Home » » UJIAN TERHADAP TIGA ORANG HAMBA ALLAH

UJIAN TERHADAP TIGA ORANG HAMBA ALLAH

Written By lurim on Saturday, March 5, 2011 | 2:13 PM


Ada tiga lelaki Bani Israel sudah lama menghidap sopak, botak dan buta. Allah hendak menguji mereka lalu diutus seorang malaikat meyerupai manusia. Malaikat itu pun bertemu lelaki pertama, berpenyakit sopak seraya bertanya: "Apakah yang paling kamu suka?" Jawab lelaki itu: "Saya suka warna kulit yang cantik dan bersih. Saya suka sekiranya penyakit sopak yang menjijikkan ini sembuh!"

Malaikat itu terus menyapu kulit lelaki tersebut lalu sembuh serta-merta. Kulitnya yang hodoh berubah menjadi cantik, licin dan bersih. Malaikat itu bertanya lagi: "Apakah harta yang paling kamu suka?" Lelaki itu menjawab: "Unta!". Lalu seekor unta yang sedang bunting diberikan kepadanya.

Sebelum beredar, malaikat itu berkata: "Semoga Allah memberkatimu pada unta ini!". Selepas itu, malaikat itu bertemu pula dengan lelaki botak lantas bertanya: "Apakah yang paling kamu suka?". Jawabnya: "Rambut yang cantik. Saya juga suka jika masalah rambut gugur ini sembuh!". Malaikat terus menyapu kulit kepala lelaki itu. Penyakit lelaki itu sembuh dan rambutnya kembali lebat dan cantik. Malaikat bertanya lagi: "Apakah harta yang paling kamu suka?". Lelaki itu menjawab: "Lembu!". Lalu seekor lembu yang bunting diberikan kepadanya dan malaikat itu berkata: "Semoga Allah memberkati kamu pada lembu ini!".

Selepas itu malaikat bertemu pula dengan lelaki buta dan bertanya apakah yang paling disukainya?. Jawabnya: "Saya suka sekiranya Allah mengembalikan penglihatan saya dan saya dapat melihat manusia dan alam ini!". Lalu Allah mengembalikan semula penglihatannya. Malaikat bertanya  lagi apakah harta yang paling disukainya?. Jawabnya: "Kambing!". Lalu dua ekor kambing, jantan dan betina diberikan kepadanya. Kemudian kambing betina itu melahirkan anak dan terus membiak.

Lelaki pertama mempunyai satu lembah yang dipenuhi unta. Lelaki kedua mempunyai satu lembah yang dipenuhi lembu. Manakala lelaki ketiga mempunyai satu lembah yang dipenuhi kambing-kambing yang tidak terkira banyaknya. Selepas sekian lama, malaikat tadi diutus Allah supaya menemui semula mereka bertiga. Semasa bertemu dengan lelaki pertama malaikat itu menyerupai seorang yang berpenyakit sopak. Lalu malaikat berkata: "Bekalan saya sudah habis bagi meneruskan perjalanan. Saya tiada tempat meminta pertolongan selain Allah untuk sampai ke tempat yang dituju. Demi Tuhan yang sudah mengurniakan kepada tuan warna kulit yang cantik dan bersih serta harta, saya perlukan seekor unta!". Lalu lelaki itu berkata: "Saya mempunyai tanggungan yang banyak. Saya tidak memiliki harta yang lebih.".

Lalu malaikat itu berkata: "Saya rasa, saya kenal kamu. Bukankah kamu dahulu menghidap penyakit sopak dan dipandang kotor oleh orang ramai? Bukankah kamu juga dahulu seorang yang fakir, lalu Allah mengurniakan kepada kamu harta yang banyak, satu lembah unta!". Lelaki itu menjawab: "Sebenarnya saya mempusakai segala harta ini daripada ayah dan datuk saya!". Malaikat itu berkata lagi: "Apabila kamu berbohong, Allah akan mengembalikan kamu kepada keadaan asal!".

Kemudian, malaikat itu bertemu dengan lelaki kedua yang pernah ditimpa penyakit botak. Malaikat itu menyerupai seorang yang botak. Malaikat itu meminta sebagaimana lelaki pertama, seekor lembu. Lelaki kedua ini juga menjawab seperti lelaki pertama bahawa dia mewarisi segala ternakan lembu dari nenek moyangnya. Amaran diberikan oleh malaikat jika lelaki itu berbohong!.

Seterusnya, malaikat menemui lelaki ketiga menyerupai seorang yang buta. Malaikat itu berkata: "Saya ini miskin dan dalam perjalanan. Demi Tuhan yang sudah mengembalikan penglihatan tuan, saya perlukan seekor kambing!". Lalu lelaki ketiga itu menjawab: "Benar dahulu saya seorang buta, lalu Allah mengembalikan penglihatan saya. Terpulanglah kepada tuan hamba, ambillah sebanyak mana yang tuan hamba  mahu.
Demi Allah, saya tidak akan menuntut semula apa yang kamu ambil pada hari ini.Saya lakukan ini semata-mata kerana Allah!". Lalu malaikat itu pun berkata: "Jagalah semua harta dan segala ternakan kamu ini. Sebenarnya kamu semua diuji oleh Allah dengan segala kenikmatan dunia dan harta benda.

Sesungguhnya Allah meredhai kamu jika kamu redha dengan Allah. Sebaliknya Allah amat murka dan melaknat kepada kedua-dua orang sahabat kamu itu kerana tidak BERSYUKUR dengan nikmat Allah!".

Mastika
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger