Home » , » MUSLIMAH DI LARANG CERITA AURAT WANITA LAIN

MUSLIMAH DI LARANG CERITA AURAT WANITA LAIN

Written By lurim on Sunday, March 6, 2011 | 1:51 PM


Oleh Muhammad Asyraf
Juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis


Islam angkat tinggi kedudukan golongan hawa, pelihara status kemuliaan dalam masyarakat

Timbul isu yang dibangkitkan oleh Muslimah kini dalam mereka berinteraksi dengan wanita bukan Islam. Terutamanya melibatkan mahasiswa dan pelajar yang tinggal sebilik dengan wanita bukan Islam. Ini sedikit sebanyak akan mendatangkan kesukaran pergerakan seharian mereka.

Menutup aurat bagi wanita muslimah merupakan sesuatu yang diwajibkan oleh syarak. Ianya merupakan suatu ketetapan yang pasti berdasarkan dalil daripada al-Quran dan sunnah. Seorang wanita muslimah itu dibenarkan menampakkan aurat mereka hanya kepada golongan-golongan tertentu seperti yang dijelaskan secara terperinci di dalam al-Quran Surah al-Nur  ayat 31 yang bermaksud :
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan mereka, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah al-Nur  ayat 31)
Berdasarkan ayat di atas, terdapat khilaf para ulama dalam hal ini. Allah tidak menyebut lafaz “an-nisaa” bermaksud wanita-wanita. Tetapi Ia menyebut “nisaaihinna” bermaksud wanita-wanita mereka. Sekiranya digunakan lafaz “an-nisaa” nescaya halallah bagi wanita mendedahkan aurat dan menzahirkan perhiasan kepada semua jenis perempuan Islam, kafir, solehah atau fasik. Apabila digunakan lafaz “nisaaihinna” bermakna Allah menghadkan kebebasan perempuan Islam dalam ruang lingkup tertentu. Apakah ruang lingkup tersebut? Di sinilah terdapat perselisihan pendapat di antara para ulamak.

Ada yang mengatakan bahawa boleh bagi wanita Muslimah membuka aurat hanya kepada wanita Muslimah sahaja. Pendapat ini menurut mazhab Syafie yang menyatakan auratnya sama sahaja dengan lelaki bukan mahram. Begitu juga keterangan yang dilihat seperti mana yang dihuraikan oleh Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azhim katanya  :

“Firman Allah SWT ‘nisaa`ihinna’, maksudnya adalah, seorang wanita Muslimah dibolehkan menampakkan perhiasannya (auratnya) kepada wanita-wanita Muslimah yang lain. Namun ia tidak dibenarkan kepada ahlu zimmah (wanita-wanita kafir ahlu zimmah). Ini bertujuan agar wanita-wanita kafir itu tidak menceritakan aurat wanita-wanita Muslimah kepada suami-suami mereka. Walaupun hal ini mesti dihindari pada semua wanita, akan tetapi ianya lebih ditekankan lagi kepada wanita ahlu zimmah. Sebenarnya tidak ada larangan khusus mengenai masalah ini (menceritakan aurat wanita lain) bagi wanita ahlu zimmah. Tetapi untuk wanita Muslimah, sudah semstinya dia memahami bahawa hal ini (menceritakan aurat wanita lain kepada suaminya) adalah haram. Oleh kerana itu, hendaknya dia menjaga diri dari hal tersebut. [Tafsir Ibnu Katsir, juz 6, hal. 48]

Imam Ibn Kathir menganggap wanita bukan muslim ahlu zimmah tidak memahami larangan Rasulullah SAW berkenaan menceritakan aurat wanita lain kepada suami mereka. Ini kerana wanita bukan Islam tidak boleh dipercayai kerahsiaan mereka (dalam menjaga amanah). Ditakuti aib dan aurat wanita muslim dihebah-hebahkan.

Disebabkan alasan tersebut, beliau mendatangkan pendapat yang melarang secara terus dari menampakkan aurat kepada wanita bukan Islam.

Begitu juga pandangan Syeikh ‘Atiyyah Saqqar yang menguatkan dalil dgn kata-kata Ibn Abbas yg mengharamkan aurat perempuan Islam dilihat oleh perempuan Yahudi atau Kristian. kerana takut perempuan kafir akan menceritakan atau mendedahkan kepada lelaki lain atau suami mereka tentang apa yg mereka lihat. Pendapat ini juga dipegang oleh Imam al-Qurtubi di dalam tafsir beliau dengan berdalilkan al-Athar (kata-kata sahabat) daripada Umar RA yg bermaksud:

“Dan Umar RA menulis kepada gabenornya Abi Ubaidah bin al-Jarrah: “Bahawa telah sampai berita kepadaku perempuan ahli zimmah memasuki tmpt mandian wanita islam. Maka tegahlah daripada demikian itu dan halalkan selain mereka (perempuan ahli zimmah).” Dan pendapat ini merupakan pendapat Jumhur Ulama.

Jika dilihat kepada alasan beberapa pandangan Ulama ini, mereka mendatangkan hukum ini adalah berdasarkan adanya alasan tertentu. ‘Illah (alasan) tersebut ialah ‘agar aurat wanita muslimah tidak diceritakan kepada suami mereka’. Menurut kaedah fiqh, Ianya dikategorikan sebagai ‘illah ba’ithah. Iaitu hukum tersebut dibina berdasarkan kepada kewujudan dan ketiadaan illah. Apabila illah tersebut hilang maka gugurlah hukum asal tersebut. Namun apabila illah itu kembali, maka hukum asal digunapakai semula.

Di dalam isu ini, sekiranya wanita bukan Islam diyakini tidak akan menceritakan aurat wanita Muslimah kepada lelaki lain, maka harus bagi wanita Muslimah menampakkan aurat kepada mereka.

Ini bersesuaian dengan pandangan sebahagian ulama. Mereka tidak memandang bahawa menampakkan aurat kepada wanita bukan Islam akan membuatkan wanita bukan Islam tersebut secara pasti akan menceritakannya kepada suami mereka. Lalu mereka mengharuskan wanita Muslimah membuka aurat dihadaan wanita bukan Islam diatas keperluan syarat-syarat tertentu. Antara syarat-syaratnya ialah dipastikan wanita bukan Islam (khusus kepada ahlu zimmah) tersebut dapat dipercayai ia tidak menceritakan perihal aurat wanita muslimah kepada lelaki lain. Lalu mereka membahagikan wanita bukan Islam itu samada ianya boleh dipercayai, ataupun tidak boleh dipercayai.

Ini seperti mana yang dinyatakan oleh pandangan yang agak berlainan dari pandangan jumhur seperti Ibn al-Arabi al-Maliki didalam kitab beliau Ahkamul Qur’an, Jld 3, hal. 326, yang mengatakan boleh bagi wanita Muslimah membuka aurat kepada semua wanita yang baik akhlaknya dan baik hubungannya dengan wanita muslimah. Ini bermakna wanita Islam boleh membuka auratnya kepada wanita yang baik akhlaknya dan menjalin hubunan baik dengan mereka. Ia termasuk wanita bukan Islam. Jika wanita itu buruk akhlaknya termasuk wanita Islam sendiri, maka wanita Islam tidak boleh membuka auratnya. Pendapat ini juga disokong oleh Imam Fakhrurrazzi dan mufassir kontemporari  dari Saudi iaitu Syeikh Ali Al-Shabuni.

Apa yang ingin dijelaskan oleh mereka disini adalah, aurat atau tidak bukanlah dinilai pada perbezaan agama, tetapi dinilai pada perbezaan akhlak dan budi pekerti. Maka harus bagi perempuan Islam mendedahkan aurat di hadapan perempuan lain yang elok budi pekerti dan akhlaknya walaupun bukan Islam. Dan pandangan ini dipersetujui oleh Fatwa Negeri Kedah dengan merujuk kepada kitab Hasyiyah Qalyubi juz. 3, hal. 211 mendatangkan alasan berbezanya keadaan zaman kini jika dilihat pergaulan wanita yang berlainan agama begitu meluas di sekolah-sekolah, di pusat-pusat pengajian tinggi, di asrama, di tempat bekerja dan lain-lain.

Jika perihal menceritakan aurat terbatas hanya kepada agama, bagaimana dengan perempuan Islam yang rosak akhlak dan tidak bermoral seperti golongan lesbian? Maka sudah semstinya wajib menutup aurat di hadapan mereka kerana bergaul dengan mereka mendedahkan kepada bahaya dan mudarat sebagaimana bergaul dengan lelaki bukan muhrim.

Disebabkan itulah Islam melarang seseorang wanita muslimah itu menceritakan kepada rakan-rakan yang bukan mahramnya perihal aurat mereka. Seperti menceritakan rupa bentuk tubuh badannya, kedudukan rambut, mahupun warna kulit anggota-anggota tertentu yang terselindung disebalik batasan-batasan aurat yang digariskan oleh Islam.

Islam mengangkat tinggi kedudukan wanita dengan memelihara status kemulian mereka. Disebabkan itu apa sahaja yang boleh memberi kesan terhadap merendahkan kedudukan wanita, maka ianya dari awal lagi ditegah di dalam Islam. Perbuatan menceritakan aurat sendiri atau aurat wanita yang lain kepada bukan mahram mereka merupakan suatu tegahan dari Baginda Nabi SAW. Ini kerana ianya secara tidak langsung memberi gambaran kepada lelaki yang bukan mahram berkenaan aurat yang mana ianya pada asalnya bertujuan untuk menutup pintu-pintu perzinaan. Ini jelas hadis daripada Ibn Mas’ud katanya Rasulullah saw. bersabda: 
“Janganlah seorang perempuan itu bergaul dengan perempuan lain kemudian ia menceritakan perihal perempuan lain itu kepada suaminya sehingga seakan-akan suaminya melihat perempuan yang diceritakannya”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis tersebut, mana-mana wanita dilarang untuk menceritakan aurat wanita saudaranya dan rakan-rakan yang lain kepada suami masing-masing. Apatah lagi bagi pasangan yang belum berkahwin untuk menceritakan perihal aurat mereka kepada tunang, kekasih mahupun rakan-rakan berlainan jantina.

Kesimpulannya di sini, mana-mana wanita Muslimah dilarang mendedahkan atau menceritakan aurat mereka kepada yang bukan mahram dan wanita bukan Islam tanpa keperluan tertentu yang mendesak. Mereka dibolehkan membuka aurat mereka kepada wanita bukan Islam hanya sekiranya terdapat keperluan dan meyakini wanita bukan Islam tersebut mampu merahsiakan aurat wanita Muslimah dari dihebahkan kepada lelaki lain. Islam tidak menyusahkan wanita. Tetapi ia memuliakan wanita.

Share this article :

+ comments + 2 comments

March 6, 2011 at 7:16 PM

sy rse pnah bce n3 ni ..

March 7, 2011 at 12:54 AM

Assalam Lurim...Terima Kasih dgn penerangan yg cukup jelas tentang aurat nie, tak boleh rupanya perempuan menceritakan perihal dirinya kpd bukan muhrim...entry nie satu bentuk dakwah....semoga Lurim dapat pahala org2 berdakwah.amin...nnt nak minta rujuk entry nie nk sebar2 kan boleh?

►Kontest : Blog Review Assignment 1 Oleh Jejaka Terhangat

Post a Comment
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger