Rasulullah SAW menjawab: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi dua kali: Siapakah selepas ibu dan jawapan Rasulullah SAW tetap, ibumu. Akhirnya apabila ditanya lagi: Siapakah selepas ibu? Barulah Rasulullah SAW menjawab: Bapamu.

Jelas mesej Rasulullah SAW ini menganjurkan supaya ibu yang kaya dengan sifat lemah lembut dan kasih sayang perlu diberikan penghargaan berbanding insan lain di dunia ini.

Hari Ibu akan disambut di seluruh dunia termasuk Malaysia pada 8 Mei ini, sebagai tanda penghargaan kepada golongan bergelar ibu. Sudah tentu banyak program dianjurkan pelbagai pihak khas meraikan golongan ibu pada tarikh itu.

Namun, untuk meraikan golongan ibu bukan tertakluk pada tarikh tertentu kerana ibu perlu dirai sepanjang hayat. Begitu juga meraikan ibu bukan sekadar menghadiahkan jambangan bunga atau mengucapkan rasa sayang, tetapi perlu diserlahkan melalui amalan realistik dan bermakna mengikut perspektif Islam.

Sebagai anak, ibu perlu diberi perhatian. Bantu dan sokonglah ibu sebaik-baiknya tidak kira dari segi material, fizikal mahupun emosional. Patuhi nasihat serta permintaan mereka selagi tidak bertentangan syariat Islam.

Sebagai anak, kita bertanggungjawab menegur ibu jika mereka membuat kesilapan yang mendorong mereka tersasar daripada batasan disyariatkan Islam dan norma budaya masyarakat.

Bagi anak yang tinggal jauh, jenguklah ibu selalu atau setidak-tidaknya kerap bertanyakan khabar. Jika dulu ibu berupaya menyuap makan dan menguruskan kehidupan semua anaknya, takkanlah anak tidak boleh menjaga seorang ibu yang sudah tua dan kurang kudratnya.

Walaupun ibu kita sudah meninggal dunia, sebagai anak kita perlu terus mendoakan kesejahteraan roh ibu supaya sentiasa dirahmati Allah.

Firman Allah bermaksud: 

“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Israa’, ayat 24)

Ibu lazimnya tidak meminta-minta kita membalas jasa dan pengorbanannya. Apa yang ibu lakukan adalah ikhlas namun kerana wujudnya hubungan unik antara ibu dan anak menuntut kita menghargai, menyanjungi dan menyayangi mereka.

Mari renungi rangkap akhir puisi karya Usman Awang bertajuk Ke Makam Bonda: “Begitulah bakti kami berikan, tiada sama bonda melahirkan, kasih bonda tiada sempadan, kemuncak murni kemuliaan insan”.

Jelaslah bait-bait puisi ini mengajak kita mengakui sesungguhnya kasih sayang diberikan orang lain tidak akan dapat menandingi kasih sayang dicurahkan ibu. Sememangnya ‘syurga’ itu terletak di bawah telapak kaki ibu.

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger