Home » » AKHLAK INTIPATI BAGI SEGALA IBADAT

AKHLAK INTIPATI BAGI SEGALA IBADAT

Written By lurim on Tuesday, April 26, 2011 | 3:21 PM



ORANG yang berakhlak mulia atau baik akhlaknya, tentu tidak sewenang-wenangnya melakukan sesuatu untuk menyakiti atau menyusahkan orang lain. Maka sebab itu orang berakhlak sedemikian sangat disenangi oleh sesiapa jua yang mendampingi mereka.

Kebiasaannya mereka yang berakhlak mulia diikuti pula baik dari segi agama dan pekertinya. Malah akhlak mulia adalah matlamat asas bagi risalah Islam. Perkara ini dinyatakan oleh Rasulullah saw dalam hadisnya yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Hadis Riwayat Mali, Ahmad Hakim, At-Tabrani dan Bukhari)

Dalam al-Quran, Allah menegaskan dengan firman-Nya yang bermaksud: “Orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang maaruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar dan kepada Allah kembali segala urusan.” (Surah al-Hajj, ayat 41)

Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud: “Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah Timur dan Barat itu suatu kebaktian, akan tetapi sesungguhnya kebaktian itu ialah kebaktian orang yang beriman kepada Allah, hari kiamat, malaikat, kitab, nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak yatim, orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang yang meminta-minta dan (memerdekakan hamba, mendirikan solat, menunaikan zakat dan orang yang menepati janji apabila dia berjanji dan orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan, mereka itulah orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 177).

Akhlak yang mulia adalah tanda dan hasil daripada iman sebenar. Tidak ada nilai bagi iman yang tidak disertai oleh akhlak. Inilah yang dibayangkan oleh Rasulullah dalam sabdanya yang bermaksud: “Sewaktu beliau ditanya “Apakah din itu?” Beliau menjawab dengan berkata “(Din itu) adalah akhlak yang baik.” (Hadis Riwayat Muhammad Ibn Nasr al-Maruzi)

Baginda juga pernah ditanya “Apakah kecelakaan itu?” Baginda menjawab dengan sabdanya bermaksud: “(Kecelakaan itu) ialah akhlak jahat.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ahmad). Akhlak juga adalah amal paling berat yang diletakkan dalam neraca hamba pada hari kiamat.

Sesiapa yang rosak akhlaknya dan buruk amalnya tidak akan dipercepatkan hisab. Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud: “Tidak ada satu perkara paling berat yang diletakkan dalam neraca hamba pada hari kiamat kelak lebih daripada akhlak yang mulia.” (Riwayat Abu Daud dan At-Tarmizi).


Dalam Islam, akhlak adalah inti pati bagi segala ibadat. Tanpa akhlak, ibadat hanya adat resam dan gerak laku yang tidak mempunyai nilai dan faedah.

Mengenai sembahyang, umpamanya Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perkara jahat dan mungkar.” (Surah al-Ankabut, ayat 45).

Rasulullah saw pula bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak dapat dihalang oleh solatnya daripada (melakukan) perkara jahat dan mungkar mereka adalah bertambah jauh daripada Allah.” (Riwayat Ibn Abi Hatim dan At-Tabrani).

Sebahagian daripada sifat akhlak yang sepatutnya ada dalam diri seseorang Muslim sehingga mereka benar-benar Islam di sudut akhlaknya ialah sifat yang disebutkan di bawah ini:

Bersifat warak daripada melakukan perkara subahat:

Seorang Muslim mestilah menjauhkan diri daripada melakukan perkara haram dan berjaga-jaga daripada melakukan perkara subahat.

Ini adalah bersesuaian dengan peringatan Rasulullah saw dalam sabdanya yang bermaksud: “Perkara yang halal itu jelas dan perkara yang haram itu jelas, tetapi di antara kedua-duanya ada perkara subahat yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Barang siapa yang menjauhi perkara subahat bererti beliau telah membersihkan agamanya dan kehormatannya, barang siapa yang terjatuh ke dalam perkara subahat bererti mereka telah jatuh ke dalam perkara yang haram.

Samalah keadaannya seperti orang pengembala yang mengembala di tepi pagar, dikhuatiri kelak mereka akan mengembala dalam pagar itu. Ingatlah dalam setiap jasad itu ada seketul daging, apabila daging itu baik maka baiklah jasad itu keseluruhannya, apabila daging itu rosak maka rosaklah jasad itu keseluruhannya. “Ingatlah, daging itu ialah hati.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


Peringkat warak yang paling tinggi ialah peringkat yang telah disebutkan oleh Rasulullah dalam sabdanya yang bermaksud: “Seseorang itu tidak akan dapat mencapai peringkat muttaqin hinggalah mereka meninggalkan perkara yang tidak menjadi kesalahan jika dilakukan kerana takut terjatuh ke dalam perkara yang tidak boleh dilakukan” (Hadis Riwayat At-Tarmizi, Ibn Majah dan al-Hakim)

Menundukkan pandangan:

Orang Islam sepatutnya menutup pandangan daripada perkara yang diharamkan Allah. Ini kerana pandangannya itu akan menimbulkan syahwat dan mendorong seseorang terjatuh ke dalam maksiat dan dosa.

Oleh kerana itu al-Quran memberi amaran mengenai pandangan yang tidak memberi faedah. Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah kepada orang-orang lelaki yang beriman hendaklah mereka menahan pandangan.” (Surah an-Nur, ayat 30).

Rasulullah saw pula bersabda: “Pandangan itu satu daripada panah iblis.” (Hadis Riwayat Al-Hakim dan At-Tabrani)

Sabda Rasulullah lagi: “Hendaklah kamu menahan pandangan kamu dan menjaga kehormatan kamu atau Allah melungkupkan muka kamu.” (Hadis Riwayat At-Tabrani)

Memelihara lidah:

Setiap orang wajar memelihara lidahnya daripada perkataan yang tidak memberi faedah atau sia-sia, percakapan yang kotor, kalimah dan ibarat yang keji dan cakap kosong, mengumpat dan mengadu-domba.

Iman Nawawi telah mengatakan: “Ketahuilah bahawa setiap mukhalaf mestilah memelihara lidahnya daripada semua perkataan kecuali perkataan yang mengandungi maslahat, apabila sama antara bercakap dengan diam maka menurut sunnah hendaklah beliau diam, kerana boleh jadi perkataan yang harus mendorong kepada yang haram atau perkara yang makruh.

Perkara seperti ini pada kebiasaannya amat banyak sekali. Keselamatan itu tidak dapat ditandingi oleh sesuatu.”Banyak hadis Rasulullah saw yang menyatakan bahawa lidah itu boleh membawa keburukan dan bala kepada seseorang. Di antaranya sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Tidaklah hasil tuaian lidah manusia itulah yang telah menghumbankan muka mereka ke dalam neraka?” (Hadis Riwayat At-Tarmizi, An-Nasai, Ibn Majah dan Ahmad).

Malu:

Orang yang berakhlak mulia itu satu daripadanya bersifat malu dalam semua keadaan. Namun sifat malunya itu tidak menghalang mereka daripada memperkatakan kebenaran.

Pengertian malu termasuk perbuatan tidak campur tangan dalam urusan orang lain, menahan pandangan, ringan tulang, tidak meninggikan suara dan berpada dengan apa yang ada setelah diusahakan.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah saw lebih pemalu daripada seorang gadis remaja dan beliau bersabda bermaksud: “Iman itu lebih daripada tujuh puluh atau lebih daripada enam puluh cabang, yang paling afdal ialah kalimah Lailahaillallah dan yang paling rendah ialah membuang sesuatu yang boleh menyakitkan dari jalan dan malu itu satu cabang daripada iman.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Mengenai sifat malu ini, ulama mengatakan: “Sifat malu pada hakikatnya ialah suatu sifat yang mendorong seseorang meninggalkan perkara yang buruk dan menghalang mereka daripada mencuaikan hak orang lain.”

Bersifat benar dan jujur:

Orang Islam dituntut supaya sentiasa bersifat benar dan jujur, tidak berdusta, mengatakan sesuatu yang hak sekalipun terhadap dirinya dengan tidak berasa takut kepada celaan manusia demi kepatuhan kepada Allah.

Sifat dusta adalah sifat keji. 0leh itu, Islam telah mengharamkan sifat dusta dan menganggapnya sebagai salah satu penyakit yang terlaknat.

Mengenai perkara ini Rasulullah saw telah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya sifat benar itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan ini membawa ke syurga dan seseorang itu akan terus bersifat benar sehinggalah beliau ditulis di sisi Allah sebagai orang yang bersifat benar.

Sesungguhnya dusta itu membawa kepada kejahatan dan kejahatan itu membawa ke neraka, seseorang itu akan terus berdusta sehinggalah mereka ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).


Tawaduk:

Orang Islam seelok-eloknya hendaklah sentiasa bersifat tawaduk, terutama sesama saudara Islamnya. Mereka sewajarnya mengamalkan sikap tidak ada perbezaan di antara yang kaya dan miskin.

Rasulullah saw sentiasa meminta dijauhkan daripada sifat takbur dan rasa bangga diri. Dalam hal ini Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Tidak akan dimasukkan ke dalam syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarrah sifat takbur.” (Hadis Riwayat Muslim)
Share this article :

+ comments + 3 comments

April 26, 2011 at 4:32 PM

akhlak yg baik adalah cermin peribadi

Hadiah untuk followers! terhad! 5 orang sahaja!

April 26, 2011 at 5:00 PM

yup....thanks 4 da artikel...


untuk orang yg mude2 skung ni susah sikit nk kawal nafsu dri pandang bende2 yg tak elok sebab mane2 pergi mesti nampak kan...dugaan untuk kite....kene lawan

April 26, 2011 at 6:41 PM

akhlak adalah pelengkap ibadah.. :)

Post a Comment
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger