Home » , » HIKMAH DISEBALIK MUSIBAH

HIKMAH DISEBALIK MUSIBAH

Written By lurim on Friday, March 11, 2011 | 11:48 PM



Oleh Mohd.Shauki Abd. Majid

Apa pun bentuk bencana atau musibah yang melanda, pada hakikatnya ia memiliki peranan yang besar dalam mendidik jiwa kita. Ini kerana sudah semestinya jiwa itu perlu dididik meskipun menerusi penerima bencana.

Hal demikian semata-mata untuk menguatkan hati, keteguhan sikap, terlatih dan sentiasa waspada terhadap persekitaran.

Pada hakikatnya musibah itu merupakan sunatullah, sebagai suatu proses sebab akibat daripada tindakan seseorang. Musibah itu juga merupakan peringatan daripada Allah SWT, sebagai ujian keimanan dan setiap musibah itu tidak selamanya tanda kemurkaan Allah SWT.

Pada saat itu seseorang manusia harus segera menyedari bahawa apa yang paling penting ialah iltija, iaitu mencari perlindungan diri kepada Allah SWT semata-mata, ketika di mana seluruh tempat bergantung tidak berupaya membantunya untuk menghadapi bencana tersebut.

Tidak ada tempat berlindung kecuali berada di bawah naungan-Nya. Tidak ada pertolongan kecuali daripada-Nya. Sehubungan itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya." (Surah At-Taghabun: 11)
Sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Allah SWT ialah menjadikan kita atau keluarga sebagai tempat sasaran ujian-Nya. Musibah, memang akan selalu mengekori umat manusia di dunia ini kerana ia adalah tempat ujian dan cubaan. Hal demikian ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:
"Dan sesungguhnya akan Kami ujikan kamu dengan sedikit daripada ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan." (Al-Baqarah: 155)

Ini semua bertujuan memperbaiki ketakwaan dan kesabaran hamba-Nya dan akan memilih siapa yang berjaya menerima ujian tersebut dengan penuh kesabaran. Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Mereka yang banyak menerima ujian itu ialah para nabi, siddiqin dan salihin, kemudian mereka yang mengiringi..."

Segala ujian itu seharusnya ditempuh dengan penuh kesabaran kerana ini akan mendekatkan lagi dirinya kepada Allah SWT. Ingatlah bahawa Allah sentiasa bersama orang yang sabar. Bukan bererti orang yang sabar itu akan bergembira apabila ditimpa kesusahan dan ujian tetapi mereka tetap sedih dan dukacita.

Namun, mereka tidak akan bertindak di luar batasan agama. Nabi Muhammad SAW contohnya, pada hari kematian anak kesayangan baginda, Ibrahim, tetap bersedih dan air mata berlinangan, tetapi tidak melakukan sesuatu di luar batas agama melainkan apa yang diredai oleh Tuhan. Maka, orang yang memiliki tahap kesabaran yang tinggi telah benar-benar memurnikan tauhid dan mengikhlaskan doa hanya untuk Allah.

Tabah

Tatkala seseorang Muslim yang tabah menerima musibah, dia mendapat penilaian yang sangat tinggi daripada Allah. Bahkan, itulah saat yang tepat untuk mendapatkan keampunan atas kesalahan dan dosa-dosa yang dilakukannya selama ini. Makin besar musibah yang dihadapinya dan makin kuat kesabaran ia menghadapinya, maka besar pahala yang akan diterimanya.

Demikianlah contoh keperibadian mulia yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam menghadapi ujian daripada Allah SWT. Justeru digalakkan mereka yang ditimpa musibah berkata sebagaimana yang dituntut oleh agama:  

"Kami hanya bagi (milik) Allah dan kami tetap kembali mengadap-Nya." (Surah al-Baqarah:156)
Di dalam al-Quran dinyatakan untuk mereka yang berjaya menghadapi ujian itu akan mendapat penghargaan daripada Allah, juga rahmat-Nya dan mereka itu memperoleh petunjuk. Hati mereka sekali-kali tidak akan terlintas atau terbawa-bawa dengan perasaan yang terselit persoalan kenapa Allah memilih diri atau keluarga mereka sebagai tempat ujian-Nya.

Kesabaran yang tinggi amat dituntut dalam Islam. Dengan memiliki jiwa yang sedemikianlah umat Islam akan menjadi umat yang teguh peribadi dan kukuh jati diri, tidak gentar akan segala dugaan atau bencana yang menimpa.

Yakinlah bahawa ada hikmah di sebalik bencana yang menimpa. Rahmat Allah sentiasa terbentang selagi kita yakin dengan jalan menuju ke arah keredaan-Nya.

Allah SWT telah menegaskan bahawa semua yang ada di alam ini adalah milik-Nya, termasuk orang-orang yang kita cintai, harta benda yang ditakuti akan berkurang dan hilang, seperti pangkat, kedudukan dan kerjaya.

Oleh kerana semuanya milik Allah SWT, cepat atau lambat pasti akan kembali kepada pemiliknya yang asli iaitu Allah SWT. Ada pun diri kita hanyalah sekadar pemegang amanah untuk menjaganya atau memeliharanya.

Oleh kerana bencana itu kekuasaan Allah SWT secara mutlak, sedangkan Allah tidak pernah zalim kepada makhluk ciptaan-Nya, maka di sebalik bencana, musibah atau bala terdapat banyak hikmah bagi para hamba-Nya yang beriman.

Kematian yang menyayat hati akibat banjir atau tanah runtuh adalah ketentuan terbaik pada pandangan Allah, penguasa alam semesta.

Tidak ada yang bakal terjadi di alam raya ini kecuali atas izin dan kehendak-Nya. Meskipun, perlu diingat bahawa kehendak-Nya tercermin pada hukum-hukum alam yang diciptakan-Nya.

Apabila seseorang tidak menyesuaikan diri dengan kehendak-Nya yang tercermin dalam hukum-hukum alam itu, dia pasti mengalami kesusahan serta kesukaran. Dia akan mengalami bencana, baik pada dirinya mahupun persekitarannya.

Di sini kita sepatutnya berkata bahawa bencana itu adalah kehendak-Nya jua. Bukankah Dia yang menciptakan hukum-hukum-Nya?

Mengabaikan tanda-tanda kehadiran Allah menjadikan hati gersang dan kacau, dan mengundang jauhnya rahmat Allah dan datangnya bencana. Mengambil kira hakikat rentetan fenomena demi fenomena yang berlaku masa kini, pastinya dapat direnungi kesudahan hasil daripada tangan manusia dan perbuatan yang dapat mengasingkan antara perkara buruk dengan yang baik.


P/S Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh At-Tarmizi daripada Ali bin Abu Talib, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Apabila umatku melakukan 15 perkara berikut, maka layaklah mereka ditimpa bencana iaitu:
  1. Apabila harta yang dirampas (daripada peperangan) diagih-agihkan kepada orang-orang yang tertentu sahaja.
  2. Apabila zakat dikeluarkan kerana penebus kesalahan (terpaksa).
  3. Apabila sesuatu yang diamanahkan menjadi milik sendiri.
  4. Apabila suami terlalu mentaati isteri.
  5. Apabila anak-anak menderhakai ibu bapa masing-masing.
  6. Apabila seseorang lebih memuliakan teman daripada ibu bapa sendiri.
  7. Apabila kedengaran banyak bunyi bising.
  8. Apabila lebih ramai berbicara mengenai hak keduniaan di dalam masjid.
  9. Apabila sesuatu kaum itu terdiri daripada orang yang dihina oleh mereka.
  10. Apabila memuliakan seseorang kerana takutkan tindakan buruknya.
  11. Apabila arak menjadi minuman biasa.
  12. Apabila lelaki memakai sutera.
  13. Apabila perempuan dijemput menghiburkan lelaki.
  14. Apabila wanita memainkan alat-alat muzik.
  15. Apabila orang yang terkemudian menghina orang terdahulu, maka pada saat itu tunggulah bala yang akan menimpa dalam bentuk angin merah (puting beliung) atau gerak gempa yang maha dahsyat atau tanaman yang tidak menjadi."

Seandainya kita sama-sama merenungi hadis di atas, tidak dapat tidak kita akan menerima hakikat bahawa bencana yang menimpa sesuatu kaum itu adalah berpunca daripada perbuatan mereka sendiri. Oleh itu, kembali kepada yang dituntut oleh Islam, semoga kehidupan kita akan dirahmati keamanan dari dunia hingga ke akhirat.

SAKSIKAN VIDEO KEJADIAN TSUNAMI YANG MELANDA JEPUN AKIBAT GEMPA BUMI PADA MAGNITUD 8.9 11/03/2001




Sumber: Utusan Malaysia 12 Disember 2008
Share this article :

+ comments + 1 comments

June 8, 2011 at 12:32 AM

assalamualikum... saudara ya umati muhammad... pohon share yea...

Post a Comment
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger