Home » » TARIAN POCO-POCO HARAM - MUFTI PERAK : ULASAN & PANDANGAN

TARIAN POCO-POCO HARAM - MUFTI PERAK : ULASAN & PANDANGAN

Written By lurim on Thursday, March 31, 2011 | 7:13 AM


Surat fatwa Mufti Perak


IPOH, 30 Mac: Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang pada 24-26 Januari 2011 lalu telah memperakukan supaya tarian atau senama poco-poco diharamkan.

Ia dibuat atas asas ianya mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama juga pemujaan roh berdasarkan kajian yang menyatakan ianya sering diamalkan di Jamaica serta bercirikan agama Kristian.

"Mesyuarat mengambil keputusan bahawa pengharaman ini akan diwartakan," kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dalam satu suratnya.

Surat fatwa Mufti Perak itu dihantar kepada Pengerusi Persatuan Kakitangan Islam Malayan Banking (PKIMB) Perak.



ULASAN & PANDANGAN


TARIAN POCO-POCO SECARA ASASNYA HARUS
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin


S.S Mufti Perak, Ybg Tan Sri Harussani telah mengharamkan tarian poco-poco atas asas ia berasal dari agama lain yang berunsur pemujaan ruh dan bercirikan agama Kristian. Pihak beliau mungkin ada alasan yang tersendiri. Namun, dengan menghormati hak Negeri Perak, S.S Mufti Perak dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, izinkan saya ingin memberikan pandangan mengenai hal ini. Ini kerana bimbang prinsip asas Islam disalahfahami oleh sesetengah pihak yang lain. Berikut perkara yang perlu difahami oleh kita;

i. Pada asasnya, semua urusan harian (daily life) dalam kehidupan manusia yang membabitkan persoalan keperluan atau kepentingan hidup insan adalah harus dilakukan KECUALI jika terdapat dalil yang jelas mengharamkan hal tersebut. Maka, segala bentuk senaman, tarian, makanan, perhiasan dan seumpamanya adalah harus atau dibolehkan melainkan ada bukti yang jelas dari nas syarak ia diharamkan, atau dimakruhkan.

Justeru itu, Nabi s.a.w tidak mengharamkan banyak budaya Arab yang memberikan faedah kepada insan secara langsung atau tidak langsung, antaranya; nyanyian dan gendang semasa perkahwinan. Dalam hadis al-Bukhari:

Seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka Nabi bersabda: “Wahai ‘Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan”. Hadis menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan hiburan yang menjadi amalan dalam sesuatu masyarakat.

ii. Cumanya, jika ada unsur yang tidak baik, baginda Nabi s.a.w menegur atau menapisnya. Sebab itu apabila baginda Nabi s.a.w mendengar wanita menyanyi dengan lirik


“Di sisi kami ada nabi yang mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok”. Baginda bersabda: “Jangan engkau kata begitu, katalah apa yang engkau katakan sebelum itu” (Riwayat al-Bukhari).

Ungkapan dalam lirik tersebut yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w mengetahui apa yang akan berlaku esok adalah salah. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Maka, Nabi s.a.w membetulkan lirik itu, tetapi tidaklah pula mengharamkan nyanyian atau lirik lain yang tidak bercanggah dengan akidah atau hakikat yang sebenar.

iii. Muslim hendaklah tahu tentang keluasan Islam dalam hal ini. Nabi s.a.w apabila mengizinkan hiburan pertunjukan permainan pedang dan lembing dalam masjid pada hariraya, baginda menegaskan:

Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah” (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).

Maka, fatwa dalam hal tarian, senaman, permainan dan seumpamanya, hendaklah luas, tidak sempit dan berusaha melihat ruang keizinan yang diberikan oleh Islam. Apatah lagi kita yang hidup dalam masyarakat yang serba rencam dan pelbagai cabaran ini.

iv. Atas asas ini, -pada pandangan saya- tarian poco-poco adalah harus, melainkan jika seseorang itu mengamalkannya kerana ingin menghayati kepercayaan yang salah dari segi akidah. Jika setakat tarian kesihatan atau biasa tanpa sebarang kepercayaan yang salah, atau dicampuri perbuatan yang salah seperti arak, seks bebas dan seumpamanya, maka ia dibolehkan dari segi syarak dan tidak wajar diharamkan. Jika ada unsur yang salah, hendaklah dibuat seperti Nabi s.a.w iaitu membuang unsur yang buruk dan meninggalkan unsur yang baik.

v. Jika tarian poco-poco diharamkan atas asas asal-usulnya yang tidak islamik, sekalipun yang mengamalkan tidak meniru atau beriktikad perkara yang salah, maka nanti akan membawa kesan diharamkan aktiviti lain yang mempunyai latar yang tidak Islamik juga seperti tai-chi, chi-kung, kata tae-kwondo dan pelbagai lagi.

vi. Untuk itu, dengan menghormati S.S Mufti Perak dan Jawatankuasa Fatwa Perak, saya ingin menyatakan pandangan yang berbeza iaitu poco-poco yang tidak diamalkan dengan kepercayaan yang salah adalah diharuskan. Adapun, jika dilakukan dengan kepercayaan yang salah, atau diiringi perbuatan yang haram seperti arak dan seks bebas, maka kepercayaan dan amalan yang salah itu wajib dibuang, tarian yang memberikan kebaikan kepada kesihatan itu diizinkan.

Boleh baca Artikel asal di sini : http://drmaza.com




Dan saya ada juga terbaca ulasan Ustaz Nor Amin mengenai perkara ini


Ustaz Nor Amin Sayani Bin Zainal


Ulasan Saya

Sebelum ini saya ada membuat artikel yang berkaitan poco-poco ini, waktu itu saya dapati tiada lagi fatwa-fatwa yang berkaitan dengan poco-poco. Sekarang ini sudah ada fatwa yang menyatakan bahawa poco-poco ini haram atas sebab-sebab tertentu. Maka lebih elok di sini kita guna pakai fatwa tersebut, kerana mereka adalah orang yang lebih layak untuk menentukan sesuatu hukum. Maka di sini saya membatalkan artikel saya yang lama atas alasan artikel itu sudah tidak valid lagi kerana sudah ada fatwa yang berkaitan dengan masalah ini.

Di bawah ini saya masukkan artikel saya yang lepas mengenai poco-poco untuk bacaan semua. Page artikel tersebut terpaksa saya hazafkan atas sebab-sebab tertentu.

Artikel poco-poco pada tarikh 14/07/2010 :

Assalamualaikum,ustaz...

Kilang tempat saya bekerja menganjurkan aktiviti tarian poco-poco setiap pagi sebelum masuk bekerja sebagai satu bentuk riadah ataupun senaman.Di sini timbul kemusykilan.

Poco poco tersebut dilakukan bersama sama lelaki dan perempuan(campur)dan disertai oleh orang islam dan bukan islam.Guru tersebut juga adalah perempuan dan semua termasuk lelaki juga terpaksa belajar dengannya atas suruhan pihak atasan.Pergerakkan poco poco tersebut mengkehendaki seseorang untuk 'berlenggok-lenggok' dan bergoyang-goyang' dalam aksi yang hanya sesuai di lakukan oleh perempuan sahaja.
  1. Adakah Poco poco itu HARAM?
  2. Apakah hukumnya menari bersama-sama lelaki dan perempuan?
  3. Adakah Islam membolehkan wanita menari poco poco secara berasingan dengan lelaki?
  4. Apakakah hukumnya lelaki melakukan poco-poco kerana pergerakkan tersebut menyerupai perempuan(gerakan lembut).
Jawapannya :

Maksud senam robik atau poco-poco ini adalah bersenaman dengan mengikut rentak lagu. Poco-poco berasal dari lagu yang diberikan tajuk poco-poco diterbitkan di Indonesia. Tetapi ada orang berpendapat bahawa poco-poco ini berasal dari penganut Kristian Filipina yang melaksanakan tarian ini setiap kali mereka menghadiri upacara keagamaan pada setiap minggu di gereja. Tiadak kisah ia berasal dari negara mana, kerana rentak dan teknik tariannya adalah sama kalau dilihat di mana-mana negara.

Senaman poco-poco ini juga boleh dikategorikan sebagai hiburan yang mempunyai unsur kesihatan. Menurut Imam Al-Ghazali juga telah menyatakan bahawa hiburan ini termasuk dalam apa yang diistilahkan sebagai al-lahwu dan menjelaskan hukumnya adalah harus bagi Muslim untuk berhibur dengan syarat tidak berlebih-lebihan.

Sebelum saya menghuraikan hukum poco-poco mengikut pandangan saya yang tidak seberapa, ini bertujuan untuk mengeluarkan sahabat-sahabat semua dari dibelenggu dengan masalah status halal atau haramnya. Saya berpendapat bahawa senaman poco-poco ini seolahnya seperti sebuah tarian yang diiringi dengan rentak lagu yang dipasang.

Saya datangkan dahulu hukum tarian dalam Islam menurut pendapat Dr. Yusuf Qoradhawi dalam kitabnya yang bernama Fatwa Muasarah :
  1. Tidak bertentangan dengan adab Islam dan ajarannya. Tarian yang menamppakkan aurat, yang membawa kepada kelalaian, adanya ikhtilat jelas keharamannya. Karena bertentangan dengan perintah Allah Swt.
  2. Memperhatikan bentuk tariannya. Tarian yang membangkitkan syahwat juga dilarang dalam Islam.
  3. Tidak boleh mengiringinya dengan sesuatu yang haram. Seperti meminum khamar, memperlihatkan aurat, memanggil jin dll. Apabila sudah dicampur dengan sesuatu yang haram maka tarian itupun jadi haram.
  4. Tidak melampaui batas dan berlebih-lebihan. Segala yang melampaui batas dan berlebih-lebihan dilarang didalam Islam.
  5. Berkenaan dengan yang melihat dan mendengarkan. Setiap orang yang melihat tarian ataupun mendengarkan lagu-lagu sehingga membangkitkan syahwatnya, menimbulkan fitnah dan menghilangkan akal sehat wajib dijauhinya.

Saya datangkan juga garis panduan tarian yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang bertarikh 14 Januari 2009 (Klik Di sini) sebagai rujukan masyarakat Islam Malaysia seperti berikut :
  1. Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
  2. Gerak tari yang dipersembahkan tidak menimbulkan fitnah.
  3. Tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah.
  4. Tidak bertujuan pemujaan atau penyembahan.
  5. Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan.

Analisis Saya


Berdasarkan kedua-dua pendapat di atas, saya berpendapat bahawa senaman atau tarian poco-poco itu adalah harus berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan oleh Islam seperti tidak bercampur antara lelaki dan perempuan, tidak membuka aurat, tarian yang tidak boleh membangkitkan nafsu, tidak menimbulkan fitnah, tidak melalaikan, tidak memasang lagu yang melalaikan dan tidak ada unsur pemujaan sepertimana dinyatakan dalam 2 pendapat di atas.

Realiti yang berlaku dikebanyakkan tempat dalam negara Malaysia melaksanakan tarian poco-poco ini bercampur antara lelaki dan perempuan, dilaksanakan di tempat yang terbuka, perempuan yang tidak menutup aurat dengan sempurna, memasang lagu yang ada unsur-unsur keterlaluan dan melalaikan. Jika Keadaan seperti ini berlaku, maka saya lebih cenderung berpendapat haram kerana ia melanggar syarat-syarat yang ditetapkan dalam Islam sepertimana dinyatakan di atas.

Tidak menjadi masalah kalau tarian poco-poco ini diasingkan antara lelaki dan perempuan ditempat yang berbeza. Tarian poco-poco perempuan dibuat ditempat yang tertutup dan jauh dari pandangan lelaki, tidak memakai pakaian yang menjolok mata atau seksi dan dipasang dengan lagu yang mempunyai unsur yang baik. Di sini tiada apa yang dapat dipertikaikan lagi dan Islam juga tidak menghalang umatnya berhibur, tetapi biarlah hiburan itu mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh syarak.

Lelaki menyertai tarian poco-poco menyerupai perempuan? Menurut pendapat saya tiada asas pandangan ini, kerana ia tidak disertakan dengan fakta yang jelas. Tarian poco-poco adalah bertujuan untuk bersukan dan menyihatkan badan dan tiada fakta yang mengatakan bahawa tarian poco-poco ini meniru atau hanya untuk perempuan sahaja. Sepertimana saya jelaskan di atas, kalau tidak bercampur lelaki dan perempuan dan mematuhi segala syarat yang ditetapkan oleh Islam, maka harus bagi lelaki menyertai tarian tersebut.

Tarian poco-poco berasal dari agama kristian? Saya berpendapat bahawa tarian poco-poco ini yang dilaksanakan di Malaysia tidak pula menampakkan unsur-unsur keagamaan dan tiada pula setiap pergerakkannya berlambang kristian seperti yang didakwa oleh sesetengah blog dan artikel. Saya juga berpendapat bahawa tarian poco-poco ini tidak mengamalkan budaya agama mereka. Hujah saya yang mengatakan seperti ini ialah tarian tersebut tidak menjejaskan akidah umat Islam, dan tidak mensyirikkan Allah. Jauh sangatlah kalau dikatakan tarian poco-poco ini mengikut agama kristian.

Saya tegaskan di sini bahawa saya tidak membangkang pendapat orang yang mengatakan haram disebabkan poco-poco ini mengikut budaya kristian atau sebagainya, kerana mereka juga mempunyai hujah. Segala hujah saya di sini bukan menyokong tarian poco-poco ataupun menidakkan tarian poco-poco! kalau anda semua mempunyai hujah berdasarkan pendapat-pendapat ulamak, maka teruskan dengan hujah anda semua. Artikel saya ini bukan fatwa, tetapi ini sekadar pendapat saya sahaja berdasarkan ilmu yang lemah dan saya tidak layak mengeluarkan fatwa.

Boleh baca artikel asal di sini :  www.ustaznoramin.com
 
____________________
Share this article :

+ comments + 5 comments

March 31, 2011 at 7:59 AM

perkongsian yang sangat baik. tahniah dan terima kasih :)

March 31, 2011 at 9:30 AM

tak sangka... hurm...
lps nie x leyh buat dah la poco-poco tu...
ape pown tnx atas news nie... (:

March 31, 2011 at 10:07 AM

amalkan solat je..

March 31, 2011 at 10:22 AM

Lebih elok berhenti dari membuat sesuatu yang menimbulkan kemusykilan. Bila Perak dan memutuskan haram, maka wajiblah dipatuhi.

March 31, 2011 at 12:33 PM

betul tu norasikin lagi pun tak rugipun tak buat poco2 tu..

mereka lebih tahu apa yang baik so kita yang jahil ni ikut jerlah..

di atas hanya sekadar pandangan yang saya jumpa dan saya baca sahaja..

tapi pelik juga isu2 mcm ni makin diperbesar2kan sama mcm isu pernikahan di masjid hari tu..

sedangkan banyak lagi isu penting yang patut lebih diberi perhatian terutamanya masalah zina yang kian menjadi2 sekarang..

Post a Comment
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger