Home » » AMALAN JAUHI GANGGUAN JIN

AMALAN JAUHI GANGGUAN JIN

Written By Mohd Amirul on Friday, October 29, 2010 | 8:10 PM

KITA tahu pelbagai makhluk lain turut menghuni alam ini, antaranya jin dan syaitan, cuma mata manusia tidak mampu melihat mereka kerana Allah menciptakan kedua-duanya di alam ghaib.

Jin tinggal di merata tempat, 'terpisah' dengan manusia melalui dimensinya yang berbeza. Tetapi, makhluk itu tetap mengganggu manusia.

Kejadian seperti terkena rasuk, histeria, gila, rumah tangga berantakan akibat disihir semuanya berpunca daripada jin. Malah, penyakit misteri seperti terkena santau dan kanser ada kaitannya dengan makhluk itu.

Dalam banyak kejadian, kesan terhadap penyakit misteri contohnya tidak dapat diubati dengan kaedah rawatan moden.

Islam melarang kita berkawan atau berdamping dengan jin kerana makhluk itu mahu menyesatkan manusia. Manusia dilarang meminta bantuan jin kerana Allah menjadikan kita sebaik-baik kejadian.

Allah berfirman yang bermaksud: "Terdapat beberapa orang lelaki dari kalangan manusia meminta pertolongan daripada jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesesatan." (Surah al-Jin ayat 6).

Kejadian seorang gadis di Jertih, Terengganu yang ghaib secara tiba-tiba, baru-baru ini memang ada kaitan dengan jin.

Jin mengganggu manusia dalam beberapa keadaan, antaranya berterusan jin dalam tubuh seseorang.

Malah, jika terlalu marah, jin mudah menguasai kita.

Justeru, jika terlalu marah, cuba tenangkan diri dengan duduk diam dan mengambil wuduk atau berzikir.

Jin mengganggu kerana perasaan benci dan mahu membalas dendam terhadap manusia.

Apabila masuk ke tubuh manusia, jin menuju ke otak. Dari otak, jin mempengaruhi bahagian tertentu sehingga menyebabkan manusia hilang pertimbangan.

Untuk melindungi diri dan keluarga daripada gangguan jin, banyak membaca 'Bismillah' apabila memulakan kerja.

Jangan membunuh ular yang masuk ke rumah melainkan memohon kepada Allah agar ia keluar.

Menyingkap rahsia lain mengenai jin ialah saka. Saka ialah jin yang berada dalam tubuh manusia sejak sekian lama sama ada manusia tahu atau sebaliknya.

Dalam masyarakat Melayu, ia dikenali hantu pelesit, pontianak, polong dan hantu raya. Semuanya keturunan jin dan syaitan.

Pengamal Perubatan Pusat Rawatan Islam Sinar Zamdurrani, Sharhan Shafie berkata, kejadian yang mengejutkan banyak pihak di Jertih, baru-baru ini berpunca daripada gangguan jin 'kelas pertama'.

"Saya sudah berbicara dengan mangsa dan dia mengatakan ada makhluk besar yang berbulu semacam gorila membawanya. Jin jenis ini mempunyai sayap dan terbang di udara.

"Itulah sebabnya apabila ditemui, mangsa berada di tempat tinggi seperti di atas pokok atau siling rumah," katanya.

Beliau berkata, terdapat tiga jenis jin iaitu yang mempunyai sayap dan berterbangan di udara, berupa ular, kala jengking, anjing dan jenis yang berpindah-randah.

"Terdapat beberapa punca menyebabkan jin menguasai manusia, antaranya ketika berada dalam kecemasan seperti kemalangan, terlalu marah, dorongan nafsu seks yang kuat dan jin masuk jika mereka inginkan sesuatu," katanya.

Katanya, jin tidak suka manusia yang suka mencabar mereka atau celupar.

"Jin kuat berdendam. Justeru, jaga tingkah laku walau di mana saja kerana manusia tidak dapat melihat dan mengetahui aktiviti jin.

"Contohnya jika menyiram air panas dari tempat yang tinggi pastikan kita menyebut nama Allah.

"Jangan bertindak melampau apabila melawat ke kawasan yang asing kerana kita tidak dapat melihat jin.

"Rumah kosong, hutan belantara, angkasa raya dan lautan adalah tempat kediaman jin kerana tiada kedengaran azan di situ.

"Malah, jika meninggalkan rumah untuk tempoh lama, pastikan membaca ayat kursi sebanyak 21 kali pada tiang seri rumah," katanya.

Beliau berkata, jin berkeliaran pada waktu maghrib ibarat manusia yang berpusu-pusu menjalankan aktiviti seharian.

"Allah berfirman yang bermaksud: "Dan di antara rahmat pemberian-Nya Dia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti) supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki daripada limpah kurnia. Dan juga supaya kamu bersyukur." (Surah al-Qasas ayat 73).

Menurutnya, bagi mengelak diganggu jin, perlu mengamalkan beberapa ayat suci al-Quran.

"Apabila berkelah, jangan mengambil sesuatu atau batu kerana ia mungkin milik jin.

"Amalkan ayat daripada surah al-Israak: 82 yang bermaksud: "Dan Kami turunkan di antara al-Quran suatu yang menyembuhkan (penyakit hati) dan rahmat untuk orang-orang yang beriman tetapi yang demikian tidak menambah bagi orang-orang yang zalim melainkan kerugian."

Selain itu, bagi menyelesaikan masalah orang hilang dan mengelak keluarga diganggu, amalkan ayat al-Quran daripada tiga surah antaranya Surah al-Furqan ayat 23 yang bermaksud: "Dan Kami melihat apa yang mereka usahakan, di antara amalan, lalu Kami jadikan ia debu yang bertebaran."

"Kemudian daripada Surah al-Hijr ayat 34-35 yang bermaksud: "Berfirman Allah: Keluarlah engkau dari sini! Sesungguhnya engkau terkutuk. Dan sesungguhnya atas engkau kutukan sehingga hari pembalasan" dan satu lagi ayat daripada Surah al-Mukminun ayat 115-118 yang bermaksud: "Adakah kamu menyangka, bahawa Kami menjadikan kamu dengan percuma (main-main saja) dan kamu tidak akan kembali kepada Kami? Maka Maha Tinggi Allah yang menguasai (alam), lagi sebenarnya Tuhan, tiada Tuhan melainkan Dia yang mempunyai arasy yang mulia. Dan barang siapa menyembah Tuhan yang lain bersama Allah tanpa dalil baginya, maka balasannya, hanya di sisi Tuhannya. Sesungguhnya tidak menang orang-orang kafir. Dan katakanlah: Ya Tuhanku, ampunilah dan kasihanilah (aku) dan Engkau sebaik-baik yang mengasihani."

Mengenai saka, katanya, ia adalah perjanjian di antara nenek moyang kita untuk mendapat kekuatan, kehebatan, perlindungan tertentu, kecantikan yang menawan dengan syarat dalam tempoh tertentu (tujuh keturunan).

"Ciri-ciri orang yang memiliki saka dapat dikesan melalui kebolehan mereka mengubat orang dengan cara menurun, mampu berubat tetapi menggunakan jampi berunsur syirik yang bertentangan dengan syariat, terdapat kesan cakaran pada tubuh, mimpi jatuh dari tempat tinggi atau dikejar binatang.

"Mereka akan mengalami beberapa gejala antaranya sakit sendi, apabila berkahwin sukar mendapat anak, mudah nyanyuk dan mengantuk apabila menghadiri majlis ilmu.

"Cara membuang saka dengan mengamalkan bacaan ayat al-Quran antaranya dari Surah As-Shaffat ayat 6 yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menghiasi langit yang hampir ke dunia dengan perhiasan bintang-bintang," katanya.

Oleh Mohd Fadly Samsudin

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger