Home » , » HUKUM BERSOLEK ATAU TABARRUJJ BAHAGIAN 2

HUKUM BERSOLEK ATAU TABARRUJJ BAHAGIAN 2

Written By lurim on Monday, March 7, 2011 | 9:10 AM



BERSOLEK ADALAH TANDA KEKOLOTAN

Wanita bersolek, alamat lemah mentalnya. Benarlah apa yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud: 

“Setiap wanita ada kelemahannya, lemah tenaga berfikir dan lemah soal-soal agama”.


Di zaman silam, amalan bermake-up – wanita-wanita mendedahkan kecantikan rupa paras – adalah merupakan satu perkara tradisi. Di zaman moden ini pula, masih ada lagi golongan wanita yang cuba memulihkan setiap amalan kolot dahulu dan dipolularkan pula dengan teknik dan cara yang moden. Lantaran inilah Allah melarang sikap golongan tersebut. Larangan ini termaktub di dalam firman Allah yang bermaksud: 


“Dan janganlah kamu bersolek seperti solekan orang-orang Jahiliyyah yang dahulu” (al-Ahzab: 33)


Pujangga Arab pula ada berkata: “Otak kolot gemarkan perhiasan. Mental terpelajar tidak berhajat sebarang perhiasan”. Keadaan hidup orang terpelajar Islam adalah normal. Mereka tidak tamak perhiasan yang banyak, malahan ilmu pengetahuan yang ada di dada mereka sudah cukup sebagai perhiasan diri. Beginilah keadaan manusia, andaikata perhatian ditumpukan kepada kerohanian sepenuhnya, alamat berkuranglah perhatian ke bidang material. Tapi tidak mengapa, ukuran manusia di hati dan lisannya, bukan ukuran terletak di kot atau di gaunnya.
Seorang penyair Arab pernah bersyair dengan katanya:

Ambillah jiwa yang suci ini
Lengkapkan pula budi pekerti
Tidak kebahagian di rupa paras
Tapi berbahagia di jiwa yang murni!

Si pesolek tidak ubah seperti kanak-kanak. Sukakan pakaian yang baru- baru dan moden. Tapi untungnya, kanak-kanak tidak membazirkan masa berjam- jam di hadapan cermin. Malangnya, kakak-kakak yang telah dewasa melakukan ini semua. Berjam-jam masa dihabiskan di hadapan cermin. Mereka ini sudah pandai menilai kecantikan tubuh kononnya. Andainya diletakkan fesyen ini ke badan, semakin bergayalah, dan jika dibedak semakin berserilah wajah yang sedia ada? Kepastian ini dapat dijawab oleh cermin di hadapannya. Jika tak puas dilihat di rumah, bukankah ada cermin mini yang tersedia ada di dalam beg tangannya?

Sungguh aneh, di zaman ini pun terdapat sesetengah siswazah yang terikut- ikut dengan suasana dan keadaan. Mereka juga bermake-up dan berpakaian seperti orang yang tidak berpelajaran. Maka akibatnya bukankah sama….?? Ini dapat kita perhatikan dari firman Allah yang bermaksud: 

“…..Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikut hawa nafsunya dengan tidak mendapat petunjuk dari Allah sedikit pun. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim” (al-Qasas: 50)

Siksaan yang lebih dahsyat akan diberikan kepada wanita terpelajar andainya mereka tidak menghayati apa yang mereka pelajari. Penjelasan tersebut dapat dilihat dalam firman Allah yang bermaksud: 

“Kecelakaan yang besarlah bagi tiap-tiap orang yang banyak berdusta lagi banyak berdosa. Dia mendengar ayat-ayat Allah yang dibacakan kepadanya, kemudian dia tetap menyombong diri seakan-akan dia tidak mendengarnya. Maka beri khabarlah dia dengan azab yang pedih” (al-Jathiah: 7-8)

Ada pula golongan yang berpendapat bahawa Allah tidak memaksa sesiapa malahan memberi kuasa kepada manusia untuk memilih. Jika ada syariat Islam yang sesuai dengan kehendaknya, boleh dikerjakan. Jika tidak ada, boleh ditinggalkan begitu sahaja. Terhadap golongan ini, jangan lupa pula Allah ada berfirman yang bermaksud: 

“….Apakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab (Taurat) dan engkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian di antara kamu melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksaan yang sangat berat. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali lalai dari apa yang kamu lakukan” (al-Baqarah: 85).

Bukan semua perundangan dan suruhan Allah mengikut kehendak dan hawa nafsu manusia seperti firman Allah yang bermaksud: 

“Andaikata kebenaran itu menurut hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini serta semua yang ada di dalamnya” (al-Mukminun: 71)

Dan firmanNya yang lain yang bermaksud: 

“Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan bagi perempuan mukminat, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan akan ada bagi mereka pilihan tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan RasulNya, maka dia telah sesat yang nyata” (al-Ahzab: 36).


Beginilah situasi hidup manusia semua kiranya hidup dikuasai nafsu, suruhan yang baik dirasai bagai hempedu, maksiat terkutuk disangkakan madu. Manusia begini terdapat dalam firman Allah yang bermaksud: 


“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya dan meletakkan penutup pada penglihatannya. Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah. Maka apakah kamu tidak mengambil pengajaran?” (al-Jathiah: 23).


AWASILAH KESESATAN FAHAMAN PASIF

Ramai di kalangan masyarakat Islam yang memiliki sijil yang tinggi, tapi malangnya mereka pasif dalam hal yang mereka sendiri anuti. Akibat dari kesempitan fahaman tadi, akhirnya muncullah ISU baru yang mengelirukan. Di antaranya (mereka mengatakan) bermake-up dibolehkan. Isu tersebut cuba diterapkan dalam masyarakat dan cuba dikemukakan bersandarkan kepada alasan-alasan dan fakta-fakta berikut:
  1. Bermake-up hanyalah dosa kecil
  2. Ianya merupakan simbol ketamadunan
  3. Tidak sanggup menentang suasana dan keadaan masyarakat sekeliling
  4. Faktor utama untuk segera ke jinjang pelamin
  5. Ta’at kepada suruhan suami
  6. Umur sudah tua, tiada sambutan orang yang melihat
  7. Muka dan rupa yang cantik
Idea yang tersebut, semuanya tidak berasas, malahan lahir dari emosi dan dorongan hawa nafsu semata-mata.

Generasi terpelajar memang mampu untuk berdialog. Mereka banyak buah fikiran, banyak maklumat, sanggup pula berhadapan dengan masyarakat, samada masyarakat bawahan atau atasan. Tapi sayang, pertahanan mereka hanya berteraskan hawa nafsu. Mereka mahu menegakkan benang yang basah. Sikap mereka ini tak ubah seperti sikap orang-orang kafir sepertimana yang terdapat di dalam firman Allah yang bermaksud: 

“……..tetapi orang-orang yang kafir membantah dengan yang batil yang sedemikian mereka dapat melenyapkan yang hak, dan mereka menganggap ayat-ayatKu dan peringatan peringatan terhadap mereka sebagai olok-olokan” (al-Kahfi: 56).

Jika benar golongan ini benar-benar terpelajar serta faham segala suruhan Allah dan RasulNya, maka jadilah diri kamu semua sebagai cemin tempat masyarakat mendapat panduan. Mudahan-mudahan teladan ini semua dapat dijadikan contoh, sekurang-kurangnya untuk kaum sejenis kamu. Sekiranya kamu semua telah menghayati suruhan Islam dengan terperinci,masyarakat akan terjamin dari sebarang fitnah, hidup masyarakat aman damai, negara juga akan rturut menjadi makmur. Memang benar, kaum wanita laksana srikandi negara. Jika mereka siuman, makmurlah negara, andaikata mereka runtuh, hancurlah negara.

Persaingan idea sudah menjadi lumrah insan, tetapi dalam soal pokok atau dasar (prinsip) jangan pula berbalah. Umpamanya ada terdapat di kalangan kaum bijakpandai yang melahirkan kepura-puraan yang seakan-akan diterima fikiran sama sekali tidak berasas. Seperti kata mereka, “bermake-up, di samping itu kita juga tunaikan ibadat yang disuruh seperti sembahyang, berpuasa di bulan Ramadhan, bersedekah, mengerjakan haji dan lain-lain lagi. Hasil dari semua ini,tentu terhapus semua dosa-dosa kecil”.

Jika benar sebagaimana yang didakwakan mereka, sekarang mari kita berdiskusi. Sudah berapa kali kita bermake-up di waktu keluar dari rumah. Sudah banyak bukan!!?? Dan sekarang juga masih berpura-pura. Cuba kita semak kembali dan hitung dengan teliti. Berapa banyak kesalahan seperti ini yang kita telah lakukan. Jawapannya juga banyak. Natijah dari kesalahan yang banyak, tentu dosanya juga banyak. Malahan kamu meringan-ringankan suruhan Allah itu juga merupakan seuatau kesalahan yang besar.

Harus diingatkan, orang-orang yang benar beriman dan bertaqwa kepada Allah, tak mungkin mengabai-abaikan segala suruhan dan perintahNya. Rasul s.a.w ada bersabda yang bermaksud:

“Seorang mukmin terasa amat-amat berat dosanya laksana seberat bukit yang akan terhempas di atas kepalanya. Sebaliknya seorang munafik merasai dosa itu ringan, seringan seekor lalat yang hinggap di muka, sebelum ditampar sudah terbang”.


Sekian lama sudah kita meraba di dalam kegelapan, banyak pula onak dan duri kita rasai. Ayuh! Pintu taubat masih terbuka untuk siapa saja. Sekarang mari kira sama-sama bertaubat dan berjanji tidak akan mengulangi kembali dosa yang pernah kita lakukan. Mudah-mudahan dengan berbuat demikian, Allah s.w.t menerima setiap amalan kebaikan, terhapuslah pula dosa kesalahan. Untuk angkatan tersebut, Allah telah berfirman yang bermaksud:

“……kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amalan soleh, maka mereka itu, kejahatan mereka digantikan Allah dengan kebajikan. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang” (al-Kahfi: 56).

Wahai wanita-wanita Islam,tidak usahlah kamu semua membazirkan wang yang banyak untuk membeli alat-alat solek. Kemudian menghabiskan masa pula di hadapan cermin. Jika kamu juga berbuat demikian, sudah pasti kamu cuai terhadap sembahyang dan ibadat-ibadat yang lain.

Jangan kamu jadikan diri kamu seperti kebanyakan manusia, sanggup membeli neraka walaupun dengan harga yang paling maksima, tetapi malangnya, tidak terdaya membeli syurga sedangkan harga syurga paling minima.

Semua amalan kebaikan tiada bererti jika di samping kebaikan, kejahatan dan kemungkaran masih dikekalkan. Minyak dan air tidak pernah bercantum. Allah memberi penjelasanNya di dalam firmanNya yang bermaksud: 

“…..sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari melakukan perkara-perkara yang keji dan kemungkaran….” (al-‘Ankabut: 45).


Rasul s.a.w pula ada bersabda yang bermaksud:

“Andaikata sembahyang seseorang kamu tidak dapat menghalang nafsu dari melakukan kemungkaran, maka sudah tidak memberi erti sembahyang yang dikerjakan itu”

Begitu juga dengan amalan-amalan yang lain seperti puasa dan sebagainya. Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: 

“Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan keji dan beramal pula dengan kekejian itu bukanlah Allah berhajat (untuk mendapatkan sesuatu) dari puasa seseorang kamu itu hanya meninggalkan makan dan minum (di waktu siang hari sahaja)”.

Terhadap golongan yang mendakwa bahawa setiap amalan baik boleh menghapuskan dosa kecil, memanglah benar. Tetapi jika kamu bertaubat dan merasa kesal terhadap sikap kamu yang lepas serta berjanji tidak akan mengulangi kembali, sedangkan kamu masih bersikap angkuh dan tidak mahu meninggalkan perkerjaan yang salah itu, ingatlah, amalan yang salah juga dapat mengjhilangkan pahala kebajikan. Ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t di dalam firmanNya yang bermaksud:

 “Hai orang-orang yang beriman, ta’atilah Allah dan RasulNya dan jangan kamu merosakkan pahala amalan kamu” (Muhammad: 33)

Benarlah apa yang dikatakan, setiap yang memiliki sertifikat masih ada yang jahil, iaitu mereka yang tidak mendapat hidayat dari Allah s.w.t

Dalam kurun kedua puluh ini, pembangunan material berkembang dengan pesat. Boleh dikatakan harta benda adalah dacing timbangan manusia. Bagi golongan yang memliki keistimewaan tersebut, mereka membuat berbagai-bagai alasan, di mana lain mereka berkata dengan bangga, “Bermake-up juga adalah satu aspek yang perlu di zaman moden ini. Make-up adalah simbol ketamadunan di bidang pelajaran dan pembangunan. Wanita-wanita yang masih bertudung dan berpakaian menutup ‘aurat tidak sesuai lagi di zaman moden ini. Pakaian tersebut adalah lambang zaman primitif dan kolot”.

Tuduhan begini rupa adalah di luar kebenaran. Wanita-wanita Islam yang berpakaian menutup ‘aurat adalah wanita-wanita yang memahami ajaran Islam. Mereka bukan anti ketamadunan atau pro kepada zaman primitif seperti uang disangkakan, malahan inilah simbol keta’atan mereka terhadap suruhan Allah ‘Azzawajalla.

Jelas bagi kita, pesolek sebenarnya tidak mempunyai sifat malu. Sebagai bukti, kembali kita kepada masyarakat di zaman silam. Bukankah manusia di zaman itu berpakaian separuh bogel…? Kaum wanitanya pula mengambil bulu- bulu binatang dan ukiran-ukiran kayu untuk dijadikan bahan-bahan solek. Sisa- sisa kaum ini masih kedapatan lagi hingga sekarang. Andainya wanita kota berpakaian separuh bogel serta menggunakan alat make-up, di manakah pula jurang perbezaan di antara wanita-wanita kota dengan wanita-wanita primitif yang masih tinggal di hutan? Pelan pakaian pada hemat saya adalah sama, cuma perbezaannya dari segi teknik dan fesyennya sahaja. Dari fakta-fakta ini semua, jelaslah bagi kita bahawa tuduhan yang dilemparkan kepada mukminat yang menghayati Islam, sama sekali tidak berasas. Ibarat kata “meludah ke langit, timpa batang hidung sendiri”.

Kebanyakan wanita sekarang menganggap bahawa setiap yang diimport dari Barat, semuanya moden dan bertamadun. Lantas mereka menerima kesemuanya, walaupun perkara itu bercanggah dengan ajaran Islam yang murni tanpa mengkaji terlebih dahulu dengan panjang lebar. Tetapi kalau sesuatu perkara itu suruhan Allah, mereka merasakannya terlalu berat dan cuba menghabiskan masa denga berdialog dan sebagainya. Natijah ini semua, mereka sanggup berkata, “Kami tahu suruhan tersebut, tetapi kami tak sanggup menghadapi suasana sekeliling. Kemungkinan bertudung dan berpakaian menutup ‘aurat kami menjadi sasaran ejekan teman-teman, lagi pun cuaca bukankah panas…?”. Ke atas golongan ini, Allah telah berfirman yang bermaksud:

“Katakanlah, api neraka jahanam itu lebih panas jika mereka mengetahui”(al-Taubah: 81).

Duhai pemudi-pemudi Islam! Kenapa kamu sanggup menjadi pengikut yang pasif – pengikut yang memihak kepada majoriti semata-mata – tanpa menilai kebenaran dan kualiti. Harus kamu ingat, tidak pasti setiap kebenaran berada di pihak yang banyak.

Sebenarnya kamu telah ditipu oleh ketamadunan yang palsu. Lantaran kamu kurang pengetahuan agama dan lemah keimanan, sikap dan mental tidak seperti pelampung di permukaan air. Andainya angin menghembuskan ke Barat, ke Baratlah dia, jika angin ke Timur, ke Timurlah dia. Tetapi jika seorang yang keimanannya kukuh biarpun yang datang ribut taufan namun berganjak tidak sekali.

Terhadap mereka yang berkiblatkan Barat, bertuhankan harta benda (material) ingin disarankan di sini maksud-maksud Hadith Rasulullah s.a.w khasnya untuk mereka yang lalai sebagai pengajaran:
  1. Siapa yang cintakan sesuatau bangsa, nescaya dia juga bersama-sama mereka di hari Mahsyar kelak.
  2. Siapa yang mengikuti dan menyerupai sesuatu golongan manusia, bererti dia juga termasuk golongan itu.
  3. Janganlah kamu hanya menjadi pengikut seperti berkata, “Saya memihak kepada golongan ini, jika mereka baik, saya juga tumpang mendpat kebaikan tersebut; jika mereka salah, saya juga bersalah”. Jangan bersikap demikian, malahan pastikan diri kamu di pihak golongan yang benar. Jika mereka melakukan kesalahan juga, kamu mesti menjauhi mereka.
  4. Masih ada di kalangan umatku yang berdiri di atas kebenaran. Mereka ini tak mungkin diperkotak-katikkan oleh suasana masa dan keadaan hingga dibangkitkan di akhirat kelak.

DORONGAN KEKOLOTAN (JAHIL TENTANG AGAMA)

Pancaindera yang ada pada generasi sekarang sudah tidak memberi erti lagi bagi mereka. Mereka sudah tidak dapat lagi membezakan mana yang benar dan mana yang salah. Mereka menggunakan pancaindera untuk memenuhi dorongan hawa nafsu tersebut, ada di kalangan wanita Islam yang sanggup menukarkan atau meninggalkan wanita di zaman ini. Penukaran dilakukan dengan alasan supaya mereka juga dapat menyesuaikan diri dengan wanita-wanita lain. Dengan demikian mereka tidaklah dianggap berpakaian ganjil dan tidak lagi menerima ejekan dari teman dan masyarakat sekeliling.

Kamu malu berpakaian Islam, tetapi tidak malu berpakaian separuh bogel asalkan fesyen demikian sudah menjadi tradisi di zaman ini. Ibarat kata lain, kamu sanggup merompak hanya semata-mata untuk melahirkan inspirasi kebenaran di hadapan perompak, kamu rela mencapai minuman keras hanya sekadar melayan dan memuaskan penagih-penagih arak…..

Sekiranya kamu lakukan ini semua, bererti kamu seorang yang tidak mematuhi ajaran Islam yang suci. Sampai hati kamu mendahulukan dan melayani kehendak nafsu sesama manusia, sedangkan keredhaan Allah dan suruhanNya kamu abai-abaikan. Bukankah Allah Pencipta diri kamu dan manusia semua…?

Oleh kerana golongan yang mengejek-ejek pakaian Islam tidak memahami perundangan Islam, seharusnya kamu yang berpelajaran pula mesti menyampaikan pelajaran tersebut kepada mereka. Sebelum itu, jadilah diri kamu, akhlak dan pakaian kamu sebagai contoh atau tauladan untuk mereka semua. Kalau mereka masih juga mempermainkan kamu, ingatlah bahawa Allah lebih mengetahui di pihak mana yang benar dan di pihak mana pula yang bersalah. Sudah memadai kamu menyahut ejekan tersebut dengan firman Allah yang bermaksud:

“Jika kamu mengejek kami sesungguhnya kami mengejek kamu sebagaimana kamu sekalian mengejek kami. Kelak kamu akan mengetahui siapa yang akan ditimpa azab yang kekal” (Hud: 39-38).

Berpakaian Islam seperti bertudung kepada dan berbaju labuh hingga menutup ‘aurat melambangkan kualiti seorang wanita Islam. Bukanlah kualiti seseorang wanita itu terletak pada alat-alat solek, kuku yang panjang serta dihiasi warna mata yang disalutkan max factor dan sebagainya seperti yang dilakukan oleh kebanyakan wanita di zaman sekarang. Suatu perkara yang luar biasa di zaman ini, kaum wanita yang beragama Islam tidak menta’ati suruhan Allah s.w.t dan tidak sanggup berpakaian Islam. Malahan mereka mempermain-mainkan pula saudara mereka yang berpakaian sedemikian rupa.

Awas…! Dunia ini laksana roda. Hari ini kamu mentertawakan orang lain, tapi mungkin esok, kamu ditertawakan orang pula. Ingatlah, Allah s.w.t ada berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang berdosa adalah mereka yang mentertawakan orang-orang yang beriman dan apabila orang-orang yang beriman lalu di hadapan mereka, mereka mengerdipkan mata mereka” (al-Mutaffifin: 29-30)

SAMBUNGAN
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger