Home » » PERKARA YANG ELOK DAN TIDAK ELOK DISEBUT

PERKARA YANG ELOK DAN TIDAK ELOK DISEBUT

Written By lurim on Monday, April 25, 2011 | 7:41 PM



3 PERKARA YANG ELOK DISEBUT-SEBUT

 
Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk.

Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah SWT berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang hanya berbuat baik sedikit sahaja kepada kita, kita puji habis-habisan tetapi nikmat yang terlalu banyak Allah SWT berikan kita langsung tidak hargai. Sebaik-baiknya elok kita basahi lidah kita dengan memuji Allah sentiasa, bukan sekadar ucapan Alhamdulillah apabila perut sudah kekenyangan. Pujian sebegini hanya di lidah sahaja, tidak sampai hingga ke hati.

 
Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia.

Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang singkat akalnya hanya sibuk memikirkan Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat (WA). Manusia yang paling bijak ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah Dunia (SAD) tak penting, tapi yang paling penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.

 
Perbanyakkan menyebut hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan.

Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua tetapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Jikalau tidak usahakan kebun dunia ini, masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan ini eloklah mencontohi sikap Saidina Ali k.w.s.j. Meskipun sudah terjamin akan syurga, beliau masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Bandingkan pula dengan diri kita yang kerdil dan sentiasa bergelumang dengan dosa?


2 PERKARA JANGAN DISEBUT-SEBUT

 
Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga.

Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan membisikkan kepada kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut seperti rasmi ayam 'bertelur sebiji, riuh sekampung'. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam yang boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika ianya menimbulkan ria' atau bangga diri yang mana Allah SWT telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (ria') tidak akan mencium bau syurga. Ria' adalah satu unsur dari syirik (khafi). Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datangnya dari Allah SWT kerana Allah yang membolehkan kita berbuat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah SWT kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepada Allah yang mengurniakan kebaikan itu.

 
Jangan menyebut-nyebut keaiban atau keburukan diri orang lain.
 
Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan'. Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya. Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Di dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjadikan kita temannya di dalam neraka.

Semoga 5 perkara yang disebutkan di atas dapat kita hayati dan diterapkan dalam kehidupan kita seharian. Sama-sama berdoa agar terselamat dari kemurkaan Allah SWT di dunia hingga ke akhirat. Amein...
Share this article :

+ comments + 4 comments

April 25, 2011 at 8:17 PM

assalamualaikum

terima kasih atas peringatan yg brmanfaat trsebut.

April 25, 2011 at 8:49 PM

Salam

Bagus input begini.sekali-sekala kena muhasabah diri juga.^_^

April 25, 2011 at 11:50 PM

thanks...slalu juga dengar & bace mengenai bende2 macam ni, tapi kekadang diri ni alpha...hu3


thanks beri peringatan

April 26, 2011 at 6:38 PM

itulah kita manusia yang selalu terlupa, terleka dan terlalai.. mudah2nya ia dapat memperingatkan kita semua amin...

Post a Comment
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger